1MDB: Amerika Syarikat Pulang Semula AS$300 Juta

1MDB-Jho-Low

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Sejumlah AS$300 Juta daripada dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipulang semula oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia.

Sejak usaha untuk mendapatkan semula aset-aset milik 1MDB dimulakan pada bulan Jun 2018, kerajaan Malaysia telah menerima kira-kira AS$620 Juta daripada Amerika seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Dana-dana tersebut termasuklah AS$57 Juta hasil penyelesaian bersama Red Granite Pictures yang menerbitkan filem Box Office, The Wolf of The Wall Streets; AS$137 Juta hasil jualan pegangan Jho Low dalam Hotel Park Lane dan AS$126 Juta hasil daripada jualan kapal layar mewah, Equanimity pada bulan Disember tahun lalu.

Bahagian terakhir dana yang berjumlah AS$300 Juta itu telah dikreditkan kepada kerajaan pada bulan April, merupakan hasil atau aset berkaitan 1MDB yang telah diperoleh semula dan dilucutkan atau diserahkan kepada badan penyiasatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan pagi ini, berkata, jumlah itu adalah dana yang diperoleh semula hasil penyitaan aset-aset berkaitan 1MDB bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Beliau berkata, penjenayah yang dikehendaki Malaysia berhubung skandal 1MDB, Jho Low, telah mencapai penyelesaian dengan DoJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak terhadap aset yang dibeli olehnya pada 30 Oktober 2019 lepas.

Muhyiddin juga menambah, proses untuk menjual baki aset yang telah disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DoJ.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika Syarikat, terutamanya Kedutaannya di Kuala Lumpur, atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan dana berkaitan 1MDB itu.

Perdana Menteri turut menyampaikan rasa terima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan.

“Semangat perundingan yang gigih itu telah memudahkan lagi usaha pengembalian wang berkenaan kepada rakyat Malaysia. Kita juga berterima kasih di atas sokongan oleh rakan-rakan di pelbagai negara yang membantu Malaysia mendapatkan semula aset-aset berkaitan 1MDB ini,” kata beliau.

Baca juga artikel lain mengenai isu-isu semasa ketika ini:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram