Daliana Zainal Abidin

Mak dua orang anak. Hobi menulis dan membaca

Mak Sayang Jamilah (Bahagian Satu)

Nur Jamilah. Puteri tunggal kepada Maimunah dan Razman. Akibat komplikasi yang teruk dan berisiko tinggi yang memudaratkan nyawa akibat dari kelahiran secara pemedahan, Maimunah akur dia tidak dibenarkan mempunyai zuriat lain selain puterinya ini. Putih bersih dan cukup sifatnya. Berhidung mancung. Rambutnya lebat. Alis mata yang lentik. Bibir mugil merah bak delima. Dicium bertalu-talu anak kecil itu dengan limpahan kasih dan sayang.

Apabila Jamilah menginjak dewasa dan sudah berumah tangga, Maimunah terasa amat sunyi. Cucu pun tiada untuk menumpang manja. Tubuh semakin tua menanti panggilan Illahi. 

Razman, suami yang dikasihi terlebih dahulu meninggalkan dirinya akibat kemalangan jiwa yang meragut nyawa serta merta. Harta peninggalan suaminya lebih dari mencukupi untuk mereka dua beranak menjalani kehidupan yang mendatang. Ada hikmah disebalik perancangan Allah SWT mengapa dia diizinkan untuk memperolehi seorang zuriat.

"Mak!"

Lamunan Maimunah terhenti apabila diherdik sebegitu. Diseka airmata yang berlinangan. Kolam hampir-hampir pecah.

"Mak ni pekak ke apa? Milah panggil dari tadi tidak bersahut. Sampai nak terkeluar anak tekak ni menjerit dari bawah."

Tiada panggilan mesra. Semuanya kasar. Seingat Maimunah, semenjak dari dilahirkan sehinggalah ke alam dewasa, belum pernah sekali dia bersuara nyaring apatah lagi mahu menjentik.

"Maafkan mak Milah. Telinga mak ni dah uzur. Tak berapa dengar. Berdengung rasanya. Sakit."

Maimunah menjawab lembut. Masih bersisa kasih dan sayangnya pada Nur Jamilah.

"Cepatlah turun ke bawah. Makan nasi! Penat tau Milah masak seorang diri di dapur. Mak sedap aje berehat-rehat dalam bilik. Ingat ya mak, Milah ni bukan orang gaji tau."

Perit sedikit hatinya apabila anak yang ditatang dengan penuh lemah lembut bercakap kasar kepada dirinya.

"Mak tak larat nak turun Milah. Tak apalah, biarlah mak baring sekejap. Kalau kaki mak ni dah kuat mak akan turun bawah dan makan  sendiri."

Maimunah seakan merajuk.

"Heiii... orang tua ni. Asyik menyusahkan aku sahaja! Sukahati mak lah. Milah malas nak ajak-ajak lagi. Kalau apa-apa berlaku, mak tanggung sendiri. Jangan susahkan Milah dan Fuad ya mak!"

Jamilah berlalu pergi sambil pintu ditutup dengan kuat. Maimunah menangis.

"Abang... Munah rindu kehidupan kita yang dulu. Jamilah, anak kesayangan kita lain benar sekarang."

*****

Sekitar jam tiga pagi Maimunah tersedar dari lena yang panjang. Perutnya pedih menahan lapar dan dahaga. Kaki yang luka akibat terpijak serpihan kaca yang berselerakkan di lantai dapur lewat petang tadi membuatkan dia terbatas untuk bergerak ke mana-mana. Insiden yang berlaku siang tadi menyebabkan pergaduhan besar antara dia, Jamilah dan Fuad.

Tangannya yang tidak kuat tiba-tiba sahaja pasu kaca kesayangan Jamilah terlepas dari genggaman. Kecut perut dibuatnya. Dia tahu Jamilah pasti akan mengamuk. Baran marahnya tidak pernah berkurangan.

"Mak! Apa mak buat ni! Habislah pasu mahal Milah tu. Mak tahu tak susah nak dapat pazu kaca macam ni?! Aku beli mahal-mahal tau tak! Bodoh punya orang tua!"

Jamilah hilang pertimbangan. Api kemarahannya semakin meluap-luap.

"Maafkan mak Milah. Mak tak sengaja. Mak ingat nak kemas-kemas sedikit ruang meja hiasan ni. Tapi tak sangka pula pasu kamu boleh terlepas dari tangan mak. Nanti mak ganti yang baru ya, nak."

"Kau ingat aku hadap sangat ke duit kau tu orang tua?! Pasu ni satu sahaja buatannya. Tak ada yang lain. Kenapalah kau ni selalu menyusahkan aku? Kan bagus kalau kau mampus!"

Satu tamparan hinggap dipipi Jamilah. Fuad mencerlung tajam. Rupanya begini keadaan dalam isi rumah ketika dia keluar berkerja. Terjawab mengapa ibu mertuanya menangis setiap hari. Berulang kalk ditanya, jawapan yang diterima rindukan arwah bapa mertuanya.

"Kamu tahu dengan siapa kamu bercakap tu? Kamu tahu dengan siapa kamu menengking itu? Kamu tahu dengan siapa kamu bersikap kurang ajar itu Jamilah!"

Kuat tengkingan Fuad. Maimunah cuba meleraikan pergaduhan yang terjadi. Maimunah tidak mahu anak menantu bertikam lidah hanya kerana kecuaiannya.

"Abang jangan campur urusan saya dengan mak ya! Abang tak tahu mak ni macam mana. Depan nampak baik dan lemah tapi belakang buat Jamilah ni macam orang gaji!"

Jamilah mengusap pipinya yang perit akibat ditampar. Sepanjang sepuluh tahun perkahwinan, inilah kali pertama Fuad meletakkan tangan.

"Orang gaji apa?! Mak tu uzur. Kudrat yang ada apalah sangat yang tinggal. Awak tu pun bukan buat apa-apa pun di rumah. Setakat uruskan rumah tangga, dengan ibu kandung sendiri pun nak merungut? Awak ni tidak sedar diri ya. Saya dah lama perhatikan perangai awak ni. Saya tegur cara elok, awak makin naik tocang. Minta maaf dengan mak awak tu sekarang!"

Jamilah enggan dan terus keluar daripada rumah. Sehingga ke angka tiga pagi bayangan Jamilah masih tidak kelihatan. Fuad keluar mencari, namun hampa. Jamilah tidak ditemui.

*****

Pihak polis melakukan siasatan lanjut. Keterangan saksi diambil kira sebagai petunjuk. Kehilangan Nur Jamilah selama dua hari terjawab apabila mendapati kereta yang dipandu mangsa tersasar ke bawah bukit Ampang. Keadaan mangsa masih belum dikenal pasti.

"Tuan, hasil pemeriksaan mendapat mangsa masih hidup dan tidak sedarkan diri. Unit kita telah pun menghubungi pihak hospital yang terdekat bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan."

Tuan Kamarul, pegawai yang bertanggungjawab untuk mengambil kes kemalangan ngeri Jamilah. 

"Terima kasih Lokman. Kalau dilihat dari kasar, kemalangan begini boleh mengakibatkan mangsa maut serta merta. Namun Allah SWT yang berkuasa ke atas setiap ciptaanNya. Syukurlah mangsa masih selamat.

"Ya, Tuan Kamarul. Saya juga beranggapan sebegitu. Mungkin ada hikmah disebalik yang berlaku. Menurut siasatan awal, saksi yang kebetulan melalui kawasan bukit ini mahu berehat sebentar akibat keletihan tiba-tiba ternampak sebuah kenderaan dalam posisi terbalik ke atas. Mujur waktu itu masih lagi cerah walaupun hampir ke lewat petang."

"Baik Lokman. Laporan penuh nanti kita akan sambung dan berharap mangsa akan tersedar. ALLAH SWT Maha berkuasa!

*****

"Allahuakhbar... Astaghafirullahalazim... Jamilah, anak mak!"

Maimunah tersedar dari lenanya. Hatinya gundah dan serba tidak kena. Ingatan tentang Jamilah tidak pernah putus.

Maimunah bingkas bangun dan terus meluru ke bilik air. Air whudu diambil untuk solat tahajud. Dalam khusyuk menadah tangan berdoa dan mengadu segala keresahan kepaada Illahi, pintu biliknya diketuk.

"Mak... mak" Sayu kedengaran suara milik menantunya.

Maimunah menyudahkan doanya dan bangkit membuka pintu.

"Ada apa Fuad? Jamilah dah balik ke? Mak nak minta maaf dengan anak mak sebab rosakkan pasu kesayangannya itu. Mak janji, mak takkan sentuh apa-apa lagi barang-barang dalam rumah ni. Mak sedar mak hanya duduk menumpang. Memandai pula nak alih barang ke sana sini. Mak akan duduk diam-diam asalkan Jamilah tak lari merajukkan diri."

Fuad tidak mampu mendengar luahan sayu ibu mertuanya. Terasa seperti ditikam dengan belati tajam. Sikap isterinya yang semakin menjadi-jadi membuatkan Fuad tidak dapat menahan sabar. Jamilah perlu ditegur! Ingatlah, janji Allah itu pasti. Anak-anak yang menderhaka kepada ibu menjadikan Allah begitu murka, maka cepat atau lambat pasti akan mendapat balasan yang setimpal.

"Jamilah... dia terbabit dengan kemalangan mak. Dia dijumpai petang tadi. Sekarang berada di dalam zon merah dan dirinya agak kritikal."

Maimunah kelu. Perasaan bercampur baur. Berita yang disampaikan meragut tangkai jantungnya. Lututnya mulai terasa longlai dan pandangan menjadi kelam.

Dengan pantas Fuad memaut lengan ibu mertuanya yang hampir terjelepok ke lantai. Dipapahnya menuju ke katil dan didudukkan dengan berhati-hati. Cepat-cepat dia ke dapur dan segelas air putih dibawa ke bilik ibu mertuanya. 

Maimunah diberikan minuman. Dia meneguk sedikit dan terasa amat payau.

"Fuad... bawak mak ke hospital. Mak nak tengok anak mak."

"Boleh mak. Mari saya papah mak ke kereta."

Maimunah mengangguk. Tudungnya diambil. Kaki seolah-olah tidak terasa jejak ke lantai. Terawang-awang. Airmata mula mengalir laju.

*****

Setibanya diperkarangan hospital, Fuad dan Maimunah melilau mendapatkan maklumat perihal Jamilah. Akhirnya Jamilah ditempatkan di unit rawatan rapi berikutan keadaannya yang agak parah. Jamilah masih tidak sedarkan diri. Kaku terbaring di atas katil. Maimunah dan Fuad hanya dibenarkan berada di luar bilik kaca itu. Keadaan Jamilah tenat. Oksigen terpaksa diberikan untuk menyokong pernafasannya. Wayar berselirat di sini sana.

Maimunah terasa pernafasannya teramat berat apabila dia hanya mampu melihat Jamilah daripada jauh. Hatinya meronta untuk mengusap dan memuluk tubuh yang masih kaku itu.

Fuad kehilangan kata-kata. Jika dia bersabar sedikit dan menasihati isterinya dengan berhemah, tentu Jamilah tidak keluar daripada rumah dan insiden begini tidak akan berlaku. Fuad mula menyalahkan dirinya sendiri.

"Cik, tak boleh ke kami masuk melihat pesakit walaupun sekejap?"

Maimunah mendekati meja jururawat yang tekun melakukan pekerjaan mereka.

"Maaf puan, keadaan pesakit amat kritikal. Doktor melarang bilik pesakit yang kritikal dimasuki oleh mana-mana pelawat walaupun ahli keluarga sendiri, kecuali kami sahaja. Maaf..."

Maimunah hanya mengeluh apabila mendengar jawapan daripada salah seorang jururawat yang berada disitu.

Fuad memeluk ibu mertuanya. Dia juga tidak tahu bagaimana mahu memujuk ibu mertuanya. Meskipun Jamilah bersikap kasar terhadap ibunya, Fuad melihat kasih sayang ibu mertuanya tidak pernah berkurangan. Betap luasnya kasih sayang seorang ibu.

*****

Berlari mencari arah. Semuanya gelap. Tercari-cari sebarang sinaran cahaya, namun hampa. Menangis dan berteriak seorang diri. Tiba-tiba...

"Inilah balasan di atas apa yang telah kamu lakukan!"

Pekikan suara itu begitu menggerunkan. Dia menutup telinga dan badan terasa seram sejuk.

"Wanita yang bertarung nyawa untuk mengandungkan kamu, melahirkan kamu dan membesar kamu sanggup kamu menderhaka kepadanya! Anak-anak yang menderhaka kepada ibunya, neraka jahanamlah tempatnya!"

Sekali lagi pekikkan itu bergema. Ketakutan Jamilah semakin bertambah. Kakinya longlai dan dia terjelepok.

"Jamilah! Jamilah! Jamilah!"

Namanya diseru. Jamilah menangis teresak-esak. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan ketika ini. Suara garau itu terus-menerus memanggil namanya.

"Mak... mak... Jamilah takut. Tolong Jamilah mak. Jamilah tak nampak apa-apa di sini. Gelap dan sejuknya terasa sampai ke sendi. Tolong mak!"

Jamilah merintih. Suara itu tiba-tiba terdiam. Suasana menjadi begitu sunyi.

"Assalamualaikum, wahai anakku Nur Jamilah. Cepatlah sedar nak. Mak rindu nak dengar suara kamu. Kemarahan kamu. Bebelan kamu. Gurauan kamu. Semua tentang kamu. Bangunlah Jamilah. Jangan tinggalkan mak dulu. Mak masih perlukan kamu bagi menghabiskan sisa-sisa hidup mak yang sudah tua ini. Bangun nak... bangun..."

Suara ibunya bergema. Jamilah bangkit berlari dalam kegelapan tanpa arah tuju. Hanya tercari-cari di mana suara itu berada.

"Mak! Mak dekat mana? Jamilah tak nampak mak. Tolonglah Jamilah mak. Jamilah tak mahu berada di dalam kegelapan ini. Capailah tangan Jamilah ini mak. Mak nampak tak Jamilah di sini? " Jamilah memanggil-manggil dengan esakan.

"Jamilah! Lupakah kau apa yang telah kamu lakukan kepada ibumu? Bila dalam kegelapan yang sejuk begini masih tidak malu memohon pertolongan ibumu?!"

Jamilah kaget. Suara garau itu kembali bergema.

"Aku mintak ampun. Ya! Aku bersalah. Aku berdosa. Aku menderhaka kepada ibuku. Ampunkan aku! Ampunkan aku! Aku nak balik! Aku nak sujud depan ibuku..." Jamilah menangis kembali.

"Bukan kepada aku untuk kau memohon keampunan, tetapi ibumu! Suamimu!"

Amarah suara itu begitu kuat. Sesiapa yang mendengarkannya boleh jatuh pengsan!

"Ya, aku ingin mohon ampun kepada ibu dan suamiku. Aku ini manusia penuh dengan dosa. Berikanlah daku peluang yang terakhir! Kasihanilah aku!"

Jamilah memohon belas kasihan.

"Jamilah! Peluang sudah terlalu banyak diberikan kepada kamu ketika kamu masih sedar dan sihat. Tetapi di waktu itu, kamu melampaui batas! Dia, ibumu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan kamu tergamak kamu memaki hamun dengan bahasa yang sungguh kesat! Tidak ragu-ragu mengherdik ibumu! Tahukah kamu bahawa ibu yang melahirkan kamu begitu tinggi darjatnya dari pandangan yang Maha Esa?!"

Kemarahan pemilik suara itu tidak dapat dibendung. Jamilah meraung.

*****

Bersambung bahagian kedua (episod terakhir)

loading