Gabungan Celcom Dan Digi Lahirkan Pembekal Telekomunikasi Terbesar

Celcom Axiata Bhd dan Digi bakal bergabung menjadi sebuah syarikat yang akan dikenali sebagai Celcom Digi Bhd.

Keputusan itu dibuat oleh pemegang saham utama Digi.com Bhd, Telenor Asia, dan Axiata Group Bhd, yang bersama dengan dana-dana institusi Malaysia akan memiliki lebih 51% pegangan dalam syarikat tersebut.

Axiata dalam kenyataan berkata, sebagai sebahagian daripada urus niaga penggabungan itu, syarikat tersebut akan menerima saham yang baru diterbitkan dalam Digi, mewakili 33.1% pemegangan saham pasca urus niaga dan amaun penyamaan tunai kira-kira RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion adalah daripada Digi sebagai hutang baharu, manakala baki RM300 juta daripada Telenor.

Celcom Digi Berhad bakal menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia dengan membentuk 19.1 juta pelanggan di seluruh negara, sekali gus menjadikan mereka sebagai peneraju pasaran.

Perbincangan yang bermula sejak tahun 2019

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/05/560834/axiata-telenor-akan-bergabung-wujudkan-juara-global-baharu

Syarikat telekomunikasi di dunia kini beralih kepada penggabungan dan pengambilalihan untuk mengurangkan persaingan dan mengumpulkan skala kewangan yang cukup untuk melaksanakan teknologi baharu iaitu 5G.

Penggabungan antara kedua-dua syarikat ini bukanlah sesuatu yang baru dibincangakan. Sebelum ini pada tahun 2019 lagi, perbincangan tersebut telah dimulakan namun dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak didedahkan.

Pada waktu itu, cadangannya adalah Telenor menjadi pemegang saham majoriti MergedCo global dengan jangkaan 56.5 peratus pemilikan manakala 43.5 peratus oleh Axiata. Ia melibatkan keseluruhan operasi Axiata dan Telenor di keseluruhan enam buah negara di Asia Tenggara.

Penggabungan yang diumumkan pada hari ini pula adalah melibatkan sektor pasaran Malaysia sahaja.

Apa kesannya kepada pekerja dan pengguna?

Kredit gambar: https://www.facebook.com/MRCBGroup/photos/a.402083186559223/1716232471810948/

Sebagai dua gergasi telekomunikasi di Malaysia, Celcom dan Digi mempunyai pekerja seramai 2,400 dan 1,400 orang pekerja. Menurut laporan kepada media, penggabungan ini tidak akan menjejaskan kakitangan kedua-dua syarikat.

Menurut laporan OpenSignal, pada tahun lalu Celcom merupakan syarikat pembekal telekomunikasi dengan rangkaian 4G terbaik di Malaysia. Digi pula berada di tangga ketiga dibelakang Maxis.

Diharapkan agar kita sebagai pelanggan akan menerima manfaat dari gabungan ini, dalam bentuk kualiti perkhidmatan lebih baik dan kadar yang lebih berpatutan, seiring dengan kapasiti syarikat yang lebih besar. Pelanggan juga boleh kekal dengan talian pilihan masing-masing kerana jenama Celcom dan Digi akan diteruskan seperti biasa.

Axiata dan Telenor juga bersetuju untuk membangunkan pusat inovasi bertaraf antarabangsa sebagai pemangkin transformasi digital IR4.0, pembangunan teknologi 5G dan pelbagai teknologi maju lain. Pusat inovasi ini akan turut memainkan peranan sebagai pusat latihan bagi menaik taraf kepakaran pekerja bagi masa hadapan.