Asal-Usul Hari Wesak: Apa Yang Diraikan Oleh Penganut Buddha?

Setiap tahun kita akan mendapat satu hari cuti umum semasa Hari Wesak. Tetapi tahukah kita apa itu Hari Wesak? Apa yang disambut oleh penganut agama Buddha pada Hari Wesak? Mengapa ia hari kebesaran dalam agama Buddha?

Dalam artikel ini, kami akan jawab semua persoalan-persoalan di atas.

Asal-usul Hari Wesak

Semuanya bermula apabila seorang diplomat Sri Lanka dan penganut agama Buddha yang alim, Gunapala Piyasena Malalasekera mengasaskan penubuhan World Fellowship of Buddhists pada tahun 1950.

Sebagai seorang diplomat, Gunapala menyaksikan sendiri betapa adanya percanggahan daripada ajaran agama Buddha sebenar di beberapa negara yang beliau bertugas.

Jadi Gunapala merasakan adanya keperluan untuk menubuhkan sebuah organisasi induk di peringkat antarabangsa untuk menyatupadukan penganut agama Buddha. Oleh itu World Fellowship of Buddhists diasaskan. Gunapala turut dilantik menjadi presiden pertama organisasi tersebut.

Sebagai presiden, tindakan pertama Gunapala untuk menyatupadukan penganut Buddha adalah menganjurkan sebuah persidangan antarabangsa yang perlu dihadiri oleh persatuan-persatuan agama Buddha di seluruh dunia.

Persidangan tersebut berlangsung pada 25 Mei hingga 6 Jun 1950. Dalam persidangan ini, seramai 129 delegasi daripada 29 buah negara yang mempunyai komuniti Buddha berkumpul ramai-ramai di Holy Temple of the Tooth yang terletak di Kandy, Sri Lanka.

Dalam persidangan tersebut, banyak perkara tentang ajaran Buddha yang diselaraskan. Antaranya mereka berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih simbol ‘dharmacakra’ sebagai simbol rasmi komuniti Buddha seluruh dunia.

Selain itu, persidangan sulung ini turut berjaya memuktamadkan identiti bendera Buddha, sebagai satu simbol agama tersebut di peringkat antarabangsa.

Embed from Getty Images

Persidangan itu juga menukar nama mazhab ‘Hinayana’ menjadi ‘Thevarada’. Perubahan ini dilakukan kerana istilah Hinayana dirasakan kurang sesuai serta tidak menepati ajaran Buddha turun temurun, malahan menghina penganut yang mengikuti mazhabnya.

Kerana itulah sehingga kini wujud dua mazhab ajaran Buddha iaitu Mahayana dan Thevarada.

Satu lagi perkara yang diputuskan dalam persidangan ini adalah permulaan tradisi sambutan Hari Wesak.

Semua wakil persidangan bersetuju untuk menjadikan hari pertama bulan mengambang penuh pada bulan Mei setiap tahun sebagai hari Wesak untuk memperingati kelahiran, kecahayaan dan kematian Gautama Buddha.

Walaupun tarikh Hari Wesak diputuskan sambutannya selepas persidangan tersebut, sejarah sambutannya sudah lama bermula terutamanya oleh penganut Buddha di Nepal.

Dinasti Maharaja Nepal yang memerintah negara tersebut sudah pun mengisytiharkan setiap hari pertama bulan mengambang penuh yang dikenali sebagai Purnima, sebagai hari cuti umum.

Selain dikenali dengan nama Hari Wesak atau Vesak Day, nama lain bagi sambutan ini adalah Buddha Jayanti, Buddha Purnima atau Buddha Day.

Istilah Wesak ini diambil daripada nama bulan dalam kalendar lunar kuno India, yang biasanya jatuh sekitar bulan April sehingga bulan May. Istilah asalnya adalah ‘vesakha’ atau ‘vaisakha’ yang membawa maksud ‘sesuatu’.

Sejarah Hari Wesak

Siddhartha Gautama merupakan seorang putera yang lahir sekitar tahun 500BC dalam sebuah keluarga orang bangsawan di Nepal.

Bagaimanapun, beliau merasakan harta dunia yang dimiliknya tidak membawa kebahagiaan kepada dirinya. Jadi Gautama mengambil keputusan membuang semua pangkat dan meninggalkan hartanya untuk keluar merantau untuk melihat sendiri realiti sebenar dunia.

Ketika merantau, Gautama juga belajar bermeditasi melalui seni yoga dan berpuasa. Beliau berpendapat puasa akan membuatkan dirinya mendapat ‘kesedaran’.

Tetapi apabila beliau makan makanan yang dibawa oleh seorang wanita ketika beliau sedang bermeditasi di bawah pokok, Gautama sedar puasa dan makan terlalu kenyang tidak membantunya menemui makna kehidupan. ‘Kesedaran’ ini dikenali dengan nama ‘kecahayaan’. Sejak mendapat ‘kecahayaan’, beliau dikenali dengan nama Siddharta Gautama Buddha.

Embed from Getty Images

49 hari selepas mencapai tahap ‘kecahayaan’ tersebut, Siddhartha Gautama Buddha menamatkan meditasinya lalu mula mengajar dharmacakra yang pertama.

Apa yang dilakukan penganut Buddha ketika Hari Wesak?

Ketika Hari Wesak, sami Buddha akan memulakan sambutan seawal Subuh di kuil. Di kuil, mereka akan bermeditasi mengikut ajaran Buddha di mana mereka wajib menghargai kehidupan, berbuat baik, tidak berkahwin dan melakukan hubungan seks dan bercakap baik.

Sami Buddha juga dilarang minum alkohol dan hanya makan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Mereka juga dilarang mendengar muzik, mencantikkan badan dan tidur terlalu lama.

Sementara itu penganut Buddha yang lain akan pergi ke kuil untuk bersembahyang dan menderma. Mereka juga akan membawa bunga dan lilin untuk mengingatkan dunia ini sementara sahaja. Ini kerana bunga akan layu. Lilin akan terbakar.

Sami Buddha pula akan menyebut ajaran Buddha dan menaikkan bendera Buddha di kuil.

Embed from Getty Images

Kebanyakan penganut Buddha di Malaysia biasanya akan pergi ke bangunan Persatuan Buddha Malaysia dan beratur untuk membasuh patung Buddha. Ritual ini dipercayai akan membersihkan dan menyucikan jiwa mereka.

Kemudian mereka akan menyalakan lilin berbentuk bunga teratai dan berdoa. Selepas berdoa, mereka akan makan makanan vegetarian.

Selepas makan, sambutan diakhiri dengan perarakan selama beberapa jam. Semasa perarakan, mereka akan membawa bunga dan lilin.

Embed from Getty Images

Bacaan Seterusnya