Ingatkan Kayu, Petani Terjumpa Tulang Gajah Purba Woolly Mammoth

blank

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Dua petani terkejut apabila ladang gandum yang mereka usahakan di Chelsea, Michigan mengandungi tulang gajah purba Woolly Mammoth selebar 3 kaki.

Awalnya menyangka mereka terkorek kayu, James Bristle dan jirannya terkejut dengan penemuan mereka ketika cuba mengorek tanah sedalam 8 kaki untuk memasang paip dengan mesin pengorek.

“Semasa mesin pengorek kami mengesan benda keras, kami ingatkan ianya kayu. Tapi bila tengok, ianya bukan kayu. Nampak macam tulang. Cuma kami tahu ia bukan tulang lembu kerana saiznya besar,” kata Bristle.

Mengesyaki tulang tersebut mungkin tulang dinosaur, Bristle menghubungi Jabatan Paleontologi University of Michigan yang terletak hanya 10 batu dari ladangnya.

Daniel Fisher, profesor dan Ketu Jabatan Paleontologi University of Michigan merupakan orang pertama tiba di ladang Bristle selepas panggilan telefon itu. Beliau kemudiannya membawa 15 orang pelajarnya untuk menyiasat tulang tersebut.

Fisher dan pelajarnya perlu bertindak pantas kerana Bristle hanya mampu memberi mereka masa 1 hari untuk menyiapkan kerja mereka. “Saya pun tengah kejar masa jadual menuai sebenarnya,” jelas Bristle.

Penggalian dimulakan pada waktu Subuh, 6 Oktober 2015 dengan bantuan dua mesin pengorek. Selepas menggali lubang sedalam 10 kaki, Fisher dan pelajarnya mendapati ladang Bristle mengandungi tulang gajah purba Wolly Mammoth.

Ada aktiviti manusia purba

Selepas seharian mengorek, kumpulan paleontologis tersebut berjaya mengeluarkan tengkorak, gading, tulang belakang, tulang rusuk, tulang pelvis dan tulang bahu gajah Woolly Mammoth.

Gajah Woolly Mammoth telah dibuktikan berkeliaran di benua Amerika Utara sehinggalah kepupusan mereka kira-kira 11,700 tahun lepas.

Usia sebenar tulang tersebut dianggarkan berusia antara 11,700 hingga 15,000 tahun. Fisher berkata tulang yang dijumpai di ladang Bristle itu berasal dari gajah jantan dewasa yang berumur dalam 40-an.

blank
Daniel Fisher, Ketua Jabatan Paleontologi University of Michigan sedang melakukan kerja eskavasi gading gajah Woolly Mammoth bersama pelajarnya. (Foto: Daryl Marshke, Michigan Photography)
blank
Pelajar PhD Universiti of Michigan, Joe El Adli menunjukkan tulang belakang gajah Woolly Mammoth yang ditemui. (Foto: Daryl Marshke, Michigan Photography)

“Spesimen yang kami temui ini dari spesis Jeffersonian mammoth – kacukan Woolly Mammoth dan Columbian mammoth yang dinamakan sempena nama bapa kemerdekaan Amerika Syarikat, Thomas Jefferson yang sangat meminati bidang paleontologi.

Fisher juga tidak dapat menolak kemungkinan aktiviti manusia ada kena-mengena dengan penemuan tulang gajah purba tersebut.

“Kami berpendapat manusia purba mungkin telah menumbangkan gajah ini dan menyimpan hasil buruan mereka dalam lubang sebagai simpanan.

“Kami menemui tiga biji batu sebesar bola keranjang berdekatan dengan tulang yang mungkin digunakan sebagai alat timbang.

“Kami juga menemui sebiji batu tajam berdekatan dengan gading yang mungkin digunakan sebagai alat untuk memotong daging.

“Posisi tulang belakang gajah pula mencadangkan gajah purba ini dibunuh. Ia tidak berada dalam kedudukan bersepah sebagaimana yang biasa kita temui apabila haiwan purba mati kerana sebab semulajadi.”

Petani setuju derma tulang gajah Woolly Mammoth

Bristle bersetuju untuk mendermakan hasil penemuan di ladangnya kepada Universiti of Michigan untuk kajian lanjutan.

Paleontologis akan membasuh spesimen tulang Bristle Mammoth – yang dinamakan sempena nama petani tersebut – untuk memeriksa tanda potongan untuk mengesahkan gajah purba tersebut ditumbangkan oleh manusia purba.

Jika ada bukti manusia makan gajah Woolly Mammoth, ia dapat membantu saintis untuk mengetahui usia sebenar peradaban manusia di tenggara Michigan.

Fisher juga berharap dapat menggabungkan tulang yang dijumpai itu dengan tulang tiruan supaya mereka dapat membina rangka lengkap gajah Woolly Mammoth dan memaparkannya di muzium mereka.

“Tulang ini bukan milik saya. Ia milik komuniti di sini,” kata Bristle ketika ditanya mengenai tujuannya mendermakan spesimen tulang tersebut.

“Ini cara kami untuk menyumbang kepada komuniti. Orang dapat tengok gajah Woolly Mammoth pada masa akan datang. Kalau orang gembira, saya gembira.

“Tapi saya harap saya tak jumpa lagi tulang sebegini di ladang saya. Sebab saya tengah kejar masa untuk bertani,” kata Bristle lagi.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram