Mohsen Amdan

Psikologis dan Filantropis yang berusaha ke arah masyarakat yang lebih baik dengan pendekatan Live Wire

Berminda Positif, Tetapi Terjebak Dengan Skim Ponzi?

Bolehkah kita mengharapkan pohon durian jenis Musang King yang ranum dan lebat buahnya dengan hanya menanam benih buah mangga? Pastinya mustahil bukan? Apa yang kita tanam, maka itulah kemungkinan hasil tanaman yang muncul. Hal ini bukan sahaja terpakai kepada tanaman, tetapi juga kepada pemikiran manusia.

Apa yang anda fikirkan, maka itulah perkara yang lebih mudah akan terjadi atau dilaksanakan. Lagu "Fikirkan Boleh" yang satu ketika dulu sering berkumandang di corong radio di Malaysia ini sebenarnya menggambarkan betapa pentingnya untuk kita berfikiran positif terhadap apa juga yang kita hadapi saban hari.

Perhatikan lirik ini dari kumpulan rock Metropolitan dalam album Di Sebalik Rahsia Cinta tahun 1991.

Jika kau fikirkan kau boleh ,Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu ,Usahamu tidak menentu
Jika kau fikirkan kekalahan ,Kau hampiri kegagalan
Jika kau fikirkan kemenangan ,Kau hampiri kejayaan
Engkaulah apa kau fikirkan ,Terkandung dalam pemikiran
Kau fikir boleh melakukan ,Fikirkan boleh
Percaya apa kau lakukan ,Tabah apa kau usahakan
Bertindak atas kemampuan ,Engkau boleh

Persoalannya, mudahkah berfikir secara positif ini?

Banyak program-program kendalian penceramah motivasi serata dunia berkaitan pembentukan pemikiran positif ini sejak dulu lagi. Ia juga popular dengan jenama "Positive Mental Attitude". Video - video ceramah dan kupasan mengenainya banyak di Youtube mahupun di Facebook penceramah popular dalam dan luar negara.

Berfikiran positif ini bukan sahaja ditekankan dalam dunia produktiviti. Dalam Islam, berfikiran baik juga dituntut dan ia wujud dalam konteks Redha, Taqwa dan Husnu Dzon (bersangka baik). Tiada apa yang akan berlaku di dunia ini melainkan izin Allah SWT. Itu adalah pasti. Cumanya, sebelum boleh untuk Redha, Taqwa dan bersangka baik ini, manusia perlu mempunyai ilmu terhadap keEsaan Allah dan apa yang berlaku disekeliling mereka. Sebagai contoh, dengan melihat mendung pekat di langit, kita perlu bersedia dengan teduhan meski hujan belumlah tentukan?

Kemampuan Otak Manusia

Kemampuan tindak tanduk manusia amat berkait rapat dengan kemampuan pemikirannya. Pemikiran manusia bukanlah bergantung kepada berapa besar saiz otak atau memorinya. Kemampuan menghafal paling banyak bukanlah kayu pengukur kepada kebijaksanaan. Otak manusia digunakan sehingga 40% fungsinya untuk ketangkasan dan memori hanyalah sekitar 20% sahaja.

Orang yang tangkas pemikirannya, lebih banyak memproses maklumat, dan dengan maklumat yang banyak untuk diproses, ini akan membantu kepada kadar positif atau negatif pemikirannya dalam membuat sesuatu keputusan.

Mereka yang gagal berfikir dengan baik sering saja menjadi mangsa manipulasi orang lain. Ini jelas dibuktikan dengan skim ponzi yang masih berjaya menipu ramai orang. Meski saban tahun banyak skim - skim sebegini terbarai atau istilah popular dikalangan netizen : TERSONTOT. Namun bak kata pepatah, jerat tidak melupakan pelanduk, tetapi pelanduklah yang selalu melupakan jerat. Ada yang sudah tertipu berkali - kali, sehinggakan orang disekeliling mereka bingung melihat mereka yang bagai tiada langsung rasa kekesalan.

Mereka yang terjebak dengan skim ponzi juga pada asasnya adalah mereka yang berfikiran positif. Mereka positif dengan semua cerita dan kisah bohong yang sampai ke telinga mereka. Mereka positif bahawa keputusan mereka untuk menyertai skim itu akan membuahkan kekayaan dan kejayaan. Mereka positif bahawa mereka juga akan mampu bebas dari perangkap kewangan. Bukankah itu satu perkara yang baik? Berfikir secara positif dan tidak bersangka buruk? Di mana silapnya mereka ini?

Agama Sebagai Asas Pemikiran Positif

Untuk berfikir positif, manusia perlu memiliki asas pemikiran yang jelas. Apakah asasnya? Asasnya ialah agama. Apa saja yang kita fikir dan lakukan perlulah mempunyai sandaran terhadap agama. Jika kita pasti apa yang kita fikir dan lakukan itu selari dengan kehendak agama, maka pemikiran positif akan mudah terbentuk.

Contohnya, berfikiran positif untuk memiliki kekayaan melimpah ruah : apakah sandarannya kepada agama? Jika yang disandarkan ialah untuk bermegah, bangga dengan kekayaan pastinya itu jauh dari agama. Maka kekayaan yang bagaimana memiliki asas agama? Inilah yang perlu diperhalusi oleh kita yang berusaha berhempas pulas mengumpul harta di dunia ini. Tiada agama yang melarang umatnya menjadi kaya raya. Tetapi ramaikah yang mengambil tahu bagaimana kaya dari komposisi agama?

Jadi, salahkah mereka yang terjebak dengan skim ponzi ini? Bukankah mereka juga yakin pada agama?

Satu ciri yang sama di antara pembikin skim ponzi dan mereka yang terjebak masuk ialah TAMAK.

Adakah TAMAK satu perkara yang baik dalam agama? Fikirkan...

loading