Dua SOP Sukan Dan Rekreasi Bagi PKP 3.0 Yang Mengelirukan

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kenyataan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan semalam memaklumkan penggantungan itu termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

Keputusan ini dianggap mengelirukan kerana pada 8.12 malam, 5hb Mei, iaitu hari terakhir sebelum PKP 3.0 dilaksakan di enam daerah di Selangor, MKN sudahpun mengeluarkan SOP PKP Selangor Edisi Kemaskini yang membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi di tempat terbuka dan tertutup seperti gym tanpa sentuhan fizikal. Kemudian, pada sekitar 11.09 malam, 5hb Mei satu SOP Am PKP dihantar melalui Telegram MKN Rasmi dengan menyatakan bahawa aktiviti sukan dan rekreasi perlu diihat bersama dengan SOP AM Sektor Sukan oleh KBS.

Arahan ini dilihat bercanggah sama sekali dengan keputusan awal MKN sendiri, malah berbeza dengan SOP terawal yang dikeluarkan oleh Kerajaan Selangor. Menurut SOP oleh Kerajaan Selangor aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan di enam daerah PKP, sekiranya tidak melibatkan sebarang sentuhan fizikal. Hanya kolam renang diarahkan untuk ditutup buat sementara waktu.

Setakat ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal malam tadi mempertahankan larangan sementara itu melalui tulisan di Twitter. Menurutnya, beliau yakin Kementerian Kesihatan dan MKN telah menggunakan semua kaedah dan data saintifik yang diperlukan sebelum mengambil keputusan ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican memaklumkan pada hari ini bahawa KBS akan mengemukakan cadangan pendekatan lebih wajar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) sukan dan rekreasi untuk kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.