Buat Aduan Terhadap Peniaga Yang Letak Syarat Bagi Bayaran Kad Debit

Anda sudah tentu pernah mengalami situasi kehabisan wang tunai sewaktu membeli-belah. Lebih-lebih lagi ketika berada di kawasan yang bukan biasa kepada anda, maka kadangkala bayaran bagi sesuatu pembelian terpaksa menggunakan kad debit ataupun kad kredit.

Namun begitu, terdapat segelintir pemilik perniagaan yang mengenakan caj tambahan dengan sewenang-wenangnya terhadap pengguna. Kebiasaannya, ia berlaku apabila transaksi tersebut menggunakan kad kredit.

Bagi pembayaran menggunakan kad debit pula, kita seringkali diminta untuk membuat pembelian minima bagi menggunakan sistem bayaran tersebut. Kadangkala, jumlah tersebut adalah membebankan sehingga mencecah puluhan ringgit.

Ini perbincangan tentang larangan oleh Bank Negara Malaysia serta cara membuat aduan terhadap peniaga yang meletakkan syarat-syarat tambahan tersebut.

Larangan BNM sejak Januari 2015

Kredit gambar: Majalah Labur

Sebenarnya, anda ada hak sebagai seorang pengguna kad debit dan kad kredit. Peniaga pula langsung tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang caj terbuka dan tersembunyi terhadap pelanggan mereka.

Pada Januari 2015, Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran yang bermatlamat dilancarkan oleh BNM bagi menggalakkan industri kad pembayaran yang cekap, telus dan berdaya saing. Rangka Kerja tersebut menjadi standard di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Menerusi Rangka Kerja itu juga, kad debit diangkat sebagai instrumen pembayaran yang terbaik pada waktu itu. Ia amat berkesan dari segi kos untuk memudahkan lagi penerimaan kad pembayaran secara lebih meluas terutama dalam kalangan peniaga kecil. Larangan sama juga adalah sejajar dengan peraturan skim kad antarabangsa seperti Visa dan Mastercard.

Biarpun kini peniaga boleh memilih untuk menggunakan e-wallet sebagai medium pembayaran, masih ada segelintir yang kekal dengan bayaran tunai dan kad.

Cara membuat aduan kepada bank

Kredit gambar: BNM

Larangan terhadap caj pembayaran itu dipantau dan dikuatkuasa oleh bank yang menyediakan kemudahan tersebut kepada peniaga. Maka, pengguna yang berhadapan dengan situasi dimana peniaga mengenakan caj tambahan boleh membuat aduan kepada bank atau pengeluar terminal kad pembayaran berkenaan.

Ini senarai maklumat yang diperlukan:

  1. Butiran peribadi anda (Nama penuh, Nombor KP, Nombor telefon)
  2. Nama penuh peniaga;
  3. Alamat peniaga;
  4. Nama pemeroleh saudagar (merchant acquirer) – institusi yang menyediakan terminal pembayaran – yang boleh didapati pada bahagian atas slip transaksi kad pembayaran atau terminal kad pembayaran.
  5. Bukti bahawa peniaga mengenakan surcaj atau jumlah pembelian minimum. Bukti ini boleh diberikan dalam bentuk gambar resit transaksi yang terdapat jumlah surcaj. Selain itu juga, pengguna boleh memberikan gambar notis yang dipaparkan di outlet peniaga yang menunjukkan jumlah pembelian minimum akan dikenakan.

Anda boleh membuat aduan kepada institusi yang menyediakan terminal pembayaran kepada peniaga tersebut atau sebagai alternatif, kepada pengeluar kad pembayaran anda. Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau di email ini.

Bacaan Seterusnya