Bekas CEO Nissan Bayar RM3.5 Juta Untuk Diseludup Ke Lubnan

blank

Pada hari ini, seorang bapa warganegara Amerika Syarikat bernama Michael Taylor bersama-sama anaknya Peter akan didakwa di Mahkamah Daerah Tokyo. Michael Taylor, seorang bekas tentera bersama pasukan United States Army Special Forces didakwa atas tuduhan menyeludup bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn.

Carlos Ghosn menghadapi pelbagai tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa sewaktu mengemudi Nissan dan juga sewaktu mempengerusikan Pakatan Renault–Nissan–Mitsubishi, gergasi pengeluar automatif dunia. Di bawah kendaliannya, pakatan ini berjaya menjual 10.6 juta kenderaan ringan pada tahun 2017 dan menjadi kumpulan automatif terbesar di dunia.

Latar belakang Carlos Ghosn

blank
Kredit gambar: https://www.the961.com/5-impressive-carlos-ghosn-moments/

Dilahirkan di Brazil, Ghosn ialah anak kepada sepasang suami isteri dari Lebanon. Beliau menerima pendidikan sebagai seorang jurutera di École Polytechnique pada tahun 1974 dan menyambung pengajiannya di École des Mines de Paris. Kelebihan yang ada pada dirinya adalah beliau dikenali sebagai seorang business turnover specialist.

Beliau bekerja bersama Michelin selama 18 tahun, dilantik sebagai COO Michelin South American seawal usianya 30 tahun. Beliau hanya memerlukan dua tahun untuk memulihkan kembali perniagaan Michelin di sana sebelum dilantik sebagai CEO Michelin North America pada tahun 1990.

Pada tahun 1996, beliau menyertai Renault sebagai seorang Naib Presiden Kanan dan apabila Renault dan Nissan menubuhkan pakatan Renault-Nissan Alliance pada tahun 1999 dengan Renault membeli 36.8 peratus saham Nissan, Carlos Ghosn menyertai Nissan sebagai COO sambil mengekalkan jawatannya di Renault. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Presiden Nissan pada tahun 2000 dan CEO Nissan pada tahun 2001.

Bagaimana Carlos Ghosn menyelamatkan Nissan

blank
Kredit gambar: https://asia.nikkei.com/Spotlight/My-Personal-History/My-Personal-History-Carlos-Ghosn/Carlos-Ghosn-12-Mapping-out-a-plan-to-save-Nissan2

Pembelian saham oleh Renault merupakan antara titik kejatuhan bagi Nissan. Sewaktu Carlos Ghosn dilantik sebagai COO Nissan, mereka sedang dibebani dengan hutang sebanyak RM82.3 bilion ($20 bilion). Daripada 46 model kereta yang dihasilkan oleh Nissan, hanya tiga buah sahaja yang memberikan keuntungan. Pada pemerhati industri automotif melihat Nissan tidak lagi boleh diselamatkan dan hanya menunggu masa untuk gulung tikar.

Pelan menghidupkan semula Nissan oleh Carlos Ghosn dimulakan pada Oktober 1999 dengan sasaran untuk mencapai keuntungan pada tahun kewangan berikutnya. Carlos juga menyasarkan keuntungan 4.5 peratus berdasarkan jualan untuk tiga tahun akan datang dengan pengurangan hutang sebanyak 50 peratus pada tahun 2002.

Cagarannya? Beliau akan meletakkan jawatan sekiranya sasaran ini tidak dicapai.

Nissan mula menyusun semula perniagaan mereka dengan memecat hampir 14 peratus tenaga kerja dengan jumlah 21,000 orang di Jepun. Nissan juga menutup lima kilang mereka lantas mengurangkan jumlah pembekal dan pemegang saham, serta melelong unit-unit yang tidak membawa keuntungan tetapi bernilai seperti cabang aeroangkasa Nissan.

Budaya kerja yang dibawa oleh Carlos Ghosn juga sangat berbeza. Beliau merupakan CEO Nissan yang pertama yang bukan berbangsa Jepun, manakala hanya Mazda satu-satunya syarikat automatif Jepun ketika itu mempunyai CEO dari luar Jepun. Carlos Ghosn berjaya mengubah budaya kerja Jepun yang mengamalkan kenaikan pangkat berdasarkan umur, tiada lagi senioriti dalam pemberian jawatan serta mengubah pandangan perjawatan sepanjang hayat kepada ganjaran besar apabila syarikat mencapai sasaran.

Hasilnya, hanya setahun diperlukan oleh Carlos Ghosn untuk membawa keuntungan kembali buat Nissan pada tahun 2000 dengan keuntungan selepas cukai meningkat kepada $2.7 bilion berbanding kerugian $6.46 bilion pada tahun 1999. Dua belas bulan selepas pelan menghidupkan semula Nissan digerakkan oleh Carlos Ghosn,  syarikat tersebut kembali ke landasan perniagaan sebenar dengan margin keuntungan mencapai 9 peratus berbanding jualan, sekali ganda lebih tinggi berbanding sasaran dan pesaing industri yang sama. Kesemua pelan beliau berhasil dan berjaya dicapai sebelum tahun 2002.

Mengetuai Pakatan Renault–Nissan–Mitsubishi

blank
Kredit gambar: https://www.ft.com/content/4ca11c94-1b29-11e9-9e64-d150b3105d21

Renault menambah pegangan saham mereka di dalam Nissan sehingga 44 peratus manakala Nissan pula memiliki 15 peratus saham dalam Renault. Ini menyebabkan kedua-dua pemilik saham majoriti syarikat ini bersetuju untuk melantik Carlos Ghosn sebagai Presiden dan CEO bagi Renault dan Nissan. Beliau merupakan orang yang pertama mengetuai dua buah syarikat yang tersenarai di dalam Fortune 500 dalam masa yang sama.

Malah pada akhir tahun 2010 Carlos dinamakan sebagai Pengerusi, Presiden dan CEO bagi Pakatan Renault-Nissan. Beliau dilihat sebagai individu yang sangat berpengaruh di dalam indusri automotif di dua benua iaitu Asia dan Eropah.

Apabila Pakatan Renault-Nissan membeli sebuah lagi syarikat automotif bermasalah iaitu Mitsubishi dengan 34 peratus daripada sahamnya, pakatan ini membesar menjadi tiga buah syarikat. Dengan ini kumpulan Renault- Nissan dikenali dengan nama Pakatan Renault – Nissan – Mitsubishi. Seperti diduga, Carlos Ghosn dinamakan sebagai Pengerusi dan serentak dengan itu menduduki kerusi pengarah di Mitsibushi.

Pakatan ini juga menjadi penentu kepada sepuluh jenama kereta di bawahnya iaitu Renault, Nissan, Mitsubishi, Infiniti, Renault Samsung, Dacia, Alpine, Datsun, Venucia dan Lada.

Kuasa penuh yang berakhir dengan tuduhan pecah amanah

blank
Kredit gambar: https://www.scmp.com/week-asia/politics/article/3111134/japan-slams-un-panels-report-carlos-ghosns-unfair-detentions

Ghosn pertama kali ditahan di Tokyo pada November 2018 dan menghadapi tuduhan salah laku kewangan dan pelanggaran kepercayaan kerana didakwa gagal melaporkan kira-kira $82 juta dalam bentuk gaji dan memindahkan kerugian kewangan peribadi buat sementara ke akaun Nissan semasa krisis kewangan itu.

Selepas dibebaskan dengan ikat jamin $9 juta pada Mac 2019, Ghosn mendakwa tuduhan itu sebagai tiada merit dan mengatakan beliau adalah mangsa persengketaan lembaga pengarah.

Jurucakap Ghosn sebelum ini berkata pembayaran sebanyak $32 juta yang dibuat dalam tempoh lebih sembilan tahun itu adalah ganjaran bagi firma Oman selaku pengedar utama Nissan. Insentif pengedar itu tidak diarahkan oleh Carlos Ghosn dan dana itu tidak digunakan untuk membayar hutang peribadi.

Siasatan dalaman oleh Nissan pula menjurus kepada salah guna wang Nissan untuk kegunaan peribadi dengan nilai $18 juta bagi pembelian rumah Carlos Ghosn di Brazil, Paris, Amsterdam, Beirut dan pakej percutian keluarga dengan menggunakan syarikat yang bernama ZI-A Capital BV.

CEO Nissan Hiroto Saikawa kemudiannya membuat pengumuman yang Carlos Ghosn akan disingkirkan daripada Nissan pada 22 November 2018, diikuti dengan pemecatan oleh Mitsubishi pada empat hari kemudian. Pada 21 Disember 2018, pihak mahkamah sekali lagi menahan beliau atas tuduhan memindahkan kerugian peribadi dalam pelaburan pada tahun 2008 ke atas Nissan dengan jumlah $16.6 juta.

