Izzuddin Ismail

Peminat pelbagai jenis sukan, lebih suka berpeluh di hadapan skrin berbanding di atas padang

McGregor, Kisah Tukang Paip Ke Sukan Tempur

Empat tahun lepas, Conor McGregor terpaksa beratur di luar pusat kebajikan untuk mengambil bantuan mingguan daripada pihak kerajaan berjumlah sebanyak £165.

Dilahirkan pada 29 Julai 1988, tiada siapa menyangka pemuda ini mampu menjadi antara bintang sukan paling berpengaruh dan disenaraikan dalam senarai atlet terkaya di dunia oleh majalah Forbes dengan kekayaan terkumpul berjumlah $34 juta setakat Jun 2017. 

Kini, atlet berasal dari Republik Ireland bermulut lantang ini sudah mampu membelanjakan wang sesuka hati selepas menambah kekayaan beliau berlipat kali ganda ketika tewas kepada legenda tinju dunia, Floyd Mayweather Ogos lalu. Mcgregor dilaporkan menerima hampir $40 juta dari perlawanan tinju itu sahaja.

Tetapi tinju bukanlah sukan utama beliau. 

Gambar: The Atlantic

Mcgregor mencipta nama dalam industri pertempuran dunia melalui organisasi bernama 'Ultimate Fighting Championship' (UFC). UFC merupakan satu organisasi besar yang bertanggungjawab mempopularkan sukan tempur campuran atau lebih dikenali sebagai 'Mixed Martial Arts' (MMA) kepada seluruh dunia semenjak ditubuhkan pada tahun 1993. 

Peningkatan mendadak Mcgregor dalam industri sukan tempur bukan sahaja mengejutkan dunia tetapi telah membuka mata banyak pihak. Beliau bermula sebagai seorang pekerja sistem perpaipan di Dublin, Ireland yang terpaksa mencuri masa untuk menjalani latihan bagi mempelajari selok belok sukan ini. 

Usia Muda Mcgregor

Di awal usia beliau, Mcgregor pada mulanya meminati sukan bolasepak. Tidak lama kemudian, beliau mula jatuh cinta dengan sukan tempur MMA dan sering berkata kepada teman wanitanya, Dee Devlin yang beliau bakal menjadi bintang sukan tersohor dan mengubah kehidupan mereka menjadi mewah. 

Bakat Mcgregor mula dikesan oleh bekas petempur UFC,Tom Egan yang bertindak melatih beliau mengenai asas-asas MMA.Kemudian pada usia beliau menginjak 18 tahun, Mcgregor masuk ke gelanggang untuk perlawanan amatur pertamanya dan mudah menewaskan lawannya seawal pusingan pertama. 

Ekoran persembahan menarik beliau pada malam itu, Mcgregor berjaya mendapatkan kontrak profesional beliau yang pertama pada tahun 2007. Selepas itu, Mcgregor dilatih oleh pasukan 'Straight Blast Gym' yang diketuai oleh John Kavanagh. John Kavanagh dan pasukannya kekal menjadi jurulatih Mcgregor sampailah sekarang. 

Tidak lama dulu saya sedang menjalani latihan untuk menjadi seorang tukang paip. Ianya satu perjalanan yang indah dan saya banyak menimba pengalaman bertinju terutamanya di Kelab Tinju Crumlin ketika di awal pembabitan saya dalam bidang ini. 

Bermulanya Kemasyuran Mcgregor

Tahun 2013 adalah tahun dimana segalanya bermula dimana UFC menandatangani Conor Mcgregor untuk beraksi dalam beberapa perlawanan. UFC bertindak menandatangani Mcgregor selepas menyedari kehebatan petempur muda Ireland ini menarik minat penonton menerusi gerakan menarik di dalam gelanggang dan kepetahan beliau berkata-kata.

Kepetahan berkata-kata disini bukanlah bermaksud Mcgregor seorang yang pandai berpidato. Tetapi ianya bermaksud Mcgregor seorang yang mahir menggunakan taktik 'Thrashtalk' untuk melemahkan semangat lawan sebelum pertempuran berlangsung. Keupayaan Mcgregor berkata-kata juga telah menarik minat penonton terutamanya dari negara kelahirannya, Ireland untuk mengikuti perkembangan karier beliau. 

Mcgregor tidak menunggu lama untuk menggegarkan UFC dan peminat MMA di Amerika Syarikat. Beliau hanya mengambil masa selama setahun setengah sahaja untuk merangkul kejuaraan pertama dengan menewaskan penyandang juara kategori 'Featherweight', Jose Aldo. Aldo ketika itu tidak pernah tewas sepanjang karier beliau dan Mcgregor dikatakan mempunyai peluang yang tipis untuk menewaskan legenda MMA ini. 

Walaubagaimanapun, Mcgregor membuktikan mengapa beliau seorang yang istimewa. Hanya 13 saat diperlukan beliau untuk mengakibatkan juara divisyen tersebut tidak sedarkan diri dan merampas tali pinggang daripada Aldo. Sebelum pertempuran tersebut, Aldo tidak pernah tewas selama 15 perlawanan berturut-turut, menjadikan kejayaan Mcgregor lebih bermakna dan membuka mata semua pihak. 

Beberapa bulan kemudian, Mcgregor mencipta satu lagi sejarah dengan menjadi petempur pertama di UFC yang memegang dua kejuaraan divisyen pada masa yang sama. Beliau menewaskan Eddie Alvarez untuk merangkul kejuaraan divisyen 'Lightweight' disamping pada masa yang sama juara bertahan divisyen 'Featherweight'. 

Money Fight

Kemasyuran Mcgregor menarik perhatian legenda tinju antarabangsa, Floyd Mayweather. Floyd yang memegang rekod sempurna 49-0 sepanjang karier tinju beliau, merasakan Mcgregor orang yang paling sesuai untuk menjadi lawannya yang ke-50. Floyd keluar dari persaraan dan mengumumkan yang beliau bakal mengadakan perlawanan tinju menentang Connor Mcgregor, pengumuman yang mengejutka dunia memandangkan Mcgregor bukanlah seorang yang peninju profesional.

Perlawanan tinju tersebut berlangsung penghujung Ogos lalu dengan puluhan juta penduduk dunia menonton perlawanan tersebut. Pendapatan hasil dari penajaan dan siaran berbayar bernilai lebih $100 juta menjadikan perlawanan itu digelar 'Money Fight' oleh pihak media. Mcgregor tewas perlawanan tersebut dengan pengadil terpaksa menghentikan perlawanan ketika pusingan ke-10 selepas Mcgregor dilihat hampir tumbang dan tidak bermaya untuk meneruskan perlawanan. 

Kini, Mcgregor sedang berehat dengan selesanya selepas mengutip cek puluhan juta dari perlawanan tinju itu sahaja. Ditambah dengan kehadiran cahaya mata pertamanya, Mcgregor berkata hidupnya kini sudah berubah. 

Pengalaman menjadi bapa untuk pertama kalinya adalah suatu pengalaman yang betul-betul membuka minda saya. Sebagai seorang petempur, saya kini lebih berbahaya dari sebelum ini. Ini kerana saya mempunyai tanggungan yang perlu dijaga.

Nama Conor Mcgregor kini dikenali serata dunia dan menjadi tarikan utama kepada peminat-peminat MMA khususnya. Pelbagai rintangan dan halangan yang telah ditempuh Mcgregor untuk mencapat tahap ini dan segalanya dilihat berbaloi apabila melihat kejayaan dan kekayaan yang diperoleh beliau pada hari ini. 

loading