Bagaimana Kaki Judi Profesional Ini Buat RM1.2 Bilion Dari Pinjaman RM2.8 Juta

Hari ini, Matthew Benham lebih dikenali sebagai pemilik Brentford FC yang mengemudi kelab kesayangannya ke puncak English Premier League (EPL). Sejarah tercipta apabila Brentford FC yang ditubuhkan pada tahun 1947 akhirnya berjaya melayakkan diri ke liga elit seperti EPL buat julung kalinya.

Namun sebenarnya Matthew Benham lebih dikenali di dalam dunia perjudian sebagai mahaguru yang mampu meramal kemungkinan dengan ilmu analitik. Matthew mempunyai reputasi yang sangat cemerlang kerana tidak sahaja beliau meramal, berjaya dengan ramalan tersebut, menjadi hartawan dan akhirnya mengaplikasikan ilmu tersebut bersama Brentford FC.

Pendidikan awal Matthew Benham

Kredit gambar: https://www.nytimes.com/2019/04/09/business/bank-of-america-minimum-wage.html

Matthew Benham sebenarnya seorang yang mempunyai kecerdasan akal yang sangat tinggi. Pada penghujung 1980-an, Matthew menyambung pengajiannya di Universiti Oxford di dalam bidang fizik.

Selepas menghabiskan pengajiannya di universiti tersebut, Matthew mendapat kerja sebagai eksekutif di Yamaichi International Europe di London. Kemudian, beliau bertukar bidang dari fizik kepada kewangan dan bekerja bersama Bank of America. Biarpun bertukar bidang sepenuhnya, Matthew Benham masih mampu menaiki tangga dunia korporat dan berjaya menduduki kerusi Naib Presiden sebelum berhenti dari bank terkemuka tersebut pada tahun 2001.

Membabitkan diri bersama sifu perjudian sukan, Tony Bloom

Kredit gambar: https://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-2925026/Brighton-s-poker-playing-owner-Tony-Bloom-hoping-Seagulls-play-cards-right-against-Arsenal-FA-Cup-tie.html

Sebaik meninggalkan Bank of America, Matthew Benham tidak menoleh ke belakang dan menyertai sebuah syarikat perjudian sukan yang terulung di United Kingdom. Matthew menyertai syarikat itu sebagai seorang pelabur dan bekerja di bawah seorang sifu dunia perjudian sukan iaitu Tony Bloom.

Selain mempunyai kepakaran dalam perjudian sukan, Tony Bloom juga merupakan seorang pemain poker professional yang mewakili United Kingdom di dalam beberapa siri dunia di dalam permainan poker. Tony dilaporkan pernah memenangi hadiah wang tunai sehingga RM6.1 juta di dalam permainan poker.

Namun begitu, Matthew tidak bekerja untuk jangka masa yang panjang bersama Tony apabila mereka kerap kali tidak sehaluan dan Matthew meninggalkan syarikat tersebut pada tahun 2003. Apa yang pasti, Matthew Benham akan berusaha untuk menggabungkan fokusnya kepada dua perkara iaitu statistik, analisi dan cinta sebenar di dalam dirinya iaitu bola sepak.

Menubuhkan syarikat analisis perjudian sukan

Kredit gambar: https://www.smartodds.co.uk/

Pada penghujung tahun 1990-an, terdapat satu kertas penyelidikan yang ditulis oleh Stuart Coles dan Mark Dixon bertajuk “Modelling Association Football Scores and Inefficiencies in the Football Betting Market”. Penyelidikan ini adalah penyelidikan yang terawal yang mengetengahkan kepentingan analisis statistik dan model yang boleh meramalkan keputusan perlawanan bola sepak.

Matthew Benham menghadam makalah ini dengan lumat dan mula menceburi bidang perjudian sukan secara serius. Idea-idea yang dicurahkan dan diilhamkan oleh Stuart Coles dan Mark Dixon dijadikan sebagai realiti dengan olahan dan model beliau yang tersendiri. Pada tahun 2004, Matthew berjaya membawa ilmu kuantitatif ke dalam dunia perjudian sukan dan membina sindiket baharu di dalam bidang perjudian sukan yang lebih berorentasikan kepada analisis statistik.

Sindiket ini bukan hanya sebuah syarikat perjudian sukan semata-mata. Ia menggabungkan beberapa disiplin ilmu dan menjadi titik temu untuk para penganalisis perjudian sukan dan memberikan laporan analisis, statistik, ramalan dan angka-angka keputusan yang diperlukan oleh bidang perjudian sukan.

Bermula daripada sebuah syarikat kecil, kini syarikat tersebut memberikan analisis terhadap sukan bola sepak di seluruh dunia. Bukan itu sahaja, syarikat tersebut kini mengeluarkan analisis terhadap sukan-sukan lain seperti bola keranjang, bola lisut, tenis, hoki dan juga ragbi Amerika. Pada hari ini, syarikat tersebut mempunyai lebih 80 orang penganalisis yang memberikan laporan kepada kaki judi sukan berdasarkan model yang disediakan oleh Matthew Benham.

Penganalisis judi yang akhirnya berjudi dengan diri sendiri

Kredit gambar: https://inews.co.uk/sport/football/brentford-faithful-ready-to-raise-a-glass-to-their-famous-old-ground-griffin-park-565171

Pada tahun 2007, kelab kesayangannya Brentford FC dirundung masalah kewangan yang serius. Kelab bola sepak kecil di barat London ini disokong oleh Matthew Benham sejak usianya 11 tahun lagi. Beliau yang telah mencipta kekayaan daripada kejayaan syarikatnya bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan sebanyak RM2.8 juta untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Perjanjian yang dibuat antara beliau dengan pengurusan Brentford FC adalah sekiranya wang tersebut tidak boleh dibayar kembali, Matthew akan menjadi pemilik penuh kelab tersebut. Pada tahun 2012, perjanjian tersebut tamat tempoh dan pengurusan Brentford masih tidak mampu menjelaskan hutang tersebut. Akhirnya beliau berjaya memiliki kelab kesayangannya. Apa yang diperjudikan dengan dirinya adalah untuk membawa kelab kecil seperti Brentford FC ke puncak EPL dengan menggunakan ilmu analitik.

Pada sekitar tahun 2014, beliau telah membelanjakan RM41.2 juta untuk membeli sebuah kelab kecil di Denmark iaitu FC Midtjylland untuk menguji konsep analisis statistik ini. Sebagai seorang pakar dalam bidang analitik, konsep Matthew amat mudah. Sekiranya cara ini berjaya, beliau akan mengaplikasikan di Brentford FC. Sekiranya gagal, beliau tidak akan menggunakan konsep ini.

FC Midtjylland berjaya menggunakan konsep Matthew ini pada tahun yang sama apabila memenangi Danish Superliga buat kali pertama pada musim 2014-2015. Keputusan cemerlang FC Midtjylland ini diteruskan dengan kemenangan liga pada tahun 2017–2018 and 2019–2020 dan berjaya menduduki tempat kedua pada musim 2018-2019 dan 2020-2021.

Kelab kecil tersebut juga berjaya melayakkan diri buat kali pertama ke UEFA Champions League pada musim 2020-2021. Matthew Benham kini bersedia untuk mengubah masa depan Brentford FC.

Langkah awal Matthew Benham di Brentford FC

Kredit gambar: https://www.football.london/brentford-fc/griffin-park-lionel-road-brentford-14829461

Untuk permulaan, Matthew memecat pegawai-pegawai di Brentford FC dan membawa masuk pegawai yang memiliki minda analitik sepertinya. Kelab bola sepak tersebut juga tidak lagi mempedulikan soal kalah atau menang. Sebaliknya mereka mencipta indikasi tersendiri bagi menjadi kayu ukur kemajuan yang telah berjaya dihasilkan.

Sebagai contoh, Brentford FC mula mengambil berat soal kebarangkalian bagi menghasilkan gol berbanding jumlah gol sebenar yang berjaya dijaringkan. Teorinya mudah, di dalam sukan bola sepak yang lebih dekat dengan rambang dan nasib, kualiti dan kuantiti peluang menghasilkan gol di dalam satu perlawanan adalah lebih utama.

Tindakan drastik pemecatan pegawai ini diteruskan dengan menamatkan kontrak pemain belia di akademi Brentford. Ini berbeza dengan kebanyakan kelab-kelab bola sepak di dunia yang membelanjakan jutaan wang kepada pembangunan akademi mereka. Sebaliknya, Brentford mengalihkan perhatian mereka kepada pasukan B iaitu pemain muda dalam lingkungan usia 17-20 tahun yang selalunya tidak dipandang serius oleh kelab-kelab lain.

Ini kerana Brentford kini berpegang kepada prinsip pemain muda memerlukan 35 perlawanan bola sepak di peringkat kompetetif sebelum diletakkan sebarang nilai. Prinsip ini tidak dipegang oleh kelab-kelab besar kerana mereka tidak mampu untuk menunggu, bersabar dan tidak mempunyai pegawai dengan kepakaran kuantitatif seperti Brentford FC. Kelab kecil seperti Brentford tidak akan rugi apa-apa sekiranya mencuba cara ini.

Perjudian kuantitatif berskala besar yang membuahkan hasil

Kredit gambar: https://www.whufc.com/news/articles/2020/october/16-october/west-ham-united-seal-said-benrahma-loan-deal

Analisa ini membolehkan Brentford membeli pemain di bawah nilai sebenar, membantu kelab memenangi perlawanan dan kemudiannya dijual pada nilai pasaran yang jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, Said Benrahma dibeli dari Nice pada tahun 2018 dengan nilai perpindahan sebanyak RM15.6 juta. Selepas 83 perlawanan dan 27 gol, penyerang itu dijual kepada West Ham United dengan nilai RM164.9 juta.

Analisa sama digunakan oleh Brentford apabila mereka membeli pemain sayap, Ollie Watkins daripada akademi Exeter City pada tahun 2017 dengan nilai perpindahan sebanyak RM9.4 juta. Selepas 132 perlawanan dengan mencetak 45 gol, Ollie dijual kepada Aston Villa tahun lalu dengan nilai RM148.4 juta. Begitu juga dengan pembelian Neal Maupay dari Saint-Étienne pada tahun 2017. Pemain tengah menyerang itu bernilai RM8.6 juta sewaktu berusia 20 tahun. Selepas 85 perlawanan dan 37 gol, Neal dijual kepada Brighton & Hove Albion pada tahun 2019 dengan nilai perpindahan sebanyak RM107.1 juta.

Kredit gambar: https://www.bbc.com/sport/football/48975141?intlink_from_url=&link_location=live-reporting-story

Oh ya, penjualan Neal Maupay juga sebenarnya menyebabkan Matthew Benham mendapat keuntungan daripada sifunya Tony Bloom. Tony merupakan pemilik kelab bola sepak Brighton & Hove Albion.

Kesemua pembelian ini mendatangkan hasil yang lumayan buat kelab kecil seperti Brentford. Tanpa berbelanja besar, kelab bola sepak ini mendapat manfaat daripada pemain muda yang jauh lebih berkualiti. Pada musim 2018-2019, Brentford masih lagi merupakan kelab pertengahan di liga Championship. Namun begitu, kepercayaan Matthew Benham terhadap analitik masih menebal dan percaya perubahan memerlukan masa. Musim seterusnya, Brentford hanya tewas di perlawanan kalah mati di tangan Fulham untuk melayakkan Fulham ke EPL.

Keyakinan dan kesabaran Matthew Benham membuahkan hasil bagi musim 2020-2021 apabila pasukan Brentford FC sekali lagi berjaya layak ke perlawanan kalah mati. Kali ini, mereka berhadapan dengan pasukan berpengalaman iaitu Swansea dan kemenangan 2-0 Brentford membawa ilmu analitik dan perjudian Matthew Benham ke puncak EPL.

Brentford FC kini berstatus kelab English Premier League

Kredit gambar: https://news.sky.com/story/championship-play-off-final-brentford-promoted-to-premier-league-after-winning-footballs-richest-game-12320176

Bermula daripada kelab bola sepak yang tidak mampu membayar hutang sebanyak RM2.8 juta, satu dekad kemudian Brentford FC bakal membawa pulang keuntungan daripada hak penyiaran EPL berjumlah RM1.2 bilion. Namun begitu, nilai tersebut akan bertambah menjadi RM1.6 bilion sekiranya Brentford FC mampu kekal di EPL untuk musim seterusnya.

Apa yang pasti, perjudian sebanyak RM2.8 juta oleh Matthew Benham demi menyelamatkan kelab kesayangannya pada tahun 2007 kini telah membuahkan hasil yang bernilai RM1.2 bilion. Untuk mencari keuntungan RM400 juta yang seterusnya, beliau perlu bersaing dengan sifunya Tony Bloom.