Nabyla Mokhtar

Seorang yang meminati fotografi, membaca, menulis dan menggembara.

Canggih Tapi Adab di Mana?

Aplikasi Sosial Media

Tika peredaran masa begitu pantas berlalu dari tahun ke tahun, terdapat pelbagai benda baru yang muncul atau lebih dikenali sebagai inovasi yang kian pesat menular bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tapi adakah dengan kecanggihan tersebut kita menjadi alpa, cuai dan lalai terhadap tanggungjawab kita yang sebenar. 

Maka tepuk dada, berfikir sejenak! Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita dengan menggunakan akal dan kepintaran kurniaan Sang Pencipta, Allah S.W.T dengan sebaiknya untuk mereka cipta teknologi itu berdasarkan pemahaman atau buah pemikiran serta pengkajian masing-masing.

Teknologi & Media Sosial 

Pada masa kini, melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yakni komunikasi dan penyebaran sesuatu maklumat atau infomasi menjadi lebih berkesan  kerana ia memudahkan kita berkomunikasi dan bertukar-tukar maklumat dengan sesiapa saja di dunia dengan pantas dan menjimatkan masa, tenaga dan wang dengan hanya bermain di hujung jari sahaja. 

Digital News Report 2017

Disebaliknya, maklumat yang tiada kesahihan juga akan merebak dengan pantas disebabkan oleh kecanggihan teknologi seperti penggunaan media sosial yang sudah menjadi kebiasaan di era kini. Di samping itu, ia telah menjadikan dunia hari ini sebagai sebuah perkampungan kecil, tetapi padat dengan maklumat yang boleh dicapai dengan mudah. 

Selain itu, kita harus beringat bahawa sesuatu yang bermanfaat itu tidak ditegah oleh Islam walaupun tidak disebut secara langsung atau jelas dalam al-Quran atau hadis. Begitu halnya dengan aspek penggunaan ICT. Barangkali bentuk komunikasi dan maklumat serta teknologi yang disebut dalam al-Quran tidak secanggih yang kita ada pada hari ini, namun teknologi itu dimanifestasi secara tersirat.

Oleh yang demikian, apa yang perlu kita semua awasi ialah penggunaannya mesti dalam bentuk beretika dan selaras dengan ajaran al-Quran dan sunnah kerana kedua-dua itu merupakan sumber atau rujukan Islam yang paling utama bagi memastikan maklumat yang dihantar serta komunikasi yang berlaku tidak bertentangan dengan apa yang dibawa oleh ajaran Islam.

 Hakikatnya, ada segelintir pengguna ICT yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan teknologi ini untuk kegiatan yang tidak baik untuk menyampaikan fitnah atau maklumat palsu kepada orang lain disebabkan oleh rasa tidak puas dan marah. Bermacam-macam bentuk tohmahan dan cacian akan dilontarkan secara terbuka kepada umum tanpa ditapis sehingga menjatuhkan imej atau maruah individu itu. 

Kenapa ini terjadi? 

Barangkali ia disebabkan terlalu ghairah untuk mewujudkan masyarakat celik ICT, maka kita terlupa untuk memasukkan aspek penggunaan ICT secara beretika dalam proses pembelajaran di sekolah, institusi pengajian atau pejabat.

Gambar : Artrageous Advertising

Dalam hal ini, kita mungkin boleh mencontohi pendekatan yang diambil oleh negara yang berkuasa besar seperti negara China. Walaupun bukan dikategerikan sebagai salah sebuah negara dari negara Islam, namun negara Tembok Besar ini mampu mengawal ketat laman webnya daripada dibanjiri oleh laman web lucah melalui penguatkuasaan undang-undang yang ketat. 

Bukti-bukti yang berlandaskan dari sumber al-Quran dan sunnah amat jelas sekali lagi-lagi yang berkaitan dengan aturan dan etika ini. Cuma umat Islam masih kurang dari segi penghayatan dan caknanya. Begitu juga dengan aspek penguasaan teknologi itu sendiri. Sebagai umat Islam, kita perlu memastikan proses komunikasi ini berterusan sampai bila-bila supaya ia selaras dan sejajar dengan apa yang termaktub dalam ajaran Islam, yang dilihat sebagai agama bersifat menggesa umatnya supaya berterusan menyampai mesej-mesej baik kepada sesama Muslim mahupun bukan Muslim.

Kesimpulannya dalam konteks ini, penghayatan etika komunikasi yang baik akan menjadi pembimbing, teladan dan  contoh kepada setiap Muslim supaya tindakan yang diambil bakal mencerminkan semangat yang terkandung dalam ajaran Islam. 


loading