Daliana Zainal Abidin

Mak dua orang anak. Hobi menulis dan membaca

Buaian (Bahagian 1)

BUAIAN

Pohon beringin tegaknya tinggi
Kalau rendah menyapu bumi
Penghibur aku, penolong aku
Bertiup oh angin bayu
Laju, laju... buaiku laju
Akulah anak yatim piatu
Laju, laju buaiku laju

Pohon beringin daunnya rendang
Akar berjalur mencecah ke bumi
Hatiku ingin hidup gemilang
Nasib malang suratan diri
Hidup aku tidak beribu
Akulah anak yatim piatu

Pohon beringin tumbuh sendiri
Tempat berayun, menghibur lara
Sungguh lah sudah membawa diri
Tiada siapa yang kasih mesra
Laju, laju buaiku laju
Akulah anak yatim piatu 

*****

Aisyah ketawa mengekek. Buaiannya berayun tinggi. Lagu yang didengari membuatkan dia berkhayal sendiri.

Gambar: Laura Aziz vi unsplash

Sepasang tangan membantu tali buaian itu berayun. Aisyah rasa terhibur. Apabila ditoleh ke belakang setelah buaiannya berhenti, terukir segaris senyuman seorang wanita berselendang putih. 

"Makcik! Nyanyilah lagi lagu tu. Suka Aisyah dengar." Wanita berselendang itu tersenyum lagi. Rambut Aisyah disapu lembut. 

"Esok, makcik nyanyikan lagi ya. Aisyah harus pulang dahulu. Panggillah mak. Suka makcik mendengarnya." Aisyah mengangguk. 

"Baiklah mak. Jumpa esok ya. Waktu dan tempat sama. Gembira bertemu mak." 

Munirah menghampiri apabila melihat anaknya bercakap sendirian seolah-olah sedang berbual dengan 'seseorang' dari tingkap dapurnya.

"Aisyah... bercakap dengan siapa tadi? Jom masuk, dah senja ni. Sekejap lagi ayah balik." Munirah meraih tangan Aisyah. 

"Aisyah bercakap dengan 'mak' tadi. Cantik. Macam ibu juga." Munirah terkelu. 

'Mak' yang mana? 

***** 

Munirah berasa tidak sedap hati apabila terkenangkan sikap Aisyah yang suka bersendiri semenjak dua minggu yang lalu. Rumah pusaka milik arwah neneknya menjadi tempat mereka berlindung setelah berpindah dari bandaraya Kuala Lumpur. Suasana kampung yang bersih dan persekitaran yang segar, membuatkan Munirah mengambil keputusan untuk berpindah ke sini. Secara kebetulan, suaminya telah ditempatkan ke kawasan bertugas yang baru. 

Rumah pusaka milik arwah neneknya tiada siapa yang mendudukinya setelah lima tahun meninggal dunia. Saudara-mara sekadar membersihkan luar kawasan rumah. Di dalam wasiat arwah neneknya, Munirah adalah sebagai penama waris untuk menerima rumah pusaka ini. Tiada siapa yang berani tinggal di rumah pusaka ini. 

Ibu dan bapa Munirah juga sudah meninggal dunia. Akibat daripada kemalangan jalan raya yang meragut kedua orang tuanya di tempat kejadian. Mujur Aisyah terselamat dari kemalangan ngeri itu. Jika dilihat keadaan kereta yang terbabit dengan kemalangan itu, amat mustahil sesiapa yang berada di dalamnya akan selamat. Tetapi tidak bagi Aisyah, seakan-akan ada yang melindungi dirinya. Ketika Aisyah dijumpai, dia tercampak keluar daripada dalam kereta dan tidak sedarkan diri. 

Namun tiada sebarang kecederaan yang dijumpai. Buntu para doktor dan jururawat yang memeriksanya. Setelah meneliti rekod kesihatan yang diambil oleh para doktor, akhirnya membuat keputusan kebarangkalian otak Aisyah berlaku kejutan yang tinggi membuatkan ianya koma. Tiada sebarang kecederaan yang berlaku, doktor berkata...

"KUASA ALLAH SWT, puan"

Munirah hanya mengangguk lemah.

Tujuan utama Munirah sanggup berpindah dan duduk di kampung adalah ingin melarikan diri dari berada tempat memori hitam yang terjadi. Aisyah yang koma selama dua minggu tiba-tiba sahaja tersedar. Munirah bergembira hanya seketika dan bermula kisah aneh yang berlaku di dalam kehidupannya mereka tiga beranak. Suaminya pula sering sibuk dengan tugasannya dan sering mengabaikan Aisyah dan dirinya. 

Menjawat jawatan yang tinggi membuatkan suaminya amat jarang berada di rumah. Oleh kerana demikian Munirah sanggup melepaskan jawatannya demi menjaga Aisyah di tangannya sendiri. Kebetulan rumah pusaka arwah nenek jauh ke dalam dan tiada jiran yang berdekatan. 

Rumahnya besar dan rekaannya sungguh berseni. Ruang laman rumah yang luas sedap mata memandang tetapi dikelilingi hutan tebal. Agak mustahil orang luar hendak duduk di sini. Masjid pula nun jauh di depan. Jika azan berkumandang, hanya sayup-sayup kedengaran.

