Ini Lima Perkara Penting Dari Pertemuan Joe Biden Dengan Vladimir Putin

Semalam, kedua-dua Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu dan mengadakan perbincangan di Villa La Grange, Geneva, Switzerland. Ini merupakan pertemuan pertama mereka setelah Joe Biden dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. Pertemuan ini sangat penting kerana kedua-dua negara sedang berada di kancah hubungan diplomatik yang buruk ketika pentadbiran Presiden Donald Trump.

Mengapa mereka bertemu di Geneva dan tidak di White House atau Kremlin?

Geneva merupakan pusat kewangan dan dikenali sebagai pusat diplomasi dunia dengan kebanyakkan ibu pejabat pertubuhan antarabangsa terletak di sana seperti agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Red Cross. Saban tahun, Geneva menjadi tuan rumah kepada pelbagai persidangan dan perbincangan antarabangsa.

Hubungan kedua-dua negara sedang berada di kedudukan yang buruk. Maka sudah tentu perjumpaan di ibu kota masing-masing boleh dianggap sebagai memasuki kawasan musuh yang akan lebih memburukkan keadaan. Begitu juga dengan perjumpaan di negara-negara sekutu Amerika Syarikat seperti negara NATO dan G7. 

Selain itu juga, Switzerland merupakan negara neutral yang tidak menyertai tekanan negara-negara NATO ke atas Rusia. Amerika Syarikat juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan Switzerland, maka kedua-dua Presiden mudah memutuskan untuk bertemu empat mata di Geneva.

1. Era tidak konsisten Donald Trump telah berakhir 

Kredit gambar: https://www.reuters.com/world/biden-putin-set-meet-18th-century-swiss-villa-summit-2021-06-09/

Pada tahun 2018, Presiden Donald Trump bertemu dengan Presiden Vladimir Putin di dalam perbincangan yang dianggap gagal oleh pemerhati politik antarabangsa. Pertemuan di Helsikni, Finland itu dimulakan dengan Donald Trump meletakkan keyakinan bahawa kemenangan pilihanraya beliau bukanlah disebabkan oleh ganggu gugat oleh Kremlin terhadap sistem pilihanraya Amerika.

Semasa sidang akhbar bersama, keadaan dilihat terlalu memalukan sehingga seorang penasihat Donald Trump, Fiona Hill melaporkan beliau hampir sahaja menghentikannya dengan menekan suis amaran kebakaran palsu ataupun berpura-pura sakit.

Sebagai perbandingan, perbincangan di Geneva kali ini berlangsung dengan baik. Presiden Joe Biden dilihat sangat bersedia, tenang dan memaklumkan kepada Presiden Vladimir Putin era ketidakstabilan Amerika Syarikat telah berakhir. Beliau mahukan hubungan yang boleh diramal antara kedua-dua buah negara kuasa besar tersebut. 

Pertemuan mereka berjalan dengan norma diplomatik yang sempurna dengan perbincangan mendalam selama tiga jam dan dikuti dengan beberapa siri wawancara berasingan bersama media. Keputusan yang dipersetujui bersama turut direkodkan, tidak seperti pertemuan bersama Donald Trump dahulu.

2. Pandangan Vladimir Putin terhadap Amerika masih negatif

Kredit gambar: https://apnews.com/article/donald-trump-joe-biden-middle-east-europe-nuclear-weapons-d67aee227ce9c7e9482af48cc6a10222

Sepanjang beberapa dekad ini, Presiden Vladimir Putin telah bertemu dan berbincang dengan lima orang Presiden Amerika Syarikat. Dan selama beberapa dekad ini terlalu banyak sikap buruk Amerika Syarikat yang dilalui oleh Russia seperti tekanan ekonomi oleh NATO, tuduhan penglibatan Kremlin di dalam proses pilihan raya Amerika Syarikat dan juga sikap hipokrasi semasa serangan terhadap Iraq. 

Pada pandangan Putin, mereka tidaklah mempunyai kepakaran untuk mengubah keputusan pilihan raya Amerika Syarikat. Russia juga masih beranggapan bahawa Amerika Syarikat merupakan punca kepada demonstrasi berdarah di Ukraine pada tahun 2014 yang mengorbankan puluhan nyawa.

Seperti sewaktu terjadinya Perang Dingin antara kedua-dua buah negara, Putin masih menganggap