Ibu Bapa Mahu Gaji Cikgu Naik, Stress Ajar Anak Sendiri Masa PKP

80 peratus ibu bapa di Amerika Syarikat bersetuju gaji cikgu wajar diberi kenaikan selepas terpaksa mengajar sendiri anak mereka di rumah susulan penguatkuasaan sekatan perjalanan (lockdown) akibat wabak COVID-19.

Dalam satu kajian yang melibatkan 2,000 ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah, tujuh daripada 10 responden mengaku tugas mengajar anak mereka lebih susah daripada kerja sepenuh masa mereka.

Kajian yang dilakukan oleh OnePoll tersebut dibuat dengan kerjasama Osmo (syarikat permainan).

Dalam kajian sama, 77 peratus ibu bapa bersetuju cikgu wajar diberi kenaikan gaji. Empat per lima pula berkata mereka kini menghormati profesion perguruan selepas mengalami kesukaran mengajar anak mereka sendiri ketika kuarantin.

Kira-kira 50 peratus responden pula bersetuju tugas mengajar anak mereka di samping perlu bekerja dari rumah membuatkan rumah mereka menjadi ‘huru-hara’.

Tujuh daripada 10 responden pula berkata kehadiran anak-anak mereka di rumah membuatkan prestasi kerja mereka merosot.

Manakala tiga daripada empat responden pula bersetuju tugas menyeimbangkan karier mereka dengan tugas mengajar anak mereka ‘membebankan’.

82 peratus responden pula bersetuju mereka perlu melabur untuk membeli alat-alat pendidikan tambahan untuk membantu anak-anak mereka belajar di rumah.

Di Malaysia, tiada kajian sebegini dilakukan. Tetapi berdasarkan reaksi ibu bapa di media sosial, tak keterlaluan untuk mengatakan mereka juga bergelut dengan ‘tugas baru’ menjadi cikgu bidan terjun kepada anak-anak mereka.

Tapi yang malangnya ada pula segelintir ibu bapa di Malaysia yang tidak menghargai cikgu yang mengajar anak mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka melenting pula di media sosial apabila cikgu-cikgu memberikan tugasan rumah kepada anak-anak mereka.

Menyentuh mengenai isu kerja sekolah terlalu banyak ini, seorang guru, Fadli Salleh memberikan cadangan berikut:

Pada aku, benda gini sangat senang solusinya.

1. Berhubung terus dengan guru anak kita dan jelaskan situasi kita dengan sopan dan berbudi bahasa.

2. Tak perlu nak up story, nak up status marah-marah hingga gelar cikgu anak kita bongok, tak cerdik dan seumpamanya.

3. Jika tak mampu buat semua kerja yang diberi, cukup buat takat mana yang mampu. Yang dirasakan cukup untuk anak, yang dirasakan cukup untuk kita agih masa buat kerja lain pula.

4. Jika rasa itu pun berat, maka tak perlu buat langsung. Settle masalah. Bukan cikgu pergi gegar rumah rotan anak kita pun.

5. Jika ada cikgu marah-marah or sindir dalam group wasap kelas, exit group wasap tu. Nanti lepas PKP join semula.

6. Kepada cikgu-cikgu pun, kita tak perlu melantun dan balas balik benda gini dengan kata caci maki. Sebab golongan begini hanya kecil nisbahnya. Abaikan saja.

7. Tak perlu bertikam lidah, marah-marah dan kutuk dia semula. Bulan Ramadan ni jika malas baca Quran, tidak berkata yang buruk pun dapat pahala. Makin dilayan makin panjang cerita.

8. Dan kepada kawan-kawan guru, perlu ada common sense juga jika beri kerja secara online. Bersederhana adalah yang terbaik. Tidak terlalu banyak, tidak terlalu sedikit.

9. Kena faham juga bukan semua orang ada printer, bukan semua orang ada access internet, bukan semua orang mampu bersabar dan punyai kemahiran mengajar anak mereka sendiri.

10. Bagi kebebasan pada murid bila mereka perlu siapkan kerja. Jangan bagi duedate yang terlalu rapat dan perlu siapkan cepat. Cukup bagi kerja dan galakkan mereka siapkan.

11. Jika anak murid tak dapat siapkan, bahkan langsung tak buat, tak perlu kecoh-kecoh. Senyum saja. Kita dah laksanakan tugas kita. Terpulang pada ibubapa pula bagaimana hendak laksanakan tanggungjawab mereka semampu mereka.

12. Musim PKP ini ramai orang tertekan. Jadi isu yang kecil pun jadi besar dan mampu mencetuskan perbalahan. Tolong pakat bertenang, usah disimbah minyak pada api yang menyala.

13. Guru-guru jangan patah semangat. Terus mengajar seperti biasa dalam situasi PKP ini. Dan ibubapa jangan cepat melatah. Jika tidak mampu buat dengan pelbagai sebab tak boleh dielak, tak perlu sampai paksa diri sehingga akhirnya kita hilang kawalan dan menghina guru anak-anak kita.

14. Kebanyakan guru-guru dan ibubapa dah cuba buat yang terbaik. Hampir semua orang komited dalam hal pembelajaran anak-anak ini. Teruskan usaha kalian yang sangat murni dan bagus ini.

15. Akhir kata, bila ada isu begini abaikan saja. Ia cuma isu terpencil yang tak perlu pun semua orang melenting. Kita senyum, dan terus buat habis baik.

Ketika ini semua sekolah di Malaysia ditutup berikutan penularan wabak COVID-19 sejak awal bulan Mac lepas. Sesi pembelajaran di kelas digantikan dengan sesi pembelajaran melalui medium Google Classroom.

Meskipun Perdana Menteri telah mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), versi PKP yang lebih longgar, sekolah-sekolah masih ditutup.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber:

Bacaan Seterusnya