Ibrahim Ali Mahu Jadikan Kelantan Seperti Amsterdam Jika Jadi MB

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Ibrahim Ali menyatakan hasratnya untuk menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan seperti Amsterdam jika terpilih menjadi Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya, pemimpin kerajaan negeri Kelantan sedia ada kurang kreativiti dalam idea memajukan negeri walaupun mempunyai pelbagai kekayaan sumber alam semulajadi dan produk makanan.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan kelemahan pemimpin kerajaan negeri itu menyebabkan Kelantan gagal mencapai potensi kemajuannya.

“Merata dunia saya pergi tak ada yang sehebat Kelantan. Seperti di Amsterdam, saya terbayang kalau saya terpilih menjadi MB Kelantan, saya nak letak lampu di Sungai Kelantan biar cerah.

“Tak ada duit tak mengapa. Tahu tebang balak tapi nak bangun (kemajuan) rakyat tak tahu.

“Jika Pusat tak bagi duit, kita guna kreativiti, guna otak,” katanya lagi menurut laporan Astro Awani.

Ibrahim Ali menjelaskan meskipun Kelantan kaya dengan dengan hutan yang cantik selain gunung, gua, pantai, sungai serta budaya dan makanan yang menarik, semuanya gagal memberi sumber kewangan kepada kerajaan negeri kerana ketiadaan pemulihan, pembangunan serta perancangan.

Presiden PUTRA itu berkata walaupun nampak mustahil baginya untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau tetap tidak pernah memadamkan impiannya untuk memajukan negeri kelahirannya.

Ibrahim pernah mewakili Kelantan sebagai Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas di bawah tiket PAS selepas dipecat dari UMNO pada tahun 2004.

Beliau kemudian bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya umum lepas, namun gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Dengan penubuhan PUTRA, Ibrahim menaruh hasrat untuk kembali bertanding pada pilihan raya akan datang.

Kelantan jauh tertinggal dalam pelancongan

Apa yang dikatakan oleh Datuk Ibrahim Ali tentang Kelantan itu ada betulnya. Menurut laporan Jabatan Statistik Negara, hasil pendapatan pelancongan domestik yang dikutip oleh Kelantan pada tahun 2018 adalah hanya sebanyak RM4 bilion.

Hanya Putrajaya, Labuan dan Perlis mencatatkan hasil pelancongan lebih kecil daripada Kelantan.

Tangkap layar dari DOMESTIC TOURISM SURVEY BY STATE 2018 oleh Jabatan Statistik Negara

Sebagai perbandingan, Selangor yang menjadi negeri paling banyak dikunjungi oleh pelancong domestik mencatatkan pendapatan sebanyak RM13.2 bilion. Kuala Lumpur di tempat kedua dengan pendapatan sebanyak RM10.2 bilion.

Sabah (RM7.5 bilion) dan Sarawak (RM8.1 bilion) pula mencatatkan pendapatan pelancongan domestik hampir dua kali ganda daripada Kelantan.

Dalam kalangan pelancong luar negara pula, Kuala Lumpur menjadi pilihan utama mereka. Ini diikuti oleh Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Melaka dan Pahang. Kelantan langsung tidak berada dalam senarai 10 negeri di Malaysia yang mereka suka lawati.

Apa yang Kelantan boleh belajar dari Amsterdam

Sejujurnya Amsterdam adalah contoh yang agak pelik untuk dipilih oleh Datuk Ibrahim Ali untuk memajukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

Barangkali Ibrahim Ali melihat adanya inspirasi apabila Amsterdam berubah dari sebuah perkampungan nelayan pada abad ke-12 kepada antara kota paling banyak dikunjungi pelancong asing kerana kekayaan budaya dan keindahan alam semulajadinya.

Amsterdam mempunyai banyak muzium untuk menonjolkan budaya dan seninya, memandangkan kota itu pernah menjadi rumah kepada beberapa pelukis terkenal di dunia seperti Vincent van Gogh dan Rembrandt.

Embed from Getty Images

Dalam aspek ini, mungkin Kelantan boleh mencontohi Amsterdam. Muzium-muzium yang menonjolkan budaya dan seni unik Kelantan perlu ditubuhkan, diselenggara, dikemaskini dan sentiasa dipromosi supaya ia menjadi duta secara tak langsung kepada negeri itu.

Setakat ini, Kelantan mempunyai sembilan buah muzium di seluruh negeri. Sebagai perbandingan, Amsterdam mempunyai 82 muzium – hampir sembilan kali ganda lebih banyak daripada Kelantan!

Selain itu, Amsterdam juga mempunyai pelbagai tarikan kerana kecantikan alam semulajadinya.

Di ibu kota Netherlands itu, pelancong boleh melawat Vondelpark, Singel, Hortus Botanicus, Keizersgracht, Brouwersgracht dan pelbagai lagi tempat untuk menikmati keindahan alam semulajadinya.

Embed from Getty Images

Secara keseluruhannya Amsterdam mempunyai 100 lokasi khas untuk pencinta alam semulajadi lawati. Dalam seluruh negeri Kelantan, kerja mencari lebih daripada 100 lokasi pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semulajadi sepatutnya kerja mudah.

Cuma kerja yang paling susah adalah menaiktaraf, menyelenggara dan mempromosi lokasi-lokasi tersebut. Inilah yang perlu menjadi fokus kerajaan negeri Kelantan sekiranya mereka serius mahu menarik lebih ramai pelancong ke negeri mereka.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram