75% Rakyat Malaysia Tiada Simpanan Minimum RM1,000

krisis-kewangan-covid-19

Kaji selidik yang dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati 75 peratus daripada penduduk negara ini tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.

Kajian itu didedahkan oleh Pengurus Besar Bahagian Operasi, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Fazleen Zakaria dalam satu wawancara khas bersama Kosmo! baru-baru ini.

Menurut beliau, kajian oleh AKPK terhadap tingkah laku kewangan pekerja dewasa turut mendapati dua daripada 10 rak­yat Malaysia sukar untuk menyimpan dalam tempoh enam bulan.

“Kesimpulan daripada semua kajian itu menunjukkan tahap kesedaran kewangan rakyat Malaysia masih rendah terutama sekali dalam membuat simpanan kecemasan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di ibu negara.

Sementara itu, menyentuh perkara yang sama, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Ja­ringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, mengikut Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan 2018 oleh BNM, kelompok tersebut hanya mempunyai simpanan jangka pendek yang biasanya akan digunakan pada setiap hujung bulan untuk menampung perbelanjaan harian.

Katanya, kebanyakan mereka hanya menyimpan dalam jumlah yang kecil, tetapi simpanan itu pula biasanya digunakan sebelum gaji berikutnya.

“Punca utama mereka gagal menyimpan ialah kurangnya pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan iaitu kebolehan menguruskan perihal kewangan diri dan keluarga, sumber pendapatan terhad, kenaikan kos sara hidup (inflasi) dan faktor gaya hidup.

“Nilai wang RM50 pada 10 tahun lalu berbeza nilainya dengan RM50 hari ini. Trend pembelian online yang semakin rancak me­ngubah gaya hidup. Orang ramai mudah untuk membeli apatah lagi barangan di platform dalam talian yang dikatakan lebih murah,” katanya.

Menurut Mohamad Fazli, ke­sannya ada dalam kalangan mereka yang terpaksa hidup dalam keadaan ‘gali lubang, tutup lubang’ atau berhutang sepanjang masa.

Kajian BNM itu juga mendapati, sebanyak 84 peratus rakyat negara ini tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menampung keperluan hidup antara tiga hingga enam bulan untuk menghadapi saat kecemasan seperti hilang pekerjaan.

“Saranan terbaik bagi simpanan ideal rakyat Malaysia sekiranya individu atau isi rumah itu berpendapatan kira-kira RM5,000 sebulan ialah mereka perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM15,000 hingga RM30,000 bagi kelangsungan hidup selama tiga hingga enam bulan,” ujarnya.

Mohamad Fazli turut mengulas kaji selidik Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 1) terhadap kelompok bukan kakitangan kerajaan yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dari tempoh 23 hingga 31 Mac lalu.

“Berdasarkan kajian melibatkan 168,182 individu terdiri daripada majikan dan pekerja di sektor swasta yang bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional global (MNC) itu sebanyak 71.4 peratus daripada individu yang bekerja sendiri tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk sebulan,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:

Bacaan Seterusnya