Bront Palarae: Jangan Semakkan Lagi Hidup Polis Dengan Isu Artis

Pelakon Bront Palarae menyeru Persatuan Seniman Malaysia untuk menarik balik laporan polis yang dibuat mereka terhadap Zarina Anjoulie.

Isu timbul selepas Zarina Anjoulie memuat naik beberapa video yang mengecam permintaan artis yang memohon perhatian istimewa daripada kerajaan selepas pendapatan mereka terjejas akibat wabak COVID-19.

Sebelum ini bekas pelakon wanita yang kini bekerja sebagai ahli perniagaan itu menempelak kenyataan Tomok dan beberapa artis lain yang menyokong Tomok. Beliau berkata:

“Kononlah anda nak bela nasib artis veteran. Selama aku berlakon, tak ada orang pun yang kisah pasal nasib artis veteran. Dalam industri hiburan sekarang ini, bayaran artis veteran sangatlah kecil. Kadang-kadang RM100 sehari,” dedah Zarina.

Video-video yang dimuat naik oleh Zarina mencetuskan perdebatan hangat antara netizen dengan komuniti artis. Ada netizen yang kurang bersetuju dengan Zarina tetapi majoritinya memuji keberanian Zarina mengkritik artis tempatan.

‘Video Zarina hasut masyarakat’

Susulan daripada reaksi hangat daripada netizen terhadap video Zarina Anjoulie itu, Persatuan Seniman Malaysia membuat laporan polis kerana ‘menghasut masyarakat utk membuat pekara yang tidak baik yang boleh mengugat perpaduan industri seni dan mengugat ketenteraman awam’.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru ini, Bront Palarae berkata sewajarnya isu ini ditangani secara dalaman, bukannya melalui polis. Pelakon One Two Jaga ini menulis di Twitter:

“Jangan jaja benda buruk di mata awam. Masalah dalaman industri harus ditangani secara dalaman. Mohon jangan semakkan lagi hidup polis yang tengah handle benda yang lebih penting sekaang ini.”

Turut bersetuju dengan Palarae adalah seorang lagi pelakon, Sharifah Amani.

Sebelum ini Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi memberitahu Tomok hanya mahu menggunakan suaranya untuk membela nasib individu dalam industri seni.

“Mungkin penggunaan perkataan ‘artis’ itu silap. Jika dia guna perkataan ‘penggiat seni’, saya rasa isu ini takkan diperbesarkan.

“Industri seni bukan hanya merujuk kepada artis sahaja, malah jurusolek, pihak produksi dan pengurus mereka juga antara yang terlibat dan sudah tentu sekiranya tempoh PKP ini berlanjutan, ramai yang hilang punca pendapatan.”

Menurutnya Zed Zaidi lagi, kekayaan artis yang netizen nampak di media sosial hanya mewakili kekayaan 10% artis.

“Saya tidak menafikan bahawa ada golongan artis yang agak senang sedikit. Tapi ia hanya 10 peratus saja. Merekalah yang sering keluar TV, hari-hari muka mereka.

“Lagi 90 peratus, kami juga seperti orang biasa yang mencari rezeki dan rasa terjejas apabila berlakunya tempoh PKP ini. Jadi tidak adil bagi 90 peratus selebriti yang lain tu kalau mereka tidak dibantu hanya kerana ramai yang menganggap artis hidup mewah.”

Beliau turut memberitahu ada sahaja artis-artis kaya dan Persatuan Seniman Malaysia sendiri yang rajin menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Persatuan Seniman sendiri mempunyai inisiatif memberi bantuan kepada penggiat seni dengan menyalurkan sumbangan makanan seperti beras, minyak, gula. Namun, kami sendiri sudah kekurangan dana dan bakal membuat tabung untuk membantu penggiat seni,”

“Bagi artis yang berkemampuan pula, Datuk Rosyam Nor ada menyalurkan bantuan beras. Pengarah Jinggo juga turut sama memberi sumbangan seperti minyak masak. Malah, Johan Raja Lawak juga bakal menyumbangkan wang tunai bagi menjayakan misi bantuan ini. Semuanya untuk diberi kepada penggiat seni Malaysia yang terjejas akibat tempoh PKP.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai artis Malaysia:

Sumber:

Bacaan Seterusnya