Duopharma Akan Bekalkan 6.4 Juta Dos Vaksin Sputnik V Di Malaysia

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian pembekalan dengan Russian Direct Investment Fund (RDIF) bagi tujuan pembekalan vaksin Sputnik V. Perjanjian tersebut disusuli dengan pengumuman pada 26 Januari lalu membabitkan pemeteraian perjanjian bagi terma dan syarat antara Duopharma Biotech Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn Bhd (DMSB) dengan kerajaan dan RDIF.

Menurut Duopharma, bergantung kepada kelulusan oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) yang merupakan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah negara, DMSB dijangka akan mampu membekalkan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V. Sputnik V, yang dibangunkan Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Kebangsaan Gamaleya Russia (Gamaleya) dan telah didaftarkan di 68 buah negara di seluruh Amerika Utara dan Selatan, Asia Barat, Eropah, Asia dan Afrika.

Berdasarkan keputusan analisis interim kedua Fasa 3 yang diterbitkan jurnal perubatan The Lancet, tahap keberkesanan Sputnik V disahkan pada kadar 91.6 peratus. Ini menjadikan Sputnik V sebagai vaksin ketiga yang mempunyai tahap efficacy melebihi 90 peratus selepas Pfizer-BioNTech dan Moderna.