Doktor Pelik Tangan Lelaki Gelap Dijahit Di Wanita Kudung Jadi Cerah

Apabila Shreya Siddanagowda ditawarkan peluang mendapat tangan baru, dia langsung tidak berfikir dua kali untuk bersetuju – walaupun tangan barunya itu merupakan tangan seorang lelaki yang berkulit gelap, bersaiz besar dan berbulu lebat.

Tetapi kini, hampir tiga tahun selepas pembedahan transplan tangan, tangan baru Siddanagowda bukan sahaja menjadi kecil. Malah ia turut bertukar warna kulit sehingga menjadi sama dengan warna kulitnya.

Fenomena ini menghairankan doktor yang melakukan pembedahan transplan tersebut.

“Penderma tangan ini merupakan lelaki tinggi. Jarinya pula panjang dan besar,” kata ibu Siddanagowda, Suma, dalam satu temuramah melalui telefon dengan AFP.

“Sekarang tak ramai orang perasan tangan anak perempuan saya ini sebenarnya tangan lelaki. Dia siap dah boleh pakai cincin dan mewarnakan kuku,” tambah Suma di rumah mereka di Pune, barat India.

Hidup Siddanagowda menjadi gelap seketika pada tahun 2016 apabila dia terlibat dalam kemalangan bas yang menghancurkan kedua-dua belah tangannya. Pelajar India tersebut baru berusia 18 tahun pada ketika itu.

Kelambatan ketibaan bantuan kecemasan menyebabkan kedua-dua tangan Siddanagowda tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.

Pembedahan transplan tangan jadi pilihan

Di seluruh dunia, terdapat hanya 200 pembedahan transplan tangan yang berjaya sejak kali pertama berjaya dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1999 (tangan kiri seorang lelaki hancur dek mercun). Sembilan daripadanya berlaku di India.

Kes pembedahan transplan tangan pertama yang berjaya di India berlaku pada tahun 2015 di Institut Sains Perubatan Amrita di selatan Kerala. Di hospital ini jugalah Siddanagowda menjalani pembedahan transplannya.

Seperti kes-kes pembedahan transplan lain, isu utama bagi Siddanagowda adalah mencari penyumbang. Prospek Siddanagowda mencari penderma menjadi semakin sukar jika mengambil kira hakikat orang India yang sangat keberatan untuk menderma organ selepas mereka mati.

Dr Subramania Iyer yang merawat Siddanagowda memberitahu media:

“Selalunya anda kena tunggu lama [untuk mendapatkan organ]. Sebab itulah ramai orang tak kisah organ tersebut datang dari jantina mana asalkan organnya ada dan boleh diterima oleh badan.

“Inilah yang berlaku kepada Siddanagowda apabila menerima tangan lelaki pada Ogos 2017.”

Gambar ini diambil pada 28 Ogos 2017 selepas Shreya Siddanagowda selesai menjalani pembedahan transplan tangan di Pune, India (Foto: AFP)

Pakar pembedahan transplan itu mengambil masa kira-kira 13 jam untuk mencantumkan tangan lelaki tersebut kepada lengan Siddanagowda.

Tangan penderma dicantumkan melalui tulang dahulu sebelum tendon, salur darah dan kulit dijahit dengan cermat.

Selepas pembedahan transplan, Siddanagowda perlu menjalani sesi fisioterapi selama setahun pula untuk membiasakan badan dan otaknya dengan kehadiran tangan baru.

Hadiah hari jadi

Kini, kira-kira tiga tahun selepas pembedahan transplan, Dr Iyer nyata terkejut melihat banyak perubahan – daripada segi saiz, warna dan jumlah bulu – berlaku di tangan Siddanagowda.

“Pertama sekali, saiz tangannya. Jangan salah sangka. Ia masih besar berbanding saiz badannya. Tapi masa kami mula-mula cantumkan dulu, saiznya jauh lebih besar.

“Kedua, tangannya sekarang dah tak banyak bulu.

“Perubahan saiz dan jumlah bulu pada tangan Siddanagowda ini mungkin disebabkan oleh ketiadaan hormon testosterone.

“Ketiga dan yang paling pelik sekali, warna kulit tangannya sekarang jauh lebih cerah berbanding masa mula-mula dicantum dulu.

“Ini mungkin disebabkan oleh MSH, sejenis hormon yang memberi stimulasi kepada penghasilan melanin. Lagi banyak melanin, lagi gelap warna kulit. Mungkin penurunan MSH membuatkan kulit tangannya menjadi cerah.

Shreya Siddanagowda kini sudah boleh menggunakan ‘tangan lelaki’ miliknya tanpa sebarang kekangan (Foto: AFP)

Walau apapun penjelasan doktor, satu perkara yang pasti adalah Siddanagowda sangat gembira dengan tangan barunya. Begitu juga dengan Dr Iyer. Kini bekas pesakitnya siap boleh menulis dengan tangan barunya.

“Kami gembira dengan perkembangan terbarunya,” kata Dr Iyer.

“Hadiah paling bermakna pernah saya dapat adalah bila dia hadiahkan saya kad hari lahir yang ditulisnya sendiri.”

Kisah Shreya Siddanagowda juga boleh ditonton melalui video di bawah:

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Bacaan Seterusnya