Adakah Yahudi Buat Duit Dengan Vaksin?

Anda sudah tentu pernah mendengar ungkapan ini kan?

Tuduhan ini kebiasaannya dilemparkan oleh mereka yang tidak mahu mengambil vaksin, lalu cara terbaik untuk menakut-nakutkan orang lain untuk turut sama dengan dakyah mereka adalah dengan mengaitkan vaksin dengan yahudi.

Sebenarnya, siapakah yang membuat untung besar daripada penciptaan vaksin Covid-19 ini?

Mari kita selami gergasi-gergasi farmaseutikal yang sudah kaya raya, walaupun vaksin masih belum lagi sampai kepada kita.

Pfizer dan Moderna

Kredit: https://www.orfonline.org/expert-speak/pfizer-and-moderna-vaccines-heres-everything-we-know-so-far/

Kedua-dua gergasi ini, Moderna dan Pfizer – syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat mengenakan bayaran lebih dari USD30 bagi setiap orang untuk perlindungan vaksin dua dos mereka.

Walaupun Moderna ditubuhkan hanya 11 tahun yang lalu, syarikat ini tidak pernah memperoleh keuntungan dan hanya mempunyai 830 kakitangan sahaja sebelum wabak Covid-19. Pfizer pula ditubuhkan sejak dari tahun 1849, memperoleh keuntungan bersih USD 9.6 billion tahun lalu dan mempunyai hampir 80,000 kakitangan di seluruh dunia.

Syarikat farmaseutikal yang lain seperti AstraZeneca, gabungan syarikat UK dan Sweden dan sebuah lagi syarikat dari Amerika Syarikat iaitu Johnson & Johnson telah berjanji untuk membekalkan vaksin mereka pada harga modal minimum sehingga wabak itu berakhir.

Berapakah jumlah keuntungan daripada penciptaan vaksin?

1 – Pfizer/BioNTech mRNA vaccine (Jangkaan jumlah jualan bagi tahun 2021: RM61 – RM123 bilion)

Vaksin Pfizer yang dibangunkan bersama dengan BioNTech Jerman, didasarkan pada RNA messenger – molekul yang menghantar arahan genetik dari DNA ke sel pembuat protein di dalam badan manusia. Vaksin ini merupakan vaksin yang pertama sekali berjaya mendapat kelulusan dan memerlukan penyimpanan pada suhu ultra rendah (-70C).

Kebanyakkan negara telahpun membeli sekitar 780 juta dos vaksin ini, termasuk Amerika Syarikat (200 juta dos pada harga RM16 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) sebanyak 300 juta dos, sementara 40 juta dos akan diberikan kepada negara berpendapatan rendah melalui kemudahan Covax tajaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Vaksin ini berharga RM160.24 (USD 39) untuk dua dos suntikan di Amerika Syarikat dan sekitar RM123.26 (USD 30) di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

2 – Moderna mRNA vaccine (Jangkaan jumlah jualan bagi tahun 2021: RM73.9 – RM82 bilion)

Vaksin ini dihasilkan oleh firma bioteknologi Amerika Syarikat yang berpangkalan di Massachusetts ini juga memerlukan storan pada suhu rendah iaitu sekitar -20C. United Kingdom telah membeli sejumlah 17 juta dos bagi vaksin ini. Kesatuan Eropah pula membeli 310 juta dos, dengan tambahan belian sebanyak 150 juta dos pada tahun 2022. Kerajaan Amerika Syarikat pula membeli sebanyak 300 juta dos daripada Moderna, dan pembeli lain seperti Jepun membeli 50 juta dos suntikan.

Israel dan vaksin

Kredit: https://www.theedgemarkets.com/article/israel-shares-covid19-data-pfizer-help-finetune-vaccine-rollout

Tahukah anda, Israel merupakan negara yang paling pantas di dalam usaha mencapai immuniti kelompok bagi rakyatnya?

Setakat artikel ini ditulis, Israel telahpun memberikan vaksin kepada lebih 53.25 peratus ataupun 5,035,562 rakyatnya.

Untuk mendapatkan vaksin daripada Pfizer dan Moderna dengan pantas, Kerajaan Israel dilaporkan terpaksa membayar harga yang jauh lebih mahal berbanding negara-negara lain di dunia. Sebagai contoh, mereka membelanjakan RM193.22 secara purata bagi kedua-dua dos vaksin ini.  Harga ini adalah berbeza sebanyak RM32.98 berbanding harga yang dibayar oleh Amerika Syarikat dan RM69.96 berbanding harga yang dibayar oleh Kesatuan Eropah.

Israel menyasarkan mereka akan mencapai imuniti kelompok seawal hujung bulan Mac 2021 ini.

Apakah yang dimaksudkan oleh imuniti kelompok?

Imuniti kelompok atau Herd Immunity adalah keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebarkan virus dalam kalangan suatu kelompok masyarakat oleh kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut telahpun mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut. Cara terbaik mencapai imuniti kelompok ini adalah melalui vaksinasi.

Imuniti kelompok hanya akan terjadi jika kebanyakan orang dalam populasi telah diberi imunisasi (contohnya, 19 daripada setiap 20 orang perlu mendapat imunisasi difteria untuk melindungi mereka yang tidak diberi imunisasi terhadap penyakit difteria). Jika ramai daripada penduduk sesebuah negara tersebut yang tidak mendapat imunisasi, imuniti kelompok akan terjejas dan jangkitan mudah.

Seseorang individu yang mendapat penyakit cegahan vaksin seperti Covid-19 dan lain-lain boleh menyebarkan penyakit kepada orang lain, terutamanya kepada mereka yang tidak mendapat imunisasi. Kanak-kanak yang tidak divaksin masih ada kemungkinan kecil dijangkiti penyakit cegahan vaksin yang ringan. Namun begitu, pesakit yang telah divaksin juga masih boleh menjangkiti kanak-kanak lain, terutama yang tidak mendapat imunisasi.

Sekiranya liputan imunisasi dalam Malaysia tidak mencapai tahap yang ditetapkan iaitu melebihi 95 peratus, kebarangkalian untuk virus tersebut tersebar dalam komuniti kita adalah tinggi.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram