Azlan Shah Latif

Writer - Entrepreneur - Strategist - Bureaucrat

Berjaya Adalah Pilihan

Ramai orang ingin berjaya tetapi berapa ramai yang sedar bahawa mereka ada PILIHAN untuk berjaya. Sedar atau tidak, suka atau tidak, manusia sentiasa terdedah dengan pilihan dan mereka sentiasa ada pilihan walaupun mereka berada dalam situasi yang bukan mereka pilih.

Gambar : HS LEE

Apabila kita membuka mata di waktu subuh, kita ada pilihan untuk sambung tidur atau bangkit menunaikan kewajipan. Di saat kita mendapat link mengenai artikel dalam rencah.com ini juga kita ada pilihan sama ada untuk terus membaca atau keluar ke laman web yang lain. Begitulah banyaknya pilihan yang kita ada dalam kehidupan kita seharian namun persoalan yang perlu kita tanya adalah adakah kita MEMILIH untuk membuat pilihan?

Beberapa perkara yang kita perlu sedar tentang membuat pilihan :-

(1) bahawa semua orang boleh membuat pilihan

Ini adalah perkara pokok dalam membuat pilihan. Kita perlu sedar bahawa pilihan sentiasa ada dan kita sentiasa boleh membuat pilihan. Kita tidak boleh terus berserah kepada takdir sebelum kita memilih untuk berusaha. Dalam Al-Quran (kitab suci umat Islam) juga terdapat begitu banyak surah yang memberikan pilihan kepada manusia sama ada untuk berfikir atau tidak, beriman atau tidak, menjadi baik atau tidak dan sebagainya. Malah... Allah telah memberikan gambaran akan kesan jika kita tidak membuat pilihan yang betul.

Saya belum menyentuh tentang natijah yang terhasil daripada sesuatu pilihan, tetapi yang saya cuba sampaikan adalah pilihan sentiasa ada di depan mata dan kita perlu memilih

(2) bahawa masa depan kita bergantung kepada pilihan kita sekarang!

Kita tidak dapat mengubah masa silam kita dan ia akan kekal menjadi sejarah sama ada baik atau buruk. Namun, kita perlu sedar bahawa masa depan kita boleh dicorakkan oleh kita sendiri melalui pilihan yang kita buat pada masa sekarang.

Cuba anda PEJAMKAN mata anda sebentar dan cuba bayangkan dalam fikiran anda senario berikut -

Alarm handphone anda berbunyi tetapi anda tutup dan tidur semula. Apabila tersedar, anda terlewat bangun dan terkocoh-kocoh bersiap. Semasa bersarapan dengan keluarga anda, anak anda tertumpah air coklat atas meja dan anda memarahi anak anda kerana menumpahkan air dan isteri anda kerana beliau tidak memerhati anak anda semasa minum. Anak anda menangis kerana dimarahi dan isteri anda bermasam muka dengan anda.

Selesai membayangkan keadaan di atas? Dapat anda bayangkan betapa kelam kabutnya situasi tersebut? Ya... itulah hebatnya kuasa pilihan dan natijahnya ke atas kehidupan anda seterusnya. Senario di atas adalah satu keadaan seharian yang biasa dalam beberapa keluarga. Sekali lagi, cuba anda bayangkan senario di atas jika diganti dengan perkara berikut -

(1) Anda MEMILIH untuk bangun tidur sebaik alarm berbunyi dan terus mandi dan bersiap?

(2) Anda MEMILIH untuk bangkit mengambil kain lap di dapur untuk mengelap air yang tumpah?

Anda rasa adakah senario di atas akan berubah? Di situlah hebatnya kuasa membuat pilihan. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada anda untuk beberapa ketika di masa hadapan tetapi ia juga mungkin akan memberi kesan kepada orang di sekeliling anda.

Zon Pilihan

Persoalan seterusnya ialah bagaimana kita memastikan kita membuat pilihan yang betul?

Terdapat banyak artikel yang boleh anda baca tentang bagaimana membuat keputusan yang betul. Keputusan juga adalah hasil daripada tindakan anda membuat pilihan. Saya cuba ringkaskan untuk anda.

Dalam membuat pilihan, terdapat 2 zon pilihan yang perlu anda tahu -

(1) Zon Luar Kawalan - perkara-perkara yang tidak dapat dikawal oleh anda seperti kesesakan lalu lintas, cuaca, ekonomi semasa dan perasaan orang lain

(2) Zon Dalam Kawalan - perkara-perkara yang anda boleh kawal seperti tindakan anda, perasaan anda, pandangan anda dan persepsi anda terhadap sesuatu

Dalam membuat pilihan, anda perlu pastikan ia dibuat terhadap perkara-perkara yang berada DALAM Zon Dalam Kawalan anda dan bukan sebaliknya. Jika kita rujuk kembali kepada senario kita di atas tadi, bangkit dari tidur, mengambil kain lap di dapur dan mengelap sendiri air tumpah adalah pilihan yang berada dalam Zon Dalam Kawalan anda. 

Pilihan yang dibuat terhadap pilihan yang berada di dalam Zon Dalam Kawalan akan menyebabkan anda bermotivasi untuk melakukannya, berfikir sebaiknya sebelum membuat pilihan tersebut dan tidak mudah menyalahkan keadaan atau orang lain.

Dengan memahami konsep kuasa membuat pilihan dan bagaimana menentukan zon pilihan, anda pasti lebih memahami bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang ditetapkan terhadap seseorang tetapi merupakan satu pilihan yang boleh diambil oleh seseorang.

Kanak-kanak sentiasa riang. Adakah mereka memilih untuk riang? (Gambar ehsan Tadika Seri Pagi Cemerlang)

Mari kita lihat pernyataan ini -

Harga barang makin mahal, harga minyak terus naik saja

Nah! Berbekalkan kepada konsep asas Kuasa Membuat Pilihan tadi, anda rasa apakah pilihan anda?

loading