Beliau juga didakwa menyebabkan Ibu Pejabat Nissan membayar sebanyak $14.7 juta kepada Nissan Gulf yang dimiliki oleh Sheikh Khaled al-Jufali melalui tabung CEO Reserve antara tahun 2009 sehingga 2012. Selain itu juga, terdapat tuduhan di mana Carlos Ghosn telah membuat bayaran kepada dirinya sendiri sebanyak $8 juta pada tahun 2017 daripada sebuah syarikat di Belanda yang dimiliki oleh Nissan dan Mitsubishi.

Secara keseluruhan, beliau didakwa memindahkan RM576 juta ($140 juta) dari akaun Nissan dalam pelbagai bentuk bayaran kepada dirinya. Menurut Fortune, Carlos Ghosn kini memiliki harta sebanyak RM288 juta ($70 juta), berkurangan hampir 40 peratus dari RM493.8 juta ($120 juta) sewaktu beliau mula-mula didakwa di Jepun.

Melarikan diri dari Jepun menuju ke Lubnan

blank
Kredit gambar: https://www.dailysabah.com/investigations/2020/01/08/new-details-on-former-nissan-chief-carlos-ghosns-escape-revealed

Sistem perundangan Jepun dikritik hebat apabila Carlos Ghosn ditahan tanpa didakwa selama 108 hari. Perundangan jenayah Jepun sebenarnya membenarkan individu ditahan tanpa didakwa selama 27 hari bagi membolehkan bukti dicari, dan penahanan Carlos disambung apabila terdapat empat tuduhan jenayah yang disabitkan kepadanya.

Akhirnya, Carlos Ghosn dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah dengan bayaran berjumlah RM37 juta ($9 juta) dengan syarat menyerahkan semua passport miliknya dan tidak dibenarkan untuk meninggalkan Jepun. Beliau dilaporkan memiliki tiga kerakyatan iaitu Perancis, Brazil dan Lubnan.

Menyedari dirinya tidak mampu memenangi sebarang kes yang didakwa terhadapnya, Carlos Ghosn berkomplot bersama-sama dua orang warganegara Amerika Syarikat untuk lari ke negara asal ibu bapa dan isterinya, Lubnan. Lubnan dipilih kerana tidak mempunyai sebarang perjanjian ekstradisi dengan Jepun, maka beliau tidak boleh ditahan oleh polis tempatan dan dibawa pulang ke Jepun.

Komplot melarikan diri ini dirancang Carlos Ghosn bersama-sama seorang bekas komando tentera Amerika Syarikat Michael Taylor dan anaknya Peter. Sebanyak RM3.5 juta dibelanjakan untuk mereka menyeludup keluar Carlos Ghosn menggunakan kotak yang biasanya menyimpan peralatan muzik. Dengan licik, kotak tersebut tidak boleh di x-ray memandangkan saiznya terlalu besar berbanding pengimbas yang ada di Lapangan Terbang Kansai.

Menggunakan jet peribadi yang disewa khas, kedua-dua Michael Taylor dan Peter berjaya menyeludup dua kotak besar, salah satunya berisi Carlos Ghosn ke Istanbul. Mereka kemudiannya menukar ke pesawat peribadi kedua dalam masa 45 minit dan terbang ke Beirut. Keseluruhan perjalanan ini dilaporkan mengambil masa kurang 24 jam.

Masa depan Pakatan Nissan-Renault pasca Carlos Ghosn

blank
Kredit gambar: https://www.motor1.com/news/392485/nissan-renault-alliance-rumors/

Pada awal tahun 2020, pengeluar kereta Perancis, Renault dan rakan perniagaan dari Jepun, Nissan Motor yakin bahawa pakatan kedua-dua syarikat tidak di ambang untuk dibubarkan. Biarpun laporan media mengenai potensi perpecahan yang menyebabkan saham kedua-duanya menjunam ke paras terendah dalam tempoh beberapa tahun.

Pakatan yang turut termasuk Mitsubishi Motors Corp adalah kukuh dan meyakinkan menurut Pengerusi Renault, Jean-Philippe Senard kepada akhbar Belgium, L’Echo. Nissan dalam maklum balas kepada laporan spekulatif media antarabangsa, berkata bahawa ia sama sekali tidak akan mempertimbang untuk membubarkan pakatan itu.

Saham Renault dilaporkan mencecah paras terendah dalam enam tahun pada Isnin susulan kebimbangan pelabur bahawa perkongsian kos 20 tahun kumpulan Perancis itu dengan Nissan menuju ke arah perpecahan dengan ketiadaan Carlos Ghosn untuk menyatukannya bersama. Pada tahun 2020 juga, saham Nissan jatuh ke tahap paling rendah dalam tempoh lapan setengah tahun di Tokyo.

 

Bacaan Seterusnya