17 Sektor Perkhidmatan Dan Ekonomi Yang Dibenarkan Sepanjang Tempoh PKP

Semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan. Untuk tempoh dua minggu iaitu 1 hingga 14 Jun ini, hanya 17 sektor perkhidmatan perlu yang dibenarkan.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara 17 perkhidmatan itu ialah makanan dan minuman termasuk untuk haiwan; penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet; perniagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar.

Senarai penuh adalah seperti berikut:

  1. Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan;
  2. Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar;
  3. Air;
  4. Tenaga;
  5. Keselamatan security and safety, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan;
  6. Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan;
  7. Pengangkutan melalui darat, air atau udara;
  8. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman dan penyimpanan atau pemukalan komoditi;
  9. Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja;
  10. Perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal;
  11. Kredit komuniti pajak gadai sahaja;
  12. E-dagang dan teknologi maklumat;
  13. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir;
  14. Hotel dan penginapan hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan;
  15. Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal;
  16. Perkhidmatan perhutanan terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar dan
  17. Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.