Daliana Zainal Abidin

Mak dua orang anak. Hobi menulis dan membaca

Entiti (Bahagian Satu)

Pengumuman dari pihak syarikat memaklumkan bahawa kami semua perlu berpindah ke tempat baharu. Lokasi yang boleh dikatakan strategik dan terdapat kemudahan awam yang berdekatan dengan kawasan pejabat. Tiada masalah untuk ke tempat kerja bagi sesetengah pengguna yang menaiki kemudahan awam seperti bas dan keretapi. Melainkan mereka yang berkenderaan pacuan empat roda kenalah bertabah menghadapi kesesakkan lalu lintas. Sedia maklum kawasan ibu kota Kuala Lumpur memang terkenal dengan kepadatan penduduk dan megahnya bangunan-bangunan pencakar langit.

Kami diarahkan untuk mengemaskini, menyimpan serta merekod semua dokumentasi dengan baik dan tersusun. Kami hanya diberi tempoh selama sebulan dari tarikh perpindahan.

"Nampak gayanya kenalah aku datang hujung minggu ini selesaikan apa yang patut. Mujur fail dokumentasi borang pendaftran pihak pelanggan aku dah siap label. Senang nak dimasukkan ke dalam kotak sahaja."

Aku mengomel sendirian. Hujung minggu, hari Sabtu dan Ahad selalunya aku ke pejabat menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Bukan sengaja tetapi waktu berkerja Isnin sehingga Jumaat begitu padat. Kesibukkan membuatkan aku selalu pulang lewat. Paling awal aku akan balik adalah pukul sepuluh malam dan paling lewat pukul dua belas malam. Mujurlah tunang aku memahami.

Siapa kata kerja pejabat senang? 

Unit aku yang kecil bilangan ahlinya, masing-masing sibuk menguruskan kerja sendiri. Aku pula jenis mata yang tidak sedap memandang apabila terlihat dokumentasi tinggi menggunung tidak difailkan dengan baim. Esok dan lusa pasti akan kelam kabut hendak mencari dokumen yang tidak bertidak bersusun! Alu sudah hadapi situasi ini semasa tiga bulan pertama masuk ke pejabat selepas aku diterima masuk untuk jawatan yang ditawarkan. Sudahnya aku yang masih lagi bujang, merelakan diri menguruskan dokumen-dokumen untuk difailkan. Kerja lebih masa dibayar. Aku bukan mata duitan ya, cuma tidak berkenan jikalau dokumen berterabur di sana sini. Ibarat kau tengok kain bersepah-sepah tidak dilipat!

Okay, cukup cerita pasal ini. Sebenarnya aku ingin berkongsi beberapa kejadian pelik sewaktu kami dalam urusan perpindah dari pejabat lama ke pejabat baru. Mungkin tidak seram bagi sesetengah pembaca tetapi tidak bagi aku. Ianya tidak boleh dipandang mudah dan enteng dengan kehadiran entiti ini. Boleh mengundang kemurungan jika dipermainkan dan diusik setiap hari. Ya, setiap hari dan waktu yang sama.

Mari mulakan kisah di pejabat lama terlebih dahulu. 

Gambar: Stephen Caserta / Unsplash

*****

BANGUNAN XXX (DAMANSARA HEIGHTS), TINGKAT 17.

Khamis petang, hujan turun dengan lebat sekali. Rata-rata ramai pekerja mengambil keputusan untuk pulang lewat sedikit. Sedia maklum, kawasan Kuala Lumpur dan Selangor apabila hujan turun walaupun renyai, kesesakkan lalu lintas boleh membuatkan kita keletihan dan kurang sabar. 

Pada mereka yang menunggang motorsikal, kebiasaannya akan menunggu hujan reda sedikit. Begitu juga aku, menunggu tunang tiba di pejabat. Kami menuju destinasi masing-masing menaiki motor bersama. Berhujan dan berpanas sudah menjadi lumrah.

Secara kebetulan, aku juga sibuk menguruskan kerja-kerja yang masih tertangguh, jadi aku mengambil peluang untuk menghabiskan kerja apa yang boleh disiapkan. 

Di bilik fail, aku duduk berteleku seorang diri. Sekejap berdiri dan sekejap aku duduk menggeledah fail-fail yang berterabur kedudukannya. Sudahlah isi di dalamnya bercampur aduk. Maka pening seketika aku melihat suasana bilik fail ini. Walaupun penat, aku tetap punggah dan susun atur semula agar senang hendak dirujuk.

Tiba-tiba suasana terasa amat sunyi. Aku melihat jam ditangan jarumnya menunjukkan ke angka 7.26 petang. Hampir masuk waktu Maghrib. Aku sambung sedikit lagi sebelum menuju ke surau kecil yang ada disediakan bagi kemudahan pekerja.

Sedang leka mengemas...

"Humaira..."

Kedengaran nama aku dipanggil dengan cukup perlahan. Seakan berbisik. Pandang ke belakang, tiada sesiapa pun  di dalam bilik ini, kecuali aku. Siapa pula yang panggil? Bunyi ketukkan di pintu pun tidak kedengaran. Apatah lagi pintu tidak dibuka oleh sesiapa. Aku buat tak tahu, sambung semula mengemas.

"Humaira..."

Kali ini terasa nama aku dipanggil hampir-hampir sebelah telinga aku sahaja.

Ah! Sudah! Benda apa pulak yang mengacau ni! Pantas aku kemaskan fail-fail yang bersepah tadi dengan ala kadar sahaja. Cepat-cepat aku keluar dari bilik kecil itu.

"Hik... hik... hik... Humaira, kenapa lari?"

Aku tidak menoleh lagi. Pantas berlari menuju ke ruang rakan sepejabat yang masih belum pulang. Bilik berhawa dingin tidak menyejukkan peluh yang terbit secara tiba-tiba. Jantung mengepam lagi dan aku mengigil seketika.

"Eh, Humaira! Ada lagi kau dekat sini. Ingat dah balik. Kau ke mana tadi?"

Tegur Azman yang melihat kelibat aku yang tiba-tiba muncul.

"Aaa.. aaa.. aku dalam bilik fail tadi."

Tergagap-gagap aku menjawab. Azman kehairanan.

"Kau ni kenapa tetiba mengigil? Baru lepas kena sakat dengan hantu ke apa ni? Ha ha ha..." Azman senang hati gelakkan aku. Dia belum kena buku dengan ruas lagi. Kalau dia disakat, aku gerenti dia akan lari tidak cukup tanah!

"Gelak ya engkau. Aku harap kau kena dengan lebih teruk lagi! Huh!"

Azman masih gelak. Dia mengacah-acah dengan berani supaya benda itu muncul depan dirinya. Biar dia ajak menyembang sambil minum kopi!. Gila ke apa si Azman ni mengundang bahana?!

"Alah, setakat hantu-hantu ni aku tak hairan sangat." 

Berani tidak kena dengan tempatnya. Sombong dan angkuh!

"Ah! Malas aku nak layan kau. Dia muncul depan kau nanti jangan sampai kau terkencing sudah!"

Aku yang takut tadi terus rasa marah. Terus berlalu pergi menuju ke surau. Bilik fail yang baru aku lintasi tidak berani dipandang. Cepat-cepat kaki ini berjalan.

*****

BANGUNAN XXXX (DAMANSARA HEIGHTS), TINGKAT 20.

Nirmala masih belum pulang. Tugasan yang perlu disiapkan harus dihabiskan malam ini juga. Esok agendanya berjalan dan memerlukan maklumat terperinci untuk diguna pakai dalam program yang disediakan.

Petang, dalam pukul lima masih ramai lagi sibuk menguruskan urusan masing-masing. Nirmala tidak mempedulikan suasana yang bising itu. Matanya tertumpu pada skrin komputer yang tertera maklumat program untuk hari esok.

"Nirmala, awak balik pukul berapa hari ini? Nak tumpang saya tak?" Fatin tiba-tiba mendekati. 

"Saya terpaksa balik lambat lah hari ini. Ada kerja yang perlu disiapkan malam ini juga. Awak balik dahulu lah, saya balik menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Kalau lewat sangat, saya akan mintak abang saya ambil."

Jawab Nirmala dengan senyumam yang tidak pernah lekang dari bibirnya. Tertekan macam mana pun , dia tidak pernah mempamerkan reaksi wajah yang suram. Senyum memanjang. Walaupun orang membuat onar dan mengambil kesempatan ke atasnya, Nirmala tetap sabar!

"Baiklah, jangan balik lewat sangat tau. Ramai dah balik ni. Risau pulak kalau awak tinggal seorang diri. Jam dah pukul lapan malam ni. Jangan leka mengadap komputer tu. Waktu berjalan awak tak sedar."

Nirmala mengangguk dan Fatin berlalu pergi. Suasana ruang pejabat begitu sunyi. Nirmala mengambil keputusan mendengar lagu bagi menghilangkan kantuk.

Naik kelabu matanya meneliti jadual program yang perlu disediakan.

Tanpa sedar, jarum jam sudah menginjak ke angka sepuluh malam. Suasana begitu sunyi secara tiba-tiba. Nirmala bingkas bangun menuju ke pantri. Tekaknya terasa haus.

"Eh! Fatin, kata awak nak balik tadi? Kenapa masih ada di pejabat? Kalau tahu awak masih ada, boleh ajak buat kerja sama-sama. Tak adalah rasa takut sangat tinggal seorang diri di depan sana."

Fatin hanya mendiamkan diri. Wajahnya berterusan mengadap skrin komputer. Tidak diendah langsung Nirmala yang berada di belakangnya.

"Fatin, dengar tak saya panggil ni? Saya nak balik ni. Nak turun sama-sama tak? Saya tumpang awaklah, malas pula nak menunggu teksi malam-malam begini."

Fatin bangun dan menunduk. Nirmala tersenyum. Masih tiada jawapan dari mulut Fatin. Nirmala beranggapan mungkin Fatin keletihan.

"Sekejap ya, saya nak minum air dan ambil beg. Haus betul tekak ni. Buat kerja sampai terlupa nal minum!"

Nirmala berseloroh. Fatin hanya menjawab...

"Hurmmm..."

Nirmala menuju ke pantri, air suam dituang dan laju diminum. Dia tidak mahu Fatin menunggu lama. Bergegas dia menuju ke mejanya dan terus mengambil beg tangannya yang sudah tersedia di atas meja.

Apabila dia menuju ke meja Fatin, kelibatnya tidak kelihatan. Nirmala kehairanan. Dia mencari-cari di pantri, tandas namun tidak berjumpa.

"Mungkin dia dah tunggu di depan agaknya."

Nirmala bergegas menuju ke lif. Kelibat Fatin kelihatan tegak berdiri seorang diri. Nirmala berasa lega. Cuma dia pelik, Fatin yang ramah tidak banyak bercakap. Asyik menunduk. Nirmala malas hendak bertanya dengan lebih lanjut.

Kedua-dua mereka menuju ke dalam perut lif. Butang ditekan. Suasana terasa sangat berlainan. Nirmala mula rasa tidak selesa. Fatin sedari tadi menunduk dan diam tidak bersuara. Tangan Fatin disentuh Nirmala. Sejuk!

"Eh Fatin, sejuknya tangan awak. Sakit ke?"

Nirmala terkejut. Fatin masih berdiam diri. Nirmala mula terasa tidak sedap hati. Fatin yang dia kenali berbeza sungguh perwatakkannya dengan Fatin yang berdiri sebelahnya.

"Hi... hi... hi..."

Tiba-tiba Fatin ketawa. Bunyi suaranya begitu menyeramkan. Merinding bulu roma Nirmala disaat ini.

"Fa... Fa... Fatin. Awak ni kenapa tiba-tiba gelak macam itu?" Tergugup-gugup Nirmala bersuara.

"Aku ikut kau balik ya?" Suara Fatin kedengaran berlainan sekali. Lemah sungguh lutut Nirmala apabila Fatin mendongakkan wajahnya.

"Ya Tuhan!"

Nirmala jatuh pengsan. Fatin ketawa menggilai-ngilai kemudian hilang begitu sahaja apabila pintu lif terbuka.

Pengawal keselamatan yang secara kebetulan ingin membuat rondaan ditingkat atas, terkejut melihat seseorang pengsan di dalam lif apabila dia melangkah masuk. Kelam kabut dia meminta bantuan dari rakannya seorang lagi.

Nirmala demam seminggu. Fatin yang sebenar terkejut dengan kejadian sebegini.

Ramai pekerja tingkat 20 tidak berani pulang lewat selepas kejadian yang menimpa Nirmala. Tepat jam 5.30 petang semua sudah siap beratur untuk pulang. 

Fatin awal-awal lagi sudah menunggu di depan pintu lif. 

*****

Bersambung bahagian dua, kisah di pejabat baru pula.

Jaga-jaga, jangan balik lewat ya!

loading