Mohd Khaidzir

Penjual Ubat Kuat

Gambar Ketika Darurat Yang Diwarnakan

Seperti yang kita pelajari dalam subjek Sejarah, negara kita pernah berhadapan satu situasi yang dipanggil Darurat sekitar 1948 sehingga 1960. Darurat diisytiharkan oleh kerajaan British di Tanah Melayu pada waktu tersebut untuk memerangi perjuangan pihak berhaluan kiri, terutamanya Parti Komunis Malaya.

Ketika undang-undang darurat dilaksanakan, pihak polis diberi kuasa untuk menahan, memenjara, menghukum tanpa perbicaraan terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah menyokong dan terlibat dengan aktiviti PKM, termasuk hukuman mati.

Secara kasarnya, kira-kira 10,000 nyawa telah terkorban dalam episod hitam penubuhan negara Malaysia ini dan mereka terdiri daripada askar, rakyat jelata dan juga daripada pihak komunis sendiri.

Tentera gabungan dilihat membawa askar komunis yang berdarah di atas kayu | Gambar : Daily Mail

Darurat secara rasminya bermula pada 16 Jun 1948 selepas tiga pengurus ladang yang berbangsa British telah dibunuh di Sungai Siput, Perak.

Pada 23 Julai 1948 pula, pihak berkuasa British di Tanah Melayu mengisytiharkan pengharaman parti Komunis Malaya dan mana-mana pertubuhan berhaluan kiri lain.

Perbincangan strategi untuk memerangkap pihak musuh | Gambar : Daily Mail

Sejak detik itu, pihak komunis yang berpangkalan di hutan dan pedalaman semenanjung Malaya semakin galak merosakkan harta awam seperti meletupkan landasan kereta api, selain memusnahkan ladang-ladang getah dan lombong bijih timah dengan harapan mereka akan menyusutkan pendapatan pihak British dari hasil Tanah Melayu.

Penduduk juga ditahan untuk diperiksa barangan yang dibawa demi menyekat bekalan kepada komunis | Gambar : Daily Mail

Portal berita United Kingdom, Daily Mail telah menerbitkan sejumlah gambar ketika darurat di Malaya dan menariknya, gambar lama ini diberikan sentuhan warna.

Walaupun gambar-gambar tersebut sekadar menampilkan 'perjuangan' askar British, namun cukup untuk memahamkan generasi pasca merdeka pada hari ini untuk menyelami serba sedikit suasana ketika berlakunya peristiwa darurat.

Helikopter berlabel H, J dan K berlegar-legar di ruang udara | Gambar : Daily Mail

Daily Mail turut menyatakan walaupun situasi penentangan terhadap PKM ini sebenarnya merupakan satu bentuk perang, namun pihak British terpaksa mengelakkan penggunaan perkataan perang yang sebaliknya diganti dengan terma darurat.

Ini adalah kerana jika perang diisytiharkan, ladang-ladang yang rosak yang perniagaan wakil British di Tanah Melayu tidak akan mendapat pampasan insurans!

Menyeberangi sungai | Gambar : Daily Mail

Sepanjang tempoh darurat, pihak kerajaan Tanah Melayu yang diketuai Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman telah cuba berunding dengan pihak Komunis supaya menghentikan perjuangan sia-sia mereka namun kepala komunis, Chin Peng telah menyatakan persetujuan bersyarat.

Askar British beristirehat sambil membaca majalah | Gambar : Daily Mail

Salah satu daripadanya ialah kerajaan Tanah Melayu mengiktiraf PKM sebagai satu parti yang sah. Tunku Abdul Rahman menolak syarat Chin Peng ini.

Pada 6 Oktober 1951, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu, Henry Gurney telah dibunuh komunis dan disebabkan kejadian ini di samping keganasan-keganasan lain, rakyat tempatan semakin kurang menyokong perjuangan komunis.

Kenderaan ditahan dan diperiksa | Gambar : Daily Mail

Undang-undang darurat secara rasminya diumumkan berakhir adalah pada tahun 1960, dan pada 2 Disember 1989,pihak kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian damai dengan PKM, sekaligus secara rasminya juga mengumumkan kekalahan pihak PKM.

Menyeberang anak sungai | Gambar : Daily Mail
Paya turut diredah askar | Gambar : Daily Mail
Para tentera baru turun helikopter | Gambar : Daily Mail
loading