Kata arwah neneknya, jiran-jiran di sini hanya segelintir yang ramah. Lain-lain sombong dan lebih suka buat hal sendiri. Imam Ahmad yang selalu menjengok nenek dan atuk di rumah. Saudara-mara yang lain sesekali datang dengan tujuan menghantar barang dapur sahaja dan terus balik. Katanya takut nak masuk ke dalam rumah nenek dan tidak betah duduk lama-lama. Tidur semalaman pun tiada yang sudi. Ketakutan melebihi seadanya. 

Singgah sebentar pun tidak selesa dibuatnya. Bagaikan ada yang memerhati.

Buaian yang Aisyah naiki masih utuh dan elok walaupun sudah berpuluh tahun ianya tergantung di bawah pohon rambutan yang rendang itu. Buaian itulah Munirah selalu bermain seorang diri ketika dia masih kecil sebaya Aisyah. Angin sepoi yang bertiup seolah-olah ikut berlagu. Bagaikan ada yang turut sama bermain dan menjaga dirinya.

Munirah kaget, memori lama kembali!

Dia datang semula! Bukankah sudah dibuang sebelum ini? Kenapa masih menjelma?

Cepat-cepat dia memanggil Aisyah yang sedang elok bermain anak patung di ruang tamu. Aisyah terpinga-pinga melihat ibunya kelam kabut berlari ke arahnya. Tubuhnya dipeluk erat.

"Aisyah... nanti mak datang lagi ya"

Halus suara itu berbisik dan Aisyah hanya mengangguk sambil tersenyum.

"Baiklah mak. Jumpa lagi. Seronok bermain dengan mak."

Munirah terpanar. Adakah 'mak' yang lama menghilang muncul kembali?

"Ibu, mak kata dia kirim salam. Lama tak jumpa ibu. Mak kata rindu dengan ibu."

Munirah mengigil. Aisyah menyambung kembali bermain anak patung kecilnya.

Munirah pantas berlari mengambil telefon bimbitnya.

"Abang... balik sekarang. Benda tu datang lagi. Sekarang dia mula rapat dengan Aisyah! Balik cepat abang, Munirah takut!"

Pesanan ringkas dihantar. Tetapi tidak berjaya. Dicuba membuat panggilan, tidak dapat dihubungi. Munirah mula menangis.

"Munirah. Kita bertemu lagi. Aku datang tuntut janji. Aisyah milik aku!"

Suara itu berbisik keras. Munirah ketakutan. Dibawanya Aisyah masuk ke bilik.

"Aku akan senantiasa ada, tidak pernah hilang dan pergi dari hidupmu. Terima kasih kerana menghadirkan zuriat penyambung yang lama aku nanti-nantikan!"

Munirah memeluk erat anak sulungya.

"Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku dengan anak aku! Kau bukan mak aku! Mak aku dah mati. Nenek Munah dah lama mati! Aku dah putuskan hubungan aku dengan kau! Kenapa kau kembali! Kau bukan keturunan aku, setan!"

Munirah menjerit sekuat hati. Lolongannya yang sayu itu tiada jiran yang boleh mendengarinya. Hanya dia, Aisyah dan 'mak'

Aisyah juga menangis ketakutan melihat perilaku ibunya yang tiba-tiba berubah menjadi sebegitu.

"Tidak Munirah. Kau dan aku tidak pernah terputus hubungan dua dunia antara kita! Aku senantiasa ada memerhatikanmu! Aisyah itu telah aku dekati sejak dia berada dalam kandunganmu! Setiap malam aku mengusap perutmu ketika kamu terlena  dan terleka dikala pekatnya malam. Ingatlah Munirah, janji perlu dituntut meskipun keturunanmu berlaku ingkar. Aku akan kembali lagi."

Wanita berselendang putih tiba-tiba memunculkan diri. Munirah terkejut dan tubuh badan semakin mengigil. Tidak disangka dia kembali lagi mempamerkan diri.

"Mak!"

Panggil Aisyah. Berlari memeluk wanita itu. Munirah terpempan.

"Sayang anak mak, Aisyah. Esok mak kemari lagi ya. Kita main sama-sama. Jangan lupa tunggu mak di buaian ya."

Wanita itu meleretkan senyuman yang menakutkan ke arah Munirah.

"Baik mak. Esok petang Aisyah tunggu mak."

Munirah bingkas bangun dan bayangan wanita itu perlahan-lahan berlalu pergi.

"Aisyah! Ibu ni mak Aisyah! Dia bukan mak Aisyah! Itu setan laknat, sayang! Dengar cakap ibu, jangan dilayan perempuan itu. Dia jahat, Aisyah, dia nak bawak Aisyah tinggalkan ibu."

Munirah menggoncangkan tubuh kecil anaknya. Aisyah memandang...

"Kau bukan ibu aku!" Aisyah menjerit lantang dan jatuh pengsan.

Munirah jatuh terjelepok. Perkara yang tidak diingini akhirnya terjadi. Dia semakin kehilangan Aisyah. Jiwa anak tunggalnya telah dipegang erat oleh wanita itu.

Munirah mengonggoi sendirian.

Dibalik pintu, wanita itu tersenyum puas!

loading