COVAX: Gesaan David Beckham Dan Vaksin Yang Disumbangkan G7

Persidangan kali ke-47 buat pemimpin dari negara-negara The Group of Seven (G7) di Cornwall, United Kingdom amat dinanti-nantikan oleh penggerak inisiatif COVAX. Kumpulan G7 merupakan forum perbincangan antara kerajaan yang dibentuk oleh Kanada, Perancis, German, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Keanggotaannya G7 dipilih berdasarkan negara-negara ekonomi terbesar di dunia menurut IMF dan mengamalkan sistem pentadbiran dan politik yang berasaskan kepada demokrasi liberal.

Disebabkan pandemik Covid-19, tiada persidangan antara negara-negara ini dilangsungkan pada tahun lalu.

Sebelum persidangan Kumpulan G7 ini berlangsung, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden membuat pengumuman bahawa negaranya akan mendermakan sejumlah 500 juta dos suntikan vaksin kepada inisiatif COVAX. Selepas persidangan G7, Perdana Menteri United Kingdom Boris Johnson juga mengumumkan sumbangan 100 juta dos suntikan vaksin dari negaranya bermula tahun hadapan.

Apakah itu inisiatif COVAX?

Kredit gambar: https://www.who.int/news/item/25-03-2021-covax-updates-participants-on-delivery-delays-for-vaccines-from-serum-institute-of-india-(sii)-and-astrazeneca

Inisiaitf COVAX merupakan tonggak program vaksinasi di bawah Access to COVID-19 Tools (ACT) Accelerator. ACT Accelerator ini merupakan kolaborasi antarabangsa untuk mempercepatkan proses pembangunan, pengeluaran dan akses sama rata terhadap ujian pengesanan Covid-19, perubatan dan juga vaksin. COVAX diketuai secara bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), The Vaccine Alliance (Gavi), Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI) dan disokong oleh agensi PBB seperti UNICEF.

COVAX merupakan satu-satunya inisiatif yang bekerja keras bersama negara dan pengeluar-pengeluar vaksin untuk memastikan vaksin Covid-19 dapat dibekalkan kepada negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Inisiatif ini pada mulanya menyasarkan pengagihan vaksin untuk sekurang-kurangnya 20 peratus daripada populasi 92 buah negara berpendapatan rendah dan sederhana, bermula daripada pemberikan vaksin kepada golongan pekerja kesihatan dan kumpulan yang berisiko. Sasaran awalnya adalah menyediakan sejumlah 2 bilion dos suntikan vasin di seluruh dunia pada tahun 2021 dan 1.8 bilion dos lagi pada tahun 2022.

Negara penerima bantuan COVAX setakat ini

Kredit gambar: https://wellcome.org/news/why-we-need-share-vaccine-doses-now-and-why-covax-right-way-do-it

Negara terawal yang menerima bantuan vaksin daripada inisiatif COVAX adalah Ghana pada Februari 2021. Selepas Ghana, sebanyak 81 juta dos suntikan telahpun diagihkan atau dibeli oleh 120 buah negara di seluruh dunia termasuk Bangladesh, Brazil, Ethiopia dan Fiji.

Negara kita Malaysia juga merupakan negara berpendapatan sederhana yang menerima bantuan akses vaksin daripada COVAX. Malaysia menyertai inisiatif COVAX sebagai negara yang membeli dan membayar sendiri vaksinnya. Sebanyak 6.4 juta dos suntikan vaksin dibeli oleh negara kita melalui COVAX untuk diberikan kepada 3.2 juta rakyat Malaysia. Setakat ini Malaysia telahpun menerima 828,000 dos suntikan AstraZeneca berbanding jumlah tempahan sebanyak 1,387,200 dos.

Biarpun COVAX sebenarnya menyasarkan agihan vaksin kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana, Kanada merupakan satu-satunya negara dari Kumpulan G7 yang turut mendapat akses vaksin dari inisiatif ini.

Vaksin yang berjaya diperolehi oleh COVAX

Kredit gambar: https://www.theguardian.com/world/2021/apr/22/revealed-big-shortfall-in-covax-covid-vaccine-sharing-scheme

Inisiatif COVAX berjaya menandatangani perjanjian perbekalan dengan pembekal-pembekal utama vaksin seperti Pfizer, Moderna Inc, Johnson & Johnson dan Novavax. Bagi enam bulan pertama tahun 2021, hampir kesemua vaksin yang diterima oleh COVAX adalah vaksin yang dihasilkan oleh AstraZeneca PLC dengan kerjasama Universiti Oxford.

Enam vaksin yang telahpun menerima kelulusan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) boleh dibekalkan oleh COVAX iaitu AstraZeneca, Pfizer, Janssen, Moderna, Sinopharm dan Sinovac. Bagaimanapun, setakat ini hanya Pfizer dan AstraZeneca sahaja yang berjaya membekalkan vakin mereka. Moderna berjanji untuk membekalkan 500 juta dos suntikan pada harga kos terendah, namun hanya boleh dihantar pada tahun 2022.

Vaksin AstraZeneca dijangka akan membekalkan sepertiga daripada bekalan COVAX di seluruh dunia sementara vaksin-vaksin lain cuba untuk mendapatkan kelulusan di beberapa buah negara dan meningkatkan pengeluaran mereka. Setakat ini, COVAX dilaporkan telah berjaya mendapatkan 1.53 bilion dos suntikan vaksin untuk tahun 2020 dengan tambahan suntikan sebanyak 635 juta dos masih di dalam perbincangan. Kesemua vaksin ini, selain vaksin Johnson & Johnson memerlukan kepada suntikan dua dos.

Kepentingan persidangan Kumpulan G7 pada tahun ini

Kredit gambar: https://www.france24.com/en/diplomacy/20210611-g7-summit-leaders-set-to-discuss-covid-recovery-and-climate-action

United Nations Children’s Fund (UNICEF) menekankan kepentingan pemberian vaksin kepada COVAX oleh negara-negara Kumpulan G7 pada persidangan tahun ini. Gesaan UNICEF ini dibuat melalui satu surat yang ditandatangani oleh Duta-Duta Kemanusiaan UNICEF kepada Kumpulan G7 bagi menekankan kepentingan sumbangan vaksin pada bulan Ogos kelak dan menggesa mereka menyiapkan satu garis masa untuk meningkatkan lagi jumlah suntikan yang akan diberikan.

Menurut isi kandungan surat tersebut, COVAX masih memerlukan 190 juta dos suntikan yang masih tidak mencukupi untuk diagihkan kepada negara-negara berpendapatan rendah. Antara Duta Kemanusiaan UNICEF yang aktif membincangkan tentang kesamarataan akses kepada vaksin adalah David Beckham dan Katy Perry.

Sebagai seorang selebriti bola sepak yang terkenal di seluruh dunia, Beckham memanfaatkan popularitinya untuk menggesa pemberian akses vaksin kepada inisiatif COVAX. Sebelum ini, Beckham juga merupakan Duta UNICEF yang aktif menggalakkan penerimaan dan pemberian vaksin kepada kanak-kanak bagi mencegah penyakit berbahaya seperti diphtheria, measles dan polio.

Sumbangan vaksin dan bantuan kewangan oleh Kumpulan G7

Kredit gambar: https://news.cgtn.com/news/2021-02-19/Analyzing-attitudes-towards-China-at-the-forthcoming-G7-summit-Y07YAQ2ROw/index.html
  1. Amerika Syarikat akan menyumbang sebanyak 500 juta dos suntikan vaksin Pfizer;
  2. Jepun akan menyumbang wang tunai sebanyak RM4.108 bilion ($1 bilion);
  3. Kesatuan Eropah akan menyumbang bantuan kewangan sebanyak RM2.487 bilion (€500 juta) disamping tambahan sebanyak RM2.487 bilion (€500 juta) lagi dalam bentuk pinjaman kewangan;
  4. Negara-negara Eropah lain akan menyumbang bantuan tunai sebanyak RM4.974 bilion (€1 bilion) dengan German sebagai penyumbang terbesar dengan menyumbangkan RM4.476 bilion (€900 juta) daripadanya;
  5. United Kingdom akan menyumbang dalam bentuk 100 juta dos suntikan vaksin dalam tempoh setahun, dengan 25 juta dos akan diberikan pada tahun ini;
  6. Negara-negara Eropah lain seperti German, Perancis, Itali dan Sweden turut akan menyumbangkan 100 juta dos suntikan vaksin kepada inisiatif COVAX.

 

Bacaan Seterusnya