Syahin Mazlan

seorang pelajar yang masih mencari minat dan bakat.

Uji Kaji UBI di Finland

Universal Basic Income atau Pendapatan Asas Sejagat dalam Bahasa Melayu merupakan Idea yang makin mendapat perhatian umum belakangan ini dan sering digembar-gemburkan. Umumnya, PAS adalah sebuah sistem di mana kerajaan akan membayar sejumlah wang kepada semua rakyatnya, sama ada bekerja mahupun menganggur untuk membiayai keperluan asas demi meneruskan kelangsungan hidup. Pembiayaan ini hadir tanpa sebarang syarat kelayakan ataupun ikatan. Konsep ini sekaligus menghapuskan sebarang konotasi negatif terhadap penerimanya. Dalam erti kata lain, PAS adalah wang mudah.

Secara amnya, penyokong dasar PAS mengetengahkan hujah bahawa kebanyakan yang bekerja rata-ratanya tidak mampu untuk melunaskan sewa dan perbelanjaan seharian. Ramai yang bekerja sepenuh masa dan masih berada di bawah garisan kemiskinan. Konsep PAS juga popular dalam kalangan libertarian di mana mereka melihat pembiayaan ini sebagai suatu medium untuk mengecilkan dasar kebajikan negara. Sebagai contoh kebajikan kesihatan, subsidi perumahan dan lain lain boleh digantikan dengan satu kadar rata iaitu Pendapatan Asas Sejagat.

Pada awal 2017 kerajaan Finland telah mula menjalankan uji kaji sama ada konsep PAS ini relevan dan mampu untuk diketengahkan. Matlamat utama uji kaji tersebut dijalankan adalah untuk menyiasat samada PAS mampu menggalakkan rakyatnya untuk mula bekerja dan bukan sebaliknya kerana antara masalah utama bagi Finland adalah pengangguran.


Kadar pengangguran di Finland adalah pada tahap 8.8%, dua kali ganda nilainya di Amerika Syarikat


Di Finland, penganggur akan diberi elaun selama 10 hingga ke 13 bulan, dan jika tempoh tersebut dilewati, mereka masih boleh memohon subsidi pasaran buruh. Namun begitu, penganggur tidak boleh mempunyai sebarang pendapatan tambahan lain kerana berisiko untuk elaun tersebut ditarik. Hal ini menyebabkan penganggur di Finland cenderung untuk terus menganggur malahan sanggup mencari alternatif lain seperti menyelesaikan tugas secara percuma untuk tidak menggugat status elaun mereka.

Uji kaji PAS ini telah dilaksanakan bermula dengan sekumpulan kecil warga Finland seramai 2000 orang yang sedang menganggur dari serata negara. Golongan tersebut berumur dalam lingkungan 25 hingga ke 58 tahun (terlalu tua untuk bantuan pelajar, terlalu muda untuk faedah pencen) dipilih secara rawak dan bukan sukarela. Pada awal tahun, mereka telah diberikan surat menerangkan bahawa mereka sebahagian daripada uji kaji tersebut dan akan menerima 560 euro ( ≈ RM2700) setiap bulan.

Elaun Penganggur

Sanna Leskinen, 39 adalah salah seorang penduduk Joensuu, sebuah bandar terpencil di Finland. Beliau telah menganggur selama 2 tahun meskipun mempunyai ijazah sarjana dalam bidang sejarah dan pernah bekerja sebagai penyelidik untuk sebuah projek sehingga ia kehabisan dana. 

Beliau merupakan salah seorang dari peserta uji kaji tersebut. Walaupun jumlah yang diberikan kurang sedikit dari elaun penganggur yang dia terima, PAS adalah sebuah elaun yang dijamin dan tidak akan diganggu gugat dengan status penganggurnya. Dia kini boleh mencari pekerjaan tanpa risau akan PAS yang diterima setiap bulan.

Secara amnya, untuk memperoleh elaun penganggur di Finland, Sanna perlu menghadiri perjumpaan dan daftar masuk setiap beberapa bulan di mana kehadirannya akan direkod. Bawah program PAS, Sanna tidak perlu melakukan apa-apa dan masih menerima 560 euro setiap bulan.

Pendapat Lain

Uji kaji ini mampu meletakkan PAS selangkah lebih dekat untuk menjadi realiti, namun ada juga pihak yang berpendapat sebaliknya. Marjukka Turunen, staff KELA (sebuah badan kerajaan Finland) yang memantau uji kaji PAS menyatakan PAS akan menghapuskan segala sekuriti sosial yang telah dibina berdekad lamanya. Beliau juga berpendapat PAS tidak sesuai untuk ibubapa yang mempunyai kanak-kanak istimewa dalam tanggungan mereka serta tidak mempunyai masa untuk mencari kerja sambilan. Selain itu persoalan siapa akan membiayai PAS jika ia dilaksanakan juga dibangkitkan.

Jika ada yang mengaku dia tahu berapa mahal PAS jika dilaksanakan, dia sedang menipu

Roope Mokka, pengasas Demos Helsinki, mengulas bahawa PAS akan mengunjurkan perubahan sistemik dan jika kerajaan memutuskan untuk membayar setiap rakyatnya sejumlah wang, ia akan merangsang ekonomi dalam segenap aspek yang akan membuatkan keseluruhan sistem berubah. PAS secara amnya akan mewujudkan penjimatan wang birokrasi, namun secara relatifnya ia masih suatu dasar yang berkos tinggi. Walaupun begitu, Mokka berpendapat bahawa ahli politik akan melakukan tindakan yang sewajarnya jika wang adalah batu penghalang.

Yang pastinya, uji kaji ini masih dalam peringkat awal dan akan memerlukan lebih banyak susulan dan uji kaji seterusnya. Jika PAS terbukti sebuah dasar yang memberikan impak positif kepada warga Finland, sudah tentu tidak lama lagi ia akan direalisasikan dan mungkin negara lain turut akan mengikut jejak langkah yang sama.

loading