Cara-Cara Untuk Menjadikan Kata Laluan Anda Lebih Selamat

Pasca pandemik, kanak-kanak zaman kini membesar dan lebih mahir dan berpengetahuan tentang selok belok penetapan internet dan gajet. Disebalik kepentingan internet, penting untuk ibu bapa bagi mendidik anak-anak mengenai keselamatan internet dan risiko-risikonya.

Mereka juga perlu didedahkan tentang keselamatan internet seperti laman web dan aktiviti yang dibenarkan. Kepentingan menjaga maklumat peribadi seperti lokasi kediaman, nombor telefon dan lokasi sekolah juga perlu dititikberatkan.

Apabila lebih banyak bahan peribadi yang dikongsi bersama dalam alam maya, kita semakin terdedah kepada risiko kecurian identiti. Kecurian identiti ialah apabila seorang penjenayah mencuri data peribadi rahsia untuk menipu mendapatkan barangan ataupun perkhidmatan dengan menggunakan nama anda.

Salah satu daripada faktor keselamatan internet adalah pemilihan kata laluan. Ini kerana, penggunaan kata laluan amat penting dalam melindungi data-data penting.

Kita melindungi setiap akaun dalam talian menggunakan kata laluan tetapi perlu berhati-hati dalam pemilihan kata laluan tersebut. Berikut dibincangkan tips bagi memilih kata laluan yang sukar untuk dipecah masuk oleh penjenayah siber.

Kata laluan yang panjang adalah lebih baik

Kredit gambar: Known Host

Kebanyakkan laman web meminta penggunanya menetapkan kata laluan yang panjang, iaitu diantara 12 hingga 14 aksara. Sekali pandang, ia dianggap menyusahkan pengguna. Lebih-lebih lagi untuk mengingati kata laluan yang asing dan panjang.

Namun begitu, kajian menunjukkan kata laluan yang panjang menjadikannya sukar untuk ditembusi. Menurut Statista, penggunaan kata laluan dengan huruf kecil sebanyak satu hingga lapan aksara boleh digodam sekelip mata.

Ini jauh berbeza dengan kata laluan huruf kecil pada 12 aksara yang memerlukan penggodam selama tiga minggu untuk dipecah masuk. Dalam masa tiga minggu, pemilik akaun masih sempat untuk melakukan pelbagai tindakan mitigasi yang mampu menghalang pencerobohan tersebut.

Maka, kata laluan yang lebih panjang adalah lebih selamat.

Guna huruf besar dan kecil, simbol dan nombor

Kredit gambar: WikiHow

Sekali lagi, Statista mengeluarkan data yang sangat mengejutkan. Penggunaan kata laluan dengan 12 aksara, bersama campuran huruf besar dan kecil, simbol dan nombor memerlukan penggodam masa selama 34,000 tahun untuk memecah masuk. Ini berbeza dengan kata laluan huruf kecil pada 12 aksara yang memerlukan penggodam selama tiga minggu sahaja. 

Campuran huruf besar dan kecil, simbol dan nombor bagi kata laluan juga memerlukan aksara yang panjang untuk menjadikan ia lebih selamat. Berbanding 34,000 tahun tadi, penggodam hanya perlukan purata enam minit untuk menggodam kata laluan tersebut sekiranya menggunakan tujuh aksara.

Dengan menggunakan huruf kecil pada lapan aksara, terdapat 209 bilion kemungkinan untuk kata laluan tersebut dipecahkan. Penambahan huruf besar menjadikan ianya meningkat kepada 53.5 trilion kombinasi. Nombor menambah kombinasi tersebut kepada 218 trilion.

Manakala penambahan simbol menjadikan kombinasi kemungkinan kata laluan tersebut menjadi 403 trilion.

Jangan tukar kata laluan tanpa sebab

Kredit gambar: Walden

Sekiranya tiada keperluan, Microsoft mencadangkan penggunanya untuk tidak mengubah kata laluan mereka. Anda hanya perlu menukar kata laluan sekiranya mengesyaki ianya telahpun digodam ataupun tertiris.

Namun begitu, cadangan ini hanya terpakai kepada aplikasi yang tidak memerlukan pengguna menukar kata laluan secara berkala. Sebagai contoh, pengguna Maybank2E, aplikasi perbankan internet perniagaan oleh Maybank memerlukan pengguanya menukarkan kata laluan sekerap tiga bulan.

Penetapan semula kata laluan secara berkala menyebabkan ianya sukar untuk dihafal. Ini memungkinkan pengguna menulis kata laluan tersebut dan menyimpannya di tempat yang tidak selamat, lantas menjadikan kata laluan tersebut mudah untuk diceroboh.

Bacaan Seterusnya