Beberapa Intipati Penting Pakej PEMULIH Yang Perlu Anda Ketahui

Petang semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion. PEMULIH dilancarkan oleh kerajaan dengan tujuan untuk memberikan bantuan yang lebih terangkum dan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak Covid-19.

Pakej PEMULIH ini merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion dengan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Berikut merupakan beberapa intipati pilihan daripada pengumuman tersebut.

Moratorium tanpa syarat selama enam bulan

Kredit gambar: https://www.theborneopost.com/2021/04/12/upbeat-on-maybanks-five-year-roadmap/

Moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan akan diberi kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20. Pemberian moratorium itu tidak memperuntukkan sebarang syarat seperti pengurangan pendapatan, selain tiada semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon hilang pekerjaan.

Tiada lagi dokumentasi perlu dikemukakan untuk permohonan bayaran balik pinjaman berkenaan. Namun begitu, peminjam perlu membuat permohonan kepada bank mereka dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Moratorium bayaran balik pinjaman ini turut akan ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman berkaitan. Ini tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada mulai 7 Julai kelak.

Diskaun bil elektrik selama tiga bulan

Kredit gambr: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/06/20/fomca-welcomes-tnb-rebates-wants-tariff-block-structure-reviewed/1877311

Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut kadar penggunaan elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam (kWj). Diskaun tersebut akan mula berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai.

Selain itu kerajaan turut mengumumkan pelanjutan diskaun bil elektrik membabitkan sektor ekonomi tertentu yang terjejas. Diskaun ini adalah membabitkan pengendali hotel taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Bagi diskaun tersebut, ia akan dilanjutkan untuk tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil Oktober hingga Disember 2021.

Pencarum KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan RM5,000 dari simpanan

Kredit gambar: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/i-citra-kwsp-inisiatif-pengeluaran-wang-simpanan/

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan baharu dikenali sebagai i-Citra, membabitkan pengeluaran sehingga RM5,000. Permohonan i-Citra boleh dibuat mulai 15 Julai ini dengan pembayaran pertama akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos.

Secara keseluruhan pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. Menerusi i-Citra seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Pengeluaran ini tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini. Permohonan hanya secara dalam talian melalui portal icitra.kwsp.gov.my. Bagaimanapun, portal tersebut hanya boleh diakses bermula 15 Julai 2021. Maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan di laman sesawang KWSP dalam masa terdekat.

Bayaran tambahan RM1,000 bagi GKP 4.0

Kredit gambar: https://portalsemakan.com/geran-khas-prihatin/

Kerajaan bersetuju menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 kepada penerima layak sebanyak RM500, yang akan dibayar pada September dan RM500 lagi pada November ini. Bayaran tambahan bantuan GKP di bawah 4.0 itu dibuat berikutan bagi meringankan kesukaran yang dihadapi oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro pada masa ini.

Adalah diharapkan dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta usahawan PKS mikro termasuk pengusaha kedai gunting rambut, pemilik workshop, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatandapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka.

Kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan bulan Julai kelak.

Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion sehingga hujung tahun

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/638774/rm500-untuk-petugas-kesihatan

Kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini. Jumlah tersebut akan merangkumi bayaran tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga RM500 pada bulan depan seperti diperuntukkan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan dan ia akan disalurkan secara berperingkat mulai hari ini.

BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 pula akan dibayar pada September, termasuk membabitkan kes lulus rayuan. Secara keseluruhan, nilai BPR sehingga hujung tahun ialah RM4.9 bilion.

Selain itu juga, pemberian Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan diberikan mengikut kadar tertentu kepada golongan kategori miskin tegar, kategori B40 dan juga M40. Pemberian ini akan membabitkan isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan RM500 sebanyak dua kali, iaitu Ogos dan November, serta RM300 pada Disember. Individu bujang kategori miskin tegar pula akan menerima bantuan RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

Bagi isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala golongan bujang B40 bakal menerima RM200 pada Ogos. Untuk isi rumah golongan M40 pula akan menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang dalam kelompok ini akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti.

Secara keseluruhan, pemberian khas Bantuan Khas Covid-19 (BKC) ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.

Bacaan Seterusnya