Ini Beza Amalan Kita Dengan Amalan Harian Ustaz Ismail Kamus

Pada hari Jumaat, tanggal 15 Ramadan 1441 Hijriyyah bersamaan 8 Mei 2020, perginya seorang tokoh agama Islam di Malaysia iaitu Dato’ Haji Ismail Kamus dan amalan beliau untuk menemui Ilahi.

Pemergian beliau pastinya diiringi dengan perasaan hiba oleh keluarga, sahabat handai serta rakyat Malaysia yang membesar dengan mendengar rakaman-rakaman kaset serta MP3 ceramah beliau.

Apa yang pasti, Ustaz Ismail Kamus meninggalkan kita sebagai salah satu hamba Allah SWT yang terpilih. Ini kerana beliau meninggal dunia pada hari Jumaat. Ada empat hadis sahih yang menerangkan kelebihan mati pada hari Jumaat.

Hadis #1:

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur”. [Musnad Ahmad, no. Hadith 6359]

Hadis #2:

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 994]

Hadis #3:

Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أَوْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أُجِيْرَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَجَاءَ يَوْمَ القيامةِ وَعَلَيْهِ طَابِعُ الشُّهَدَاءِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada malam Jumaat atau hari Jumaat akan dibebaskan daripada azab kubur dan akan datang di hari Kiamat dan padanya tanda sebagai seorang yang syahid”. [Hilyah al-Awliya’, 3:181]

Hadis #4:

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَتَهَا غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malamnya diampunkan (dosa) baginya”. [Mizan al-I’tidal, 4:299]

Menurut Ustazah Asma Harun, Ustaz Ismail Kamus barangkali dipilih Allah untuk kematian yang begitu indah kerana saat hidup mereka memilih berjuang kerana Allah dan Agama Allah.

“Ustaz Ismail Kamus mengatur jadual amalan hidup dengan mengutamakan temujanji dengan Allah, akhirnya kembali dan bertemu Allah dengan cara terindah,” jelas kakitangan JAKIM itu.

Asma turut berkongsi jadual amalan harian yang disusun Allahyarham Tuan Guru Dato Ustaz Ismail Kamus yang turut diamalkannya.

1. Bangun Malam (sekitar jam 3 pagi). Mandi dan ambil wuduk.

2. Solat Sunat Wuduk.

3. Solat Sunat Taubat.

4. Solat Sunat Tahajjud (8 rakaat).

5. Solat Sunat Hajat (mintak Allah makbulkan permintaan kita, bila2 masa kita mintak).

6. Solat Sunat Witir 3 rakaat.

7. Istighfar

(أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه) sebanyak 100 kali

8. Tahlil

(لاَ إِلَهَ إِلَّاالله) sebanyak 300 kali

9. Baca Doa Nabi Yunus

(اَإِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَا نَكَ إِنِّيْ كُنتُ مِنَ الظَّا لِمِيْنَ) sebanyak 40 kali

10. Tasbih

(سُبْحَانَ اللَّهِ وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَ اللَّهُ أَكْبَرُ) sebanyak 40 kali

11. Solat Sunat Fajar.

12. Solat Subuh.

13. Baca Yaassin lepas subuh.

14. Solat Sunat Dhuha 6 rakaat.

15. Solat Zohor.
– Solat sunat sebelum
– Solat sunat selepas

16. Solat Asar.
– Solat sunat sebelum

17. Solat Maghrib.
– Solat sunat selepas

18. Solat Isya’
– Solat sunat sebelum
– Solat sunat selepas

19. Sebelum tidur baca :
– Al-Quran
– surah Al-Mulk
– surah Sajjadah
– surah Al-Waqiah

20. Setiap hari mesti sedekah, walaupun sedikit.

Menurut Asma lagi, para ulama berkata apabila Allah tidak mengkehendaki kita lagi :

  • Allah akan sibukkan kita dengan urusan dunia.
  • Allah akan sibukkan kita dengan urusan anak-anak.
  • Allah akan sibukkan kita dengan urusan perniagaan.
  • Allah akan sibukkan kita dengan harta.
  • Allah akan sibukkan kita dengan mencari pengaruh pangkat dan kuasa.

“Alangkah ruginya kerana kesemuanya itu akan kita tinggalkan. Sekiranya kita mampu bertanya pada orang-orang yang telah pergi terlebih dahulu menemui Allah SWT dan jika mereka diberi peluang untuk hidup sekali lagi sudah semestinya mereka memilih tidak lagi akan bertarung bermati-matian untuk merebut dunia.

“Tujuan kita diciptakan adalah untuk menyembah Allah dan beribadat kepada Allah SWT. Sebenarnya apa yang kita dapat dari habuan dunia ini telah pun ditentukan oleh Allah SWT.

“Kenapa kita tidak pernah cemburu melihat ilmu dan amalan orang lain lebih daripada kita. Kenapa kita tidak pernah cemburu melihat orang lain bangun disepertiga malam untuk solat tahajjud.

“Kita cemburu melihat orang lain tukar kereta baru, tetapi jarang kita cemburu melihat orang lain boleh khatam Al-Quran sebulan 2 kali.

“Kesemua petanda-petanda ini menunjukkan dunia akhir zaman apabila duit, pangkat dan harta mengatasi segalanya.

“Kita patut bermuhasabah mengenai bekalan ke satu perjalanan yang jauh yang tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya.

“Sesungguhnya mati itu benar, alam kubur itu benar, pertanyaan munkar dan nakir itu benar, mahsyar Allah itu benar, syurga dan neraka itu benar.”

Bacaan Seterusnya