Izzuddin Ismail

Peminat pelbagai jenis sukan, lebih suka berpeluh di hadapan skrin berbanding di atas padang

5 Menu Tempatan Wajib Anda Cuba Jika Melancong ke Bali

Terletak berdekatan dengan Laut Jawa, Bali merupakan salah satu lokasi pelancongan paling popular di dunia dan dikunjungi ratusan ribu pelancong setiap tahun. Pelancongan merupakan penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi Bali dengan hampir 80% perniagaan di kepulauan tersebut berkait dengan pelancongan. 

Selain budaya yang unik dan pelbagai acara meriah, Bali juga mempunyai pilihan makanan tempatan yang menarik untuk dicuba. Tetapi untuk merasai menu tempatan, anda harus keluar dari keselesaan hotel anda untuk mencubanya.

Makanan tempatan di Bali mendapat pengaruh yang kuat dari masyarakat yang menganut agama Hindu yang tinggal di kepulauan tersebut selain sedikit pengaruh dari Kepulauan Jawa dan India. Tetapi kebanyakan menu ini adalah pedas dan mempunyai bermacam rasa hasih penggunaan pelbagai rempah dalam masakan.

Makanan ruji di Bali adalah nasi, ikan dan juga khinzir untuk yang bukan menganut agama Islam. Apa yang menjadikan menu tempatan ini lebih menarik untuk dicuba adalah menu-menu tempatan ini kebanyakannya dibuat hasil dari campuran rempah ratus, 'paste' ikan, cili dan juga gula Melaka. 

Jadi apa hidangan tempatan yang wajib anda cuba sepanjang berada di Bali ? Artikel ini bakal membantu anda.

1. Sate Lilit 

Gambar - 9Kitchen-Nine

Sate merupakan salah satu makanan paling popular di Bali dan juga di Asia Tenggara. Apa yang menjadikan sate lilit di Bali ini unik dari sate biasa adalah dagingnya akan dililit di batang buluh atau serai sebelum dibakar, berbanding cara normal iaitu mencucuk lidi ke dalam daging. Penggunaan serai dan cili yang banyak juga menjadikan sate ini lebih kuat aromanya dan wangi berbanding sate biasa. 

Antara jenis daging yang popular digunakan untuk membuat sate lilit adalah daging ayam, khinzir, dan ikan tenggiri. Sate yang diperbuat daripada ikan tenggiri adalah pilihan paling popular di Bali.

Sate lilit boleh dinikmati di mana-mana sahaja ketika anda berada di Bali, sama ada di restoran, gerai tepi jalan ataupun pasar. 

2. Ayam Betutu 

Gambar - Perut Gendut

Ayam Betutu adalah makanan wajib jika anda anda bertandang ke Bali. Ditambah lagi jika anda seorang yang gemarkan masakan pedas, ayam betutu pasti membuatkan anda terliur dan ketagih untuk menikmatinya. 

Cara untuk menyediakan ayam betutu juga agak panjang. Ayam akan diperam dengan rempah ratus terlebih dahulu sebelum dikukus selama sejam. Kemudian, ia akan dibakar dengan api yang dihidupkan dengan tempurung kelapa selama 1 jam lagi. Selesai dibakar, ayam ini akan dibungkus dengan daun pisang untuk menjaga tekstur ayam supaya ianya tidak kering dan wangi untuk dinikmati. 

Ayam betutu kebiasaannya dihidangkan dalam majlis keramaian dan parti dan dihidangkan sekali dengan daun pisang. Di Bali, menu ini dianggap menu yang istimewa dan sering dihidangkan kepada tetamu yang hadir. 

Lokasi Ayam betutu yang popular:

  • Warung Ayam Betutu Liku
  • Ayam Betutu Men Tempeh, Gilimanuk
  • Ayam Betutu Khas Gilimanuk

3. Lawar Kuwir

Gambar - Perut Gendut

Lawar diperbuat daripada campuran daging cincang, sayur campur, ampas kelapa dan beberapa bahan lagi. Lawar biasanya dihidangkan dengan campuran daging khinzir tetapi terdapat juga pilihan lain untuk mereka yang beragama Islam iaitu bebek entok (kuwir atau itik). 

Lawar kebiasaannya dihidang dengan nasi kukus dan diletakkan di atas daun pisang. Lagi enak jika ia dimakan sekali dengan sate lilit dan ayam betutu.

Lawar selalunya akan dihidangkan dalam kuantiti yang banyak untuk disajikan kepada orang ramai dalam majlis keramaian yang besar. 

Lokasi Lawar Kuwir yang popular:

  • Warung Makan Pan Sinar, Denpasar
  • Restoran Bumbu Bali
  • Warung Lawar Kuwir Men Koko,Tabanan

4. Serombotan

Gambar - SukaDapur.com

Hidangan yang diperbuat daripada sayuran sepenuhnya, ini adalah menu wajib bagi penggemar sayur dan vegetarian. Bahan yang digunakan untuk menyediakan Serombotan adalah kacang panjang, bayam, kangkung, terung, tauge, kacang buncis, dan peria. 

Campuran sayur ini kemudiannya akan direbus sebelum dimakan bersama kacang goreng dan bumbu khas yang disediakan sebelum itu. Menu tempatan ini dipercayai berasal daripada daerah Klungkung dan dianggap sebagai hidangan berkhasiat di Bali.

Serombotan boleh didapati dengan mudah di Klungkung tetapi boleh juga ditemui di pasar-pasar tradisional sekitar Bali. 

5. Martabak

Gambar - detikFood

Boleh dinikmati dalam perisa manis atau masam, Martabak merupakan satu lagi menu tempatan yang popular di Bali.  Jika anda inginkan martabak yang berperisa manis, ia biasanya hadir dengan dua bahan utama, sama ada menggunakan pisang atau coklat. Terdapat juga martabak yang diadun dengan telur itik, campuran bawang dan daging hancur.

Kebiasaannya, martabak dimakan penduduk setempat ketika minum petang. Makanan ini mendapat pengaruh kuat daripada Tanah Arab dan diolah untuk mengikut citarasa penduduk tempatan. 

Martabak agak mudah untuk dijumpai di Bali terutamanya di pasar tradisional dan gerai tepi jalan.

loading