Doktor Bogel Ramai-Ramai

Sekumpulan doktor Jerman memuatnaik gambar mereka bogel ramai-ramai dalam usaha untuk menarik perhatian media dan kerajaan terhadap isu kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) di hospital kerajaan.

Memanggil protes mereka sebagai Blanke Bedenken atau Kerisauan Bogel, ahli kumpulan protes ini berkata aksi bogel itu bertujuan untuk menunjukkan ‘betapa bogelnya kita merawat COVID-19 tanpa PPE’.

Dalam satu kenyataan kepada media Jerman, wakil kumpulan ini, Ruben Bernau berkata:

“Risiko COVID-19 sangat bahaya. Kami dah lama minta PPE, tapi ia tak didengari oleh kerajaan. Jadi kami buat protes ini untuk menunjukkan betapa terdedahnya kami kepada COVID-19 tanpa PPE.”

Dalam protes tersebut, doktor-doktor menangkap gambar dan melindungi anggota sulit mereka dengan fail, tisu tandas, alatan perubatan dan macam-macam lagi.

Difahamkan aksi protes bogel doktor Jerman ini diinspirasikan oleh tindakan doktor Perancis, Alain Colombie yang berbogel dalam gambarnya. Ini selepas Colombie menjelaskan doktor-doktor di Perancis dianggap seperti ‘mati katak’ dalam peperangan melawan penularan wabak COVID-19.

Ahli-ahli kumpulan protes Blanke Bedenken ini masih mahu meneruskan kerja mereka merawat pesakit COVID-19. Tetapi mereka mempertikaikan mengapa mereka perlu menjahit PPE sendiri sejak Februari lepas.

Kilang-kilang pembuat PPE di Jerman telah menaikkan kapasiti pengeluran mereka sejak dua bulan lepas. Bagaimanapun mereka masih gagal memenuhi permintaan bekalan yang mencanak tinggi.

Antara peralatan yang sedang kekurangan bekalan di Jerman adalah topeng muka, pelindung muka, sut PPE dan apron.

Kajian yang dilakukan oleh sebuah syarikat insuran kesihatan Jerman mendapati Jerman memerlukan 150 juta topeng muka, 60 juta apron dan 70 juta sarung tangan getah.

Tak cukup dengan itu, hospital Jerman juga terpaksa berdepan dengan masalah kecurian cecair nyahkuman. Polis menyalahkan insiden ini kepada kumpulan penjenayah. Susulan kejadian ini, semua hospital di Jerman telah dipertingkatkan tahap sekuriti mereka.

Blanke Bedenken berharap protes mereka ini dapat memberi tekanan kepada kerajaan Jerman untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran PPE.

Menurut laporan The Guardian, kerajaan Jerman telah memberi respon terhadap protes ini dan berkata ‘akan menyelia sendiri penyediaan bekalan PPE’.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan dengan kekurangan PPE:

Bacaan Seterusnya