EPL Agihkan Tambahan RM579.4 Juta Kepada Kelab Liga Bawahan

20 kelab bola sepak yang beraksi di English Premier League bersetuju untuk mengagihkan RM579.4 juta (GBP£100 juta) kepada kelab-kelab kecil di divisyen bawahan. Permintaan yang dibuat oleh Kerajaan United Kingdom itu dipersetujui sebagai timbal balik kepada kebenaran untuk memperbaharui kontrak penyiaran mereka yang berjumlah RM28.9 bilion  (GBP£5 bilion). Kontrak tersebut meliputi perjanjian bersama tiga syarikat penyiaran iaitu Sky Sports, BT Sport dan juga Amazon.

Keputusan tersebut dicapai dalam satu perbincangan Rabu lalu bagi meneliti impak kewangan kelab-kelab Premier League pasca pandemik. Impak terbesar adalah apabila perlawanan dilangsungkan tanpa penonton, selain penangguhan liga pada musim lalu yang mengganggu perjalanan liga pada musim ini.

Kelab-kelab Premier League akan menjual hak penyiaran perlawanan bola sepak mulai musim 2022-2025 iaitu selama tiga musim kepada Sky Sports, BT Sport dan juga Amazon. Menurut sumber, nilai kontrak itu kelak tidak banyak berubah berbanding kontrak terkini iaitu GBP£5 bilion yang ditandatangani pada tahun 2018.

Sebelum ini, kontrak penyiaran ini menjadi rebutan antara badan penyiaran sukan dunia, kerana nilai dan keuntungan yang lumayan. Perkongsian ini akan menyebabkan perjalanan liga tidak terganggu dengan sebarang penjadualan yang tidak munasabah oleh satu badan penyiar sahaja. Kelab-kelab Premier League dilihat lebih selesa untuk berurusan dan menerima pandangan Kerajaan UK di dalam perbincangan ini bagi memastikan kontrak tersebut diluluskan tanpa sebarang masalah.

Menteri yang bertanggungjawab dilaporkan bersetuju dengan cadangan kontrak terbaru kelak asalkan memberikan lebih manfaat kepada kelab dan liga divisyen bawahan di negara mereka. Sebelum ini, kelab-kelab Premier League telahpun membayar sekitar RM811.2 juta (GBP£140 juta) semusim kepada kelab bawahan tersebut. Bayaran GBP£100 juta ini menjadi tambahan kepada pembayaran sedia ada.

Sekiranya termetrai kelak, perjanjian ini dilihat masih lagi menguntungkan Premier League ketika Seria A berhadapan dengan pengurangan nilai kontrak penyiaran sekitar 19 peratus bersama syarikat DAZN. Begitu juga dengan nilai kontrak penyiaran Bundesliga di German yang turun 5 peratus berbanding perjanjian sebelum ini.