Chi Efdy

Seorang penulis, pelukis dan pemuzik bebas

Bagaimana Sebuah Lagu Dirakam?

Pernahkah anda terfikir bagaimana lagu-lagu yang anda dengar di corong-corong radio, kaset, cd dan mp3 atau media-media lain seperti youtube, spotify dan sebagainya dirakamkan? Bagaimana ia dirakam? Siapakah yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja rakaman lagu-lagu kegemaran anda itu?

Tahukah anda selain dari pencipta lirik, pencipta lagu, pemuzik dan artis yang menyanyikan lagu terdapat beberapa orang penting di belakang tabir yang bertanggungjawab menyiapkan rakaman lagu-lagu yang kita dengari hampir setiap hari itu. Artikel ini akan menerangkan secara ringkas tentang persoalan-persoalan di atas.

Studio Rakaman : Gambar: SignatureSound 
Umum kita mengetahui bahawa dalam dunia ini terdapat pelbagai genre atau jenis-jenis muzik dan lagu seperti rock, ballad, pop, hip-hop, dangdut, nasyid dan lain-lain. Kesemua lagu yang kita dengar akan melalui satu proses rakaman di dalam studio

Setelah sebuah lagu itu dicipta, para artis atau band akan melalui proses sedemikian. Di sinilah pentingnya orang belakang tabir yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja rakaman dari A hingga Z. Mereka terdiri dari recording engineer, mixing engineer, mastering engineer dan juga producer.

Ya, mereka adalah antara orang belakang tabir yang cukup penting dan bertungkus lumus menyiapkan serta memastikan kesemua proses-proses rakaman berjalan dengan lancar sehinggalah lagu tersebut dikeluarkan untuk para pendengar di luar seperti kita.

Merakam sesebuah lagu merupakan satu proses yang sangat rumit dan memenatkan tetapi dengan kepakaran serta pengalaman kesemua individu-individu yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja rakaman, proses ini biasanya akan berjalan dengan baik dan lancar. 

Sememangnya ia satu proses yang rumit terutama di era analog tape. Sekarang di era digital proses rakaman menjadi semakin mudah tetapi khidmat engineer masih lagi di perlukan di dalam sesebuah studio rakaman.

Oleh sebab itu kos untuk merakam lagu juga agak mahal kerana artis perlu menggunakan khidmat kepakaran daripada sound engineer tersebut untuk menghasilkan lagu yang berkualiti.

Recording Engineer

Secara ringkasnya rakaman lagu dilakukan bermula dengan rakaman alat-alat muzik seperti drum, guitar, bass, keyboard dan lain-lain alat muzik berdasarkan jenis lagu yang sesuai. Di sinilah tugas recording engineer di perlukan bagi memastikan proses rakaman berjalan dengan lancar. Recording engineer akan memastikan pemilihan microphone misalnya dan juga peralatan-peralatan lain yang sesuai disediakan dengan baik semasa proses rakaman dijalankan.

Proses merakam track gitar. Gambar: GuitarPlayyer
Setiap rakaman di panggil track. Jika di era analog kesemua track akan dirakam dan disimpan di dalam tape. Di era digital kini kesemua track akan dirakam dan disimpan di dalam komputer. 

Mixing Engineer

Setelah kesemua alat muzik dirakam oleh pemuzik termasuk rakaman vocal yang dinyanyikan oleh penyanyi itu sendiri, mixing engineer akan mengambil alih tugas untuk proses seterusnya iaitu proses mixing atau adunan. Setiap lagu yang telah siap dirakam sepenuhnya mixing engineer lah yang bertanggungjawab mengadun kesemua track yang sudah dirakam. Proses adunan merupakan proses yang rumit. Tugas mixing engineer adalah untuk memastikan setiap track diadun secukup rasa. 

Mixing engineer sedang bekerja Gambar : Recording Studio Rockstars
Pendengaran mixing engineer adalah sangat penting dan mereka perlu peka terhadap bunyi yang keluar daripada monitor speaker di dalam studio bagi memastikan setiap track diolah dengan baik serta diadun dengan balance yang betul sehinggakan setiap alat muzik yang dirakam dapat didengari oleh telinga kita walaupun sesebuah lagu itu mempunyai track yang begitu yang banyak. 

Mastering Engineer

Setelah proses mixing disiapkan, tugas seterusnya diambil alih oleh mastering engineer pula iaitu satu proses terakhir sebelum sesebuah lagu itu dikeluarkan. 

Mastering engineer bertanggungjawab memastikan sesebuah lagu itu digilap dan diselaraskan supaya ia sesuai didengari dalam semua jenis format media dan juga sistem audio seperti hi-fi di rumah mahupun radio di dalam kereta anda. 

Mastering adalah proses yang sangat rumit juga oleh sebab itu kebiasaannya lagu yang sudah siap diadun akan di hantar kepada mastering engineer yang merupakan pakar dalam bidang tersebut. Dengan peralatan-peralatan dan studio yang sesuai mastering engineer akan melakukan proses mastering ke atas sesebuah lagu. Setelah proses mastering dilakukan, barulah sesebuah lagu atau album dikeluarkan untuk pendengar-pendengar seperti kita samada dalam bentuk cd, kaset, mp3 dan sebagainya. Bagaimana pula dengan tugas producer

Producer

Producer adalah orang yang bertangungjawab memastikan setiap lagu yang akan dirakam berada dalam keadaan baik, lunak dan sesedap rasa. 

Producer akan memberikan nasihat dan idea bagaimana lagu yang hendak dirakam itu diolah dengan baik semasa proses rakaman dilakukan. 

Secara ringkasnya producer memainkan peranan yang penting untuk memastikan album dan juga lagu sesebuah band atau penyanyi itu tersusun dengan baik dan menarik minat pendengar.

Beli Yang Original

Sekarang anda sudah tahu serba sedikit tentang proses rakaman sesebuah lagu dilakukan. Banyak proses yang rumit dan memenatkan serta peralatan-peralatan yang mahal digunakan untuk menghasilkan sebuah lagu yang kita dengar setiap hari. 

Perbelanjaannya juga mahal demi menghasilkan satu audio yang berkualiti dan sedap didengari oleh halwa telinga kita. 

Oleh itu belilah yang original, hentikan cetak rompak atau muat turun lagu-lagu kegemaran anda secara sah atau berbayar kerana banyak masa, tenaga dan wang ringgit dihabiskan demi menghasilkan rakaman lagu yang berkualiti.

loading