Facebook Sekat Semua Iklan Penawar Koronavirus

Facebook tidak lagi bagi muka kepada mereka yang mengiklankan produk yang kononnya boleh menjadi penawar kepada koronavirus ataupun COVID-19.

Business Insider melaporkan pada Rabu, Facebook sudah mengeluarkan amaran dan juga pemberitahuan dasar polisi terbaru mereka.

Jurucakap Facebook memberitahu Business Insider: “Kami ketika ini sedang melaksanakan polisi yang melarang sebarang iklan yang berkaitan dengan penawar koronavirus.”

“Iklan ini telah menggunakan taktik, mewujudkan suasana panik di kalangan pembaca, kononnya mereka hampir kehabisan stok dan kemudian memberikan jaminan bahawa produk mereka boleh merawat koronavirus.”

“Kami turut mengenakan sekatan yang sama di Facebook Marketplace.”

Facebook berkata, usaha mereka itu adalah selaras dengan ikrar mereka sebelum ini untuk memperkasakan polisi menyekat informasi palsu dan boleh memudaratkan.

Facebook juga berhubung rapat dengan agensi kesihatan di setiap negara untuk melakukan semakan fakta yang berkaitan.

Buat masa ini, WHO mengesahkan belum ada penawar untuk koronavirus. Maka Facebook akan memadam dan menyekat kesemua iklan yang berkaitan dengan penawar wabak tersebut.

Sehingga ke hari ini, COVID-19 telah mengorbankan lebih 2,700 nyawa dan lebih 80,000 sudah dijangkiti wabak tersebut.

Virus itu mulai tersebar di wilayah Wuhan di China pada hujung tahun 2019. Ianya merebak dengan sangat pantas ke seluruh dunia kerana pergerakan manusia yang sangat mudah pada hari ini.

Banyak negara sudah mengenakan sekatan kepada pelancong dari China terutama sekali Wuhan.

Selain itu, langkah pencegahan juga giat dilakukan oleh setiap negara di dunia, bagi mengekang wabak itu.

Bacaan Seterusnya