AEON Credit Dan AEON Financial Mohon Lesen Bank Digital

AEON Credit Service (M) Bhd dan AEON Financial Service Co Ltd (AFS) antara syarikat terakhir yang mengemukakan permohonan bidaan bersama kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan lesen bank digital.

Menurut kenyataan mereka, sekiranya mendapat kelulusan Bank Negara kelak, satu syarikat usaha sama akan diperbadankan dan jika perlu, sebuah syarikat pegangan kewangan (FHC) bagi syarikat usaha sama itu akan ditubuhkan menurut kenyataan AEON Credit kepada Bursa Malaysia. AEON Credit akan memiliki 40 peratus kepentingan ekuiti dalam FHC tersebut manakala AFS pula akan memiliki baki majoriti 60 peratus lagi pegangan.

Cadangan struktur syarikat pegangan kewangan baharu AEON

Kredit gambar: https://www.japantimes.co.jp/news/2020/07/09/business/corporate-business/aeon-net-loss-coronavirus/

Berdasarkan struktur pemegangan saham syarikat pegangan kewangan (FHC) dan kepentingan ekuiti sebanyak 61.5 peratus yang dipegang oleh AEON Financial Service Co Ltd (AFS) dalam AEON Credit, AFS akan memegang kepentingan ekuiti 84.6 peratus dalam FHC dan syarikat usaha sama (JVC).

Struktur ini akan membawa kedua-dua syarikat baharu ini kelak sebagai anak syarikat kepada AEON Financial Service. Selepas diperbadankan kelak, syarikat pegangan kewangan tersebut bakal mempunyai modal saham terbitan berjumlah RM200 juta merangkumi 200 juta saham biasa manakala syarikat usaha sama itu pula akan memiliki modal saham terbitan berjumlah RM200 juta merangkumi 200 juta saham biasa, tertakluk kepada kelulusan pengeluaran lesen perbankan kepada bank digital itu.

Pada akhir tahun kelima daripada permulaan operasinya, bank digital itu perlu mencapai dana modal minimum berjumlah RM300 juta yang tidak terjejas oleh kerugian.

Lima lesen bank digital akan diluluskan pada 2022

Kredit gambar: https://medium.com/tokyo-fintech/ten-points-to-note-about-digital-banking-licenses-in-malaysia-add6ac8a7ce1

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga lima lesen untuk bank digital akan dipertimbangkan untuk pemohon yang layak menjelang suku pertama 2022. Syarikat yang berjaya perlu menunjukkan bahawa mereka mempunyai cadangan nilai yang kukuh yang memberikan tumpuan perkhidmatan pada segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan serta mempunyai kemampuan untuk memenuhi keperluan pengawalseliaan demi memelihara kestabilan sistem kewangan.

Bank pusat tersebut mengeluarkan dokumen dasar mengenai rangka kerja pelesenan bank digital pada 31 Disember 2020 lalu yang mana pelesenan institusi-institusi yang baharu dengan model perniagaan yang inovatif dijangka mampu menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Menerusi penggunaan platform teknologi yang tangkas serta analisis data, bank digital dijangka dapat memperluas penawaran produk dan perkhidmatan perbankan yang lebih bersasar bagi menyelesaikan masalah pengguna Malaysia, terutama untuk segmen pengguna yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Terdapat 40 permohonan lesen setakat Februari 2022

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/bnm-rolls-out-policy-document-licensing-digital-banks-sets-june-30-deadline-application

Bank Negara Malaysia (BNM) menerima kira-kira 40 permohonan daripada pihak yang berminat untuk mendapatkan lesen perniagaan perbankan digital setakat Februari 2021. Menurut kenyataan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus tempoh permohonan untuk mendapatkan lesen menjalankan perniagaan perbankan digital atau perniagaan perbankan digital Islam adalah sehingga 30 Jun ini.

Menurut BNM melalui kertas dasarnya, bank digital dijangkakan untuk memperkenalkan teknologi inovatif yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia. Ini khususnya untuk menangani masalah rakyat yang tergolong dalam segmen pelanggan yang kurang atau tidak mendapat perhatian dalam kemudahan perkhidmatan kewangan.

BNM pada akhir tahun lalu mengeluarkan dokumen dasar rangka kerja perlesenan bank digital atau dokumen dasar, selepas berakhirnya tempoh maklum balas awam selama enam bulan. Rangka kerja pelesenan bank digital bertujuan membolehkan penggunaan teknologi inovatif bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu, perniagaan serta menyokong pertumbuhan lestari.

Ia juga termasuk mengembangkan akses secara bermakna dan menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai secara bertanggungjawab kepada segmen yang tercicir atau kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan. Rangka kerja itu mengambil pendekatan seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital yang mempunyai nilai tawaran kukuh.

Pada masa sama, ia juga bertujuan memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan serta kepentingan pendeposit.

Petronas, Boost dan Sea Ltd dilapor bida lesen bank digital

Kredit gambar: https://www.malaymail.com/news/money/2021/04/05/petronas-oil-and-gas-to-remain-a-significant-portion-of-energy-mix/1963875

Sebelum ini, anak syarikat Axiata Group Bhd, Boost Holdings Sdn Bhd membentuk konsortium dengan Kumpulan Perbankan RHB untuk memohon lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM). Kedua-dua syarikat dalam satu kenyataan bersama berkata, kerjasama itu adalah platform terbaik untuk memacu inovasi, meningkatkan persaingan dan mempercepatkan transformasi digital negara dan cita-cita keterangkuman kewangan.

Syarikat minyak nasional, PETRONAS dan firma Singapura, Sea Ltd adalah antara syarikat yang dilaporkan pernah merancang untuk membida lesen perbankan digital di Malaysia. Ini selepas Bank Negara Malaysia memaklumkan keputusan untuk mengeluarkan sehingga lima lesen perbankan digital mencetuskan aktiviti dalam kalangan firma teknologi, bank dan lain-lain yang mahu mengukuhkan kedudukan dalam perkhidmatan kewangan.

PETRONAS bagaimanapun menafikan sumber berita tersebut, tiga hari sebelum tarikh tamat bidaan lesen bank digital. Bidaan akhir telah tamat semalam iaitu pada 30 Jun 2021 dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menentukan pemenang bidaan lesen tersebut pada tahun 2022.

Bacaan Seterusnya