Batik Sebagai Pakaian Rasmi Berjaya Corporation Bhd

Berjaya Corporation Berhad pada hari ini mengumumkan pemakaian batik sebagai pakaian rasmi untuk semua kakitangan syarikat itu. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan itu, Abdul Jalil Abdul Rasheed menerusi akaun Twitter beliau.

Pemakaian batik ini tidak lain bertujuan untuk mempromosikan budaya Malaysia selain menghargai dan menghidupkan kembali seni batik yang semakin dilupakan.

Jalil Abdul Rasheed dan pemakaian batik

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/business/business-news/2020/05/05/pnb-takes-long-term-view-on-returns

Sebelum ini, Abdul Jalil Abdul Rasheed memang selalu kelihatan berbaju batik. Semasa menduduki kerusi panas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, beliau kerap kali dilihat menghadiri mesyuarat dan sidang media dengan memakai baju batik.

Selain bagi mempormosikan budaya Malaysia, pemakaian batik menurut beliau adalah lebih fleksibel bagi iklim dan cuaca di negara kita. Selaras dengan pegumuman ini, seramai 20,000 kakitangan langsung dan tidak langsung kumpulan Berjaya Corporation Berhad akan digalakkan memakai baju batik setiap hari.

Mungkin selepas ini kita boleh melihat pekerja rangkaian 7 Eleven dan Starbucks mengenakan baju batik sebagai pakaian kerja harian mereka?

Asal usul batik Malaysia

Kredit gambar: https://terataimalaysia.com/design-and-make-batik-napkins-airbnb-experience/

Apabila bercakap tentang batik, seringkali kita tidak dapat lari daripada menyebutkan tentang perbezaan di antara batik tempatan dan batik Indonesia. Mana tidaknya, batik Indonesia bermula sejak abad ke-12 lagi. Batik Malaysia dipercayai mula bertapak di Kelantan pada tahun 1911.

Batik Malaysia lebih tertumpu kepada motif flora diikuti motif fauna dan geometri. Motif fauna agak terhad kepada unggas dan serangga. Hidupan dasar laut dan figura manusia tidak digunakan. Batik tempatan juga amat kurang pengunaan pengisian atau isen.

Batik Indonesia pula unsur motifnya sangat luas dan tidak terhad seperti motif flora dan fauna sahaja. Terdapat juga motif yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan geometri, motif buatan manusia dan sebagainya. Penggunaan pengisian atau isen sangat popular dalam kalangan pembuat batik di Indonesia.

Menurut Jalil, beliau juga berharap agar polisi dan perubahan dasar dalam pakaian rasmi ini akan membuka mata syarikat lain untuk mengikut jejak langkah yang sama. Semoga keputusan Berjaya Corporation Berhad ini kembali melonjakkan nama batik tempatan ke persada dunia.