Daliana Zainal Abidin

Mak dua orang anak. Hobi menulis dan membaca

Mak Sayang Jamilah (Akhir)

Maimunah bersujud lama di sejadah. Dalam sujud dia berdoa sungguh-sungguh. Airmata hampir kering. Didoakan kesejahteraan puteri tunggalnya. Jauh sekali dia mendoakan keburukkan anak itu. Meskipun dia sering diherdik, dikasari dan dimarahi namun kasih sayang Maimunah kepada Jamilah melebihi segalanya.

"Ya Allah Ya Tuhanku. Sesungguhnya aku ini hambamu yang lemah untuk segalanya. Kepadamu aku bermohon agar Engkau kembalikanlah Jamilah kepadaku. Pulihkan dan sedarkan dia kembali Ya Allah.

Jika ini balasan yang Engkau berikan kepadanya aku mohon tariklah semula Ya Allah. Aku memaafkan di atas segala ketelanjurannya bersikap derhaka kepadaku. Sungguh Ya Allah, aku memaafkan di atas semua kesalahannya padaku. Tidak sedikit pun aku berdendam. Aku redha Ya Allah. Hati yang sakit ini aku mohon Engkau pulihkanlah Ya Allah."

Begitu kasihnya Maimunah terhadap Jamilah. Sanggup ketepikan perkara yang lepas. Dia tidak mahu melihat Jamilah hanya terbaring kaku.

*****

Doa seorang ibu tiada hijab ya anak-anak. Sekali ibumu menitiskan airmata, luka perasaannya, pilu hatinya, maka neraka jahanamlah tempat yang sesuai bagimu.

Sayup-sayup suara itu kedengaran di halwa pendengaran Jamilah. Dia menangis lagi. Terperangkap di dalam dunia kegelapan telah menyedarkan dia di atas sikapnya yang buruk kepada ibunya sendiri.

Dia bersungguh mahu kembali dan memohon ampun kepada ibunya itu. Terbayang wajah tua yang sering diherdik, dimaki hamun dan dikasari setiap hari.

Jamilah merintih.

"Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan terhadap ibuku? Mengasarinya, mencelanya, mengherdiknya tanpa ada sekelumit rasa bersalah dan takut akan balasan dariMu. Ampunkan aku Ya Allah, berilah aku peluang yang terakhir untuk bertemu dengan ibuku. Aku ingin memeluk dan meraih tangannya untuk memohon keampunan."

*****

Bacaan detakkan jantung Jamilah mendadak tinggi. Kelam kabut dibuatnya doktor dan jururawat dibuatnya. Mereka mencuba sehabis mungkin untuk menyelamatkan nyawa Jamilah. Mulut Jamilah berbuih dan tubuhnya menggoncang sendiri dengan kuat. Terpaksa doktor dan jururawat menahan tubuh Jamilah daripada terjatuh ke bawah.

Suntikan diberikan untuk menenangkan kondisi Jamilah yang tiba-tiba sahaja berubah laku. Terpaksalah jururawat menghubungi Fuad di tengah malam dengan memaklumkan keadaan Jamilah.

"Assalamualaikum Encik Fuad. Diminta hadir ke hospital secepat yang mungkin. Isteri Encik Fuad tengah nazak."

Bagaikan kepala dihempap dengan batu yang besar apabila mendengar perkhabaran itu. Fuad tidak membuang masa lantas dikejutkan ibu mertuanya. Disaat-saat genting begini, mungkin ada keajaiban buat Jamilah jika ibu mertuanya terus setia memberikan kata semangat. Paling tidak, ibunya memberi keampunan dan kemaafan kepada Jamilah.

"Mak... kita kena pergi ke hospital sekarang. Keadaan Jamilah tidak begitu mengizinkan."

Tenang Fuad menyampaikan berita. Dia juga perlu kuat. Kuat dari segi fizikal dan rohaniah. Sebarang kemungkinan yang berlaku, dia tetap redha. Cuma satu sahaja keinginannya, agar Jamilah pergi di dalam dia diampun dan dimaafkan oleh ibu mertuanya.

"Allahuakhbar! Sekejap Fuad. Mak nak ambil tudung."

Tergesa-gesa Maimumah mencapai tudung yang tergantung dibalik pintu. Tidak kisah warna apa, corak apa sekalipun itu bukan satu kepentingan baginya. Jamilah harus ditemui terlebih dahulu.

*****

Jamilah teresak. Masih diselubungi kegelapan yang pekat.

"Apakah ini kesungguhanmu, Jamilah? Apakah ini kesungguhanmu, Jamilah? Apakah ini kesungguhanmu, Jamilah?"

Sebanyak tiga kali disoal dengan soalan yang sama. Jamilah mengangguk.

"Jawab pertanyaanKu!"

Bergema suara itu. Jamilah mendongak dan tidak tahu dari arah mana suara itu.

"Ya, ini adalah kesungguhanku untuk diberi peluang terakhir. Kesungguhan yang aku ikhlaskan. Kesungguhan yang aku mohon dari belas ihsan Allah SWT!"

Jamilah merintih sayu.

"Bersyukurlah wahai Jamilah. Doa ibumu terangkat dan tiada hijab. Doanya dikabulkan. Pulanglah engkau kepada ibumu. Ingat pesanku wahai Jamilah, sesungguhnya manusia itu seringkali melebihi batas dan lalai. Kembalilah ke pangkal jalan. Kasihi dan bersantunlah engkau kepada ibumu. Jika tidak kerana doanya yang tulus buatmu, nescaya rohmu tidak akan kembali di sana.

Redha ibumu redha jua bagi Allah SWT. Ingatlah Jamilah. Dampingilah Al-Quran dan sembahlah Allah Yang Maha Esa. Hormatilah ibu dan suamimu."

Tubuh Jamilah bagaikan terbang menuju ke jasadnya yang kaku itu.

*****

Maimunah dan Fuad diberi kelonggaran untuk masuk ke bilik permerhatian unit rapi oleh doktor pakar. Kata mereka ini mungkin kali yang terakhir untuk melihat jasad Jamilah.

"Saya berharap makcik dan Encik Fuad tabah."

Ringkas sahaja pesanan dari doktor. Maimunah merasa lututnya lebih lantas Fuad memapah ibunya untuk menemui Jamilah.

"Assalamualaikum Nur Jamilah. Anak mak yang mak kasihi. Mak ampunkan segala dosa-dosa Jamilah terhadap mak. Mak halalkan air susu mak untuk Jamilah. Mak sayang Jamilah."

Maimunah meraih tangan Jamilah. Mengalir deras airmatanya. Jika ini pengakhiran hidup Jamilah, Maimunah akur dan redha. Setiap jiwa manusia dipegang oleh Allah SWT. Dia sebgai manusia tiada kuasa yang mutlak untuk menyedarkan Jamilah dari lena yang panjang.

Anak yang dikasihi sepanjang hayatnya akan mengikuti arwah suaminya sekiranya itu adalah takdirnya. Namun jauh di dalam sanubari Maimunah, tetap mengharapkan belas ihsan dari Yang Maha Berkuasa. Maimunah sanggup nyawanya dijadikan galang ganti agar anaknya itu dapat hidup lebih lama.

"Waalaikumsalam, mak..."

Perlahan suara itu kedengaran. Maimunah terkejut dan tubuh itu diraih dalam tangisan yang berjela.

Fuad berlari mendapatkan jururawat.

*****

Jamilah duduk di atas kerusi roda. Kakinya masih belum kuat untuk berjalan. Rawatan fisioterapi masih berterusan. Sesekali tukang urut datang ke rumah mengurut kakinya lemah itu.

Jamilah menghirup udara segar di halaman rumahnya. Maimunah setia disisi. Rambut Jamilah dilurutkan perlahan. Tangan tua Maimunah diraih dan didakap lembut oleh Jamilah. Maimunah sebak.

"Mak... Jamilah minta ampun pada mak. Maafkan di atas segala dosa-dosa Jamilah pada mak. Terima kasih mak kerana selalu mendoakan kesejahteraan Jamilah sedangkan Jamilah tidak pernah berdoa untuk mak."

Luah Jamilah. Maimunah gembira melihat perubahan besar ini. Doanya dimakbulkan oleh ALLAH SWT.

"Jamilah, tiada dendam di hati mak. Mak tahu anak mak baik. Anak mak penyayang. Apa sahaja yang Jamilah lakukan dahulu, mak lupakan dan mak ikhlas maafkan Jamilah. Terima kasih kerana diakhir sisa hidup mak, inilah saat yang paling mak bahagia selain dinikahkan dengan arwah suami mak. Semoga anak mak dilimpahi rahmat serta dipelihara kebaikkan dan kesejahteraan oleh ALLAH SWT."

Maimunah gembira dalam tangisan. Jamilah dipeluk erat.

"Amboi, dua beranak ini. Bukan main lagi. Fuad ada dibelakang pun langsung tak sedar ya."

Jamilah ketawa. Maimunah tersenyum.

Fuad menciumi tangan ibu mertuanya sebelum berangkat ke tempat kerja.

Maimunah memberi peluang suami isteri itu berduaan.

"Abang, Milah mohon ampun dan maaf pada abang di atas semua sikap yang buruk terhadap abang. Mila nak ucapkan terima kasih sebab abang tetap setia disisi meskipun perangai Milah ini melampaui batas. Diharapkan abang dapat ampunkan Milah ya."

Jamilah meraih tangan suaminya dan dicium lembut.

Fuad melutut.

"Sayang, abang bersyukur isteri abang ini diberi peluang untuk hidup sekali lagi. Ya, abang dah lama ampun dan maafkan sayang. Semoga kehidupan kita akan lebih dirahmati. Abang sayangkan Jamilah dari hari pertama kita kenal sehingga sekarang."

Jamilah memeluk suaminya. Airmatanya laju. Meskipun dia pernah bersikap buruk terhadap mereka, namun kasih dan sayang mereka tidak pernah berkurang.

"Terima kasih abang. Aamiin."

"Sayang, esok kita akan ke pejabat kebajikan masyarakat untuk menguruskan pengambilan anak angkat di rumah anak yatim piatu Sakinah. Semoga kehadiran anak ini memeriahkan lagi suasana rumah kita ya."

Fuad gembira dengan cadangan mengambil anak angkat yang masih bayi. Lelaki.

"Wah, tak sabar Milah nak dakap anak angkat kita tu abang. Maafkan Milah sebab tak dapat nak beri zuriat sendiri pada abang."

Jamilah teruja. Namun diselitkan kekurangan dirinya.

"Sayang, itu semua kuasa ALLAH SWT. Kita tidak boleh terus berputus harap. Sekurang-kurangnya dengan pengambilan anak angkat ini kita membuat amal jariah untuk anak kecil ini. Janganlah dirisaukan tentang kekurangan itu. Mungkin juga dari abang. Sama-samalah kita berdoa agar hidup kita dilimpahi rahmat dan rezeki yang ada diberkati. Jangan bersedih ya."

Jamilah angguk dan airmatanya diseka. Fuad menciumi ubun-ubun Jamilah dan berangkat pergi menuju ke pejabat.

"Jamilah... mari masuk."

Jamilah tersenyum dan mengangguk.

Maimunah memegang lembut bahu anaknya.

"Mak sayang Jamilah..."

*****

Tamat

loading