Izzuddin Ismail

Peminat pelbagai jenis sukan, lebih suka berpeluh di hadapan skrin berbanding di atas padang

3 Tips Penting Memilih Kasut Bola Sepak

Hampir semua jenis sukan di atas muka bumi ini memerlukan kasut yang sesuai untuk dipakai ketika bersukan. Bola sepak juga tidak terkecuali walaupun anda pandai atau tidak, tua atau muda, memilih kasut yang betul adalah elemen yang harus dititikberatkan. 

Lambakan kasut bola di dalam pasaran membuatkan ramai orang rambang mata dan sering kali tidak mampu membuat pilihan tepat. Ada yang mahal dan ada yang murah. Tetapi harus diingat bukan semua yang murah tidak berkualiti dan bukan semua yang mahal sesuai untuk dipakai.

Artikel ini bakal membantu anda untuk memilih kasut bola yang benar-benar sesuai dengan kaki anda.

1. Realiti Pahit Berkenaan Kasut Bola

Ini mungkin ayat yang sering diperkatakan oleh kawan-kawan anda ketika anda sedang asyik memilih kasut bola di kedai sukan. 

Abu, pilih je mana-mana kasut. Bola sepak bukan mengenai kasut, tetapi skill pemain itu sendiri. Kasut tidak akan akan menjadikan kamu pandai bermain bola sepak.

Walaupun ayat di atas berbunyi kejam jika anda seorang yang baru berjinak-jinak untuk bermain bola sepak, kasut yang bagus tidak akan menjadikan anda bagus serta merta tetapi ianya banyak membantu. 

Mempunyai kasut yang tepat dengan diri anda akan memudahkan perjalanan anda menjadi pemain bola sepak yang bagus. 

Apabila memilih kasut, jangan ikut apa yang pemain kegemaran anda pakai. Jika anda tertarik dengan kasut 'Nike Mercurial' yang dipakai oleh Cristiano Ronaldo, ia tidak semestinya sesuai untuk anda. Jadi apa yang ingin diberitahu disini adalah jangan beranggapan apabila anda memakai kasut sama seperti Ronaldo, anda bakal bermain bola sepak sehebat Ronaldo. Karut.

2. Ketahui Corak Permainan & Kekuatan Anda

Ini adalah maklumat paling penting yang harus diketahui oleh empunya badan sebelum menghidupkan enjin kereta untuk pergi membeli kasut bola. Setiap pemain yang bermain bola sepak mempunyai kualiti yang berbeza dari satu sama lain. Perbezaan ini menjadikan sukan bola sepak amat menarik untuk dimainkan dan ditonton. 

Gambar : Kitbag

Ketahui posisi mana yang anda minat dan mampu bermain dengan baik. Ada pemain yang mampu bermain banyak posisi dan ada yang lebih suka menumpukan pada satu posisi sahaja. Misalnya, jika anda mahu menggunakan tangan ketika bermain bola sepak, pilih untuk menjadi penjaga gol sahaja. 

  • Penjaga Gol - Memerlukan kasut yang mempunyai daya geseran yang tinggi dan pada bahagian depan kasut, ia mampu untuk menendang bola dengan kuat bagi tujuan tendangan gol atau mengeluarkan bola dari kotak penalti. 
  • Pemain Bertahan - Kasut yang mempunyai struktur yang lebih kuat dan tahan lasak. Juga boleh melakukan hantaran mudah kepada rakan dengan tepat. 
  • Pemain Tengah - Memerlukan kasut yang memberikan kawalan bola dan mampu berlari turun naik padang untuk 90 minit dengan selesanya. 
  • Sayap - Harus mencari kasut yang ringan. Kasut itu mesti memberikan pemain keupayaan untuk berlari dengan pantas dan menukar arah dengan cepat. 
  • Penyerang - Juga memerlukan kasut yang lebih ringan. Bahagian depan kasut yang digunakan untuk menendang bola juga mesti kemas untuk merembat bola dengan padu. 

3. Pilih Kasut Berdasarkan Jenis Padang

Jika anda tahu yang anda akan bermain di permukaan yang becak dan berlumpur, jangan pilih kasut HG (Hard Ground) kerana ia akan menyebabkan anda mudah menggelongsor dan jatuh. Bola sepak dimainkan di atas beberapa jenis permukaan padang, antaranya seperti padang tiruan, padang tanah keras dan juga lembut. 

Gambar : HB Sports Surfaces

Anda mesti tertanya-tanya apabila melihat abjad seperti FG, SG dan AG dalam deskripsi kasut. Ia sebenarnya menerangkan permukaan padang yang sesuai untuk kasut tersebut dimainkan. 

  • FG (Firm Ground) - Kasut jenis FG amat sesuai untuk padang rumput semulajadi yang mana hujan jarang berlaku. Kasut ini juga versatile dan boleh dimainkan di padang tiruan. 
  • SG (Soft Gorund) - Kasut jenis SG pula hanya sesuai dipakai apabila bermain di tanah yang mampu menyebabkan stud kasut menembusi lapisan tanah. Pilihan kasut ini popular di kawasan yang menerima hujan dengan kerap dan kasut ini sering hadir dengan pilihan stud yang boleh ditukar-tukar. 
  • HG (Hard Ground) - Jenis kasut ini makin jarang untuk dijumpai dalam pasaran. Ini kerana kasut ini hanya dimainkan di permukaan padang yang kering dan tidak berumput. Kasut ini juga sesuai untuk dimainkan di permukaan jenis FG.
  • AG (Artificial Ground) - Kasut jenis ini adalah ciptaan terbaru syarikat-syarikat sukan dan semakin popular di dalam pasaran. Kasut jenis AG hanya sesuai dimainkan di padang tiruan kerana memberi lebih banyak cengkaman dan geseran di atas padang.  Kasut ini tidak sesuai sama sekali untuk digunakan di permukaan jenis FG.

Banyak lagi tips penting untuk memilih kasut yang tepat seperti jenis kulit kasut, berat, jenis tapak kaki dan juga saiz kasut yang tepat. Tetapi perkara paling penting adalah anda mempunyai poket yang mencukupi untuk membeli kasut impian anda, kerana tanpa duit anda hanya mampu bermimpi memakainya di atas padang. 

Akhir sekali, apabila kasut telah dibeli, jagalah ia dengan penuh teliti. Kasut mestilah dibersihkan selepas setiap kali anda bermain bagi memastikan kasut tersebut mempunyai jangka hayat yang lebih lama. Keluarkan kasut daripada beg setiap kali anda sampai di rumah dan biarkan ia kering sepenuhnya. Anda tidak mahu mati lemas dek kerana bau hapak dari kasut yang diperam terlalu lama di dalam beg. 

Diharap tips-tips ini menjadi rujukan berguna sebelum membeli kasut impian anda. Sekian. 

loading