Apa Yang Kita Tahu Dalam Perbicaraan Mahkamah Epic Games Vs Apple

Sejak Ogos 2020, pertempuran sengit antara Epic Games dan Apple sudahpun dijangka. Segalanya bermula apabila permintaan Epic Games untuk mendapatkan pengecualian caj 30 peratus terhadap pembayaran di dalam aplikasi permainan Fortnite di App Store tidak dilayan oleh Apple.

Lanjutan daripada permohonan demi permohonan, Epic Games akhirnya melanggar polisi App Store dengan membenarkan pemain Fortnite membuat pembayaran di luar App Store, lantas menyebabkan Apple membuang permainan tersebut. Bagi menuntut keadilan, pembangun aplikasi permainan Fortnite iaitu Epic Games telah memfailkan tuntutan anti-monopoli ke atas Apple di mahkamah California.

Kes ini merupakan kes yang sangat signifikan, lantaran pihak-pihak yang dinamakan sebagai defenden dan saksi datang daripada gergasi-gergasi teknologi yang mencorak dunia pada abad ini. Berikut merupakan beberapa perkara penting yang mungkin kita tidak akan tahu sekiranya kes ini tidak di bawa ke mahkamah oleh Epic Games.

Tim Cook tidak memberikan maklumat jelas sewaktu pemeriksaan balas

Kredit gambar: https://www.firstpost.com/tech/news-analysis/apple-vs-epic-trial-apple-ceo-tim-cook-to-testify-this-week-as-the-trial-nears-end-9637531.html

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook merupakan orang nombor satu syarikat tersebut dan mewakili mereka untuk mengemukakan bukti. Sepanjang perbicaraan, beliau dilaporkan tenang berkongsi maklumat dan mampu membawa hujah mewakili Apple dengan baik sekali. Malangnya, Tim Cook dilihat tidak dapat menjawab dengan baik semasa pemeriksaan balas oleh peguam Epic Games.

Kebanyakan pemerhati melihat isu ini akibat pasukan peguam Apple sendiri tidak menjangkakan julat soalan yang bakal ditanya kepada CEO mereka. Antara soalan yang tidak boleh dijawab dengan baik oleh Tim Cook adalah seperti jumlah keuntungan yang dibuat oleh Apple melalui App Store. Beliau hanya mampu berkata bahawa beliau percaya App Store menghasilkan untung namun tidak pernah mengira jumlah tepatnya.

Sebenarnya, Apple dilihat cuba menyembunyikan jumlah keuntungan sebenar App Store apabila mengelak menjawab soalan ini dengan fakta yang jelas. Analisa yang dilakukan oleh CNBC menunjukkan hasil jualan di App Store melonjak kepada RM264.1 bilion ($64 bilion) pada tahun 2020 berbanding RM206.4 bilion ($50 bilion) pada tahun 2019 dan RM200.2 bilion ($48.5 bilion) pada tahun 2018. Sekiranya dibandingkan dengan jumlah jualan keseluruhan Apple pada tahun 2020 iaitu RM1.13 trilion ($274.52 bilion), adalah mustahil Tim Cook tidak mempunyai fakta tersebut.

Apple tidak pernah mengumumkan keuntungan kasar ataupun keuntungan bersih yang dibuat melalui App Store sejak operasinya bermula pada tahun 2008. Saban tahun Apple hanya akan melaporkan jumlah wang yang dibayar kepada pembangun perisian di dalam App Store sahaja.

Tim Cook sekali lagi tidak menjawab dengan jelas kepada soalan jumlah wang yang dibayar oleh Google kepada Apple untuk mengekalkan Google sebagai enjin carian utama di iPhone. Laporan media menunjukkan Google memonopoli enjin carian iPhone dan membayar RM41.2 bilion ($10 bilion) untuk tujuan tersebut.

Epic Games membayar lebih komisyen kepada Microsoft dan Sony

Kredit gambar: https://wccftech.com/microsoft-issues-statement-in-support-of-epic-games-to-remain-on-apple-ecosystem/

Biarpun tuntutan dibuat ke atas Apple, perbicaraan ini menjadi hangat apabila persoalan mengenai jumlah pembayaran komisyen yang dibuat oleh Epic Games menjadi persoalan. Ini kerana, perbicaraan ini membincangkan tentang ketidakadilan dan monopoli Apple terhadap Epic Games. Maka, sejauh mana ketidakadilan itu boleh diukur daripada jumlah komisyen yang dibayar oleh Epic Games kepada firma-firma yang lain.

Jumlah komisyen yang dibayar oleh Epic Games kepada Sony adalah sebanyak RM1.86 bilion ($451 juta). Syarikat tersebut juga membayar sebanyak RM1.01 bilion ($245 juta) kepada Microsoft sebagai komisyen terhadap penggunaan permainannya di Xbox. Kedua-dua pembayaran ini adalah komisyen pada tahun 2020 sahaja.

Jumlah ini dilihat jauh lebih kecil berbanding bayaran yang dibuat kepada Apple. Menurut laporan The Washington Post, mulai Januari 2017 hingga Oktober 2020 Epic Games dilaporkan hanya membayar Apple sebanyak RM978.3 juta ($237 juta) sebagai komisyen di App Store.

Peguam Epic Games pula berhujah bayaran komisyen yang tinggi itu adalah disebabkan Microsoft tidak mendapat untung yang besar di dalam penjualan konsol permainan tersebut. Dan hujah ini menggemparkan segenap dunia teknologi.

Benarkah Xbox dijual pada harga ‘hampir’ rugi?

Kredit gambar: https://www.techradar.com/sg/reviews/xbox-series-x

Sepanjang perbicaraan ini, Microsoft dilihat menyebelahi Epic Games. Ia tidaklah memeranjatkan kerana persaingan antara dua gergasi teknologi ini sudah berlarutan begitu lama. Namun begitu, hujah peguam Epic Games tentang pembayaran komisyen yang tinggi kepada Microsoft menjadi bahan perdebatan yang panjang.

Beberapa fakta ditimbulkan semasa perdebatan ini. Antaranya bagaimana Microsoft berusaha untuk menurunkan komisyen mereka di Windows Store untuk memberikan saingan terhadap App Store milik Apple. Namun apa yang lebih memeranjatkan apabila Epic Games menurunkan Ketua Xbox Lori Wright untuk mempertahankan hujah bahawa Microsoft tidak membuat untung yang banyak disebalik penghasilan konsol permainan tersebut. Ini bermaksud, pengguna sebenarnya membeli konsol permainan popular tersebut pada harga subsidi.

Pada pandangan barisan peguam Epic Games, pendedahan Lori Wight itu hanya akan menguatkan hujah terhadap pembayaran komisyen yang jauh lebih tinggi kepada Microsoft. Kononnya dengan pendedahan ini, Xbox dapat membezakan caj komisyen mereka berbanding iPhone kerana Apple menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda daripada jualan telefon pintar tersebut.

Namun begitu, pendedahan tersebut sebenarnya membawa mimpi ngeri kepada persepsi umum pelabur dan pengguna terhadap Microsoft. Ia dapat dilihat dengan siaran media oleh bahagian perhubungan awam Microsoft yang mahu menenangkan pelabur berkenaan modul perniagaan Xbox tidaklah merugikan meskipun terdapat subsidi di dalam harga jualannya.

Bagi membenarkan penggunaan hujah ini, Apple memohon agar Microsoft membentangkan laporan kewangan lengkap tentang modul perniagaan Xbox di mahkamah bagi menyokong dakwaan ini.

Tiada iMessage untuk peranti Android bagi mengekalkan jualan iPhone

Kredit gambar: https://www.techradar.com/news/heres-why-apple-never-brought-imessage-to-android

Perbualan e-mel dalaman di antara Eddy Cue, seorang Naib Presiden Kanan Apple dengan Phil Schiller, Felow Apple yang merupakan mantan Ketua Pegawai Pemasaran mereka mendedahkan punca sebenar iMessage tidak dibuka untuk penggunaan di luar App Store.

Sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pembangunan aplikasi milik Apple, Eddy Cue seawal tahun 2013 lagi telah melihat iMessage boleh menjadi aplikasi yang menguntungkan sekiranya boleh dimuat turun oleh pengguna Android. Beliau melihat iMessage mampu menjadi alternatif kepada Whatsapp yang pada waktu itu belum lagi popular.

Beliau sekali lagi membangkitkan persoalan sama kepada Phil Schiller melalui e-mail dalaman mereka tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 2016. Jawapan Felow Apple untuk kedua-dua persoalan ini adalah konsisten. Menurut Phil, membuka iMessage kepada khalayak di luar iPhone hanya akan memberikan satu sebab untuk pengguna setia mereka meninggalkan iPhone dan beralih kepada peranti-peranti lain. Apple lebih memandang kepada pentingnya melindungi keeksklusifan iMessage kepada pengguna iPhone lantas membuatkan pengguna kekal dengan jenama mereka.

Apple masih tidak membenarkan Safari mengadaptasi Progressive Web Apps (PWAs)

Kredit gambar: https://medium.com/@deepusnath/4-points-to-keep-in-mind-before-introducing-progressive-web-apps-pwa-to-your-team-8dc66bcf6011

Secara teorinya, terdapat satu jalan untuk membawa masuk aplikasi ke dalam iPhone tanpa melalui App Store. Teknologi serba baharu ini menggunakan Progressive Web Apps (PWAs) yang membolehkan aplikasi diakses menggunakan pelayar internet tanpa perlu sebarang proses muat turun. Teknologi ini mendapat sokongan padu oleh Google, Microsoft dan Twitter.

Dengan menggunakan PWAs, aplikasi boleh digunakan seperti biasa di pelayar internet dengan fungsi yang hampir menyeluruh. Setakat ini, beberapa aplikasi yang menyokong PWAs adalah seperti Facebook, Telegram, Google Maps Go, Uber dan Pinterest.

Bagaimanapun, Apple dilihat masih tidak membenarkan Safari untuk mengadaptasi teknologi PWAs ini. Biarpun tiada sebarang pengesahan rasmi tentang keputusan ini, Apple masih mahu mempertahankan iOS daripada ‘diceroboh’ oleh aplikasi yang bukan berada di dalam App Store. Kebanyakan eksekutif Apple menganggap kekuatan iOS terletak pada keselamatan aplikasi yang terbina bersesuaian dengan sistem iPhone sahaja dan keadaan ini tidak akan berubah dalam masa terdekat.

Menerusi perbicaraan ini, ramai yang beranggapan bahawa Apple akan tewas di dalam perjuangan mempertahankan keeksklusifan App Store yang dianggap sebagai monopoli oleh Epic Games. Namun begitu, keputusan perbicaraan ini tidak akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Kemungkinan besar, mahkamah California akan memberikan keputusan mereka selepas musim panas 2021, sekitar Oktober tahun ini.

Kekalahan Apple akan menyebabkan Google turut sama menerima tempiasnya apabila Epic Games turut menyaman Play Store atas tuduhan monopoli yang sama. Sekiranya Apple berjaya pula, amalan monopoli ini akan terus menjadi perdebatan dan persoalan terhadap pembuat perisian yang lain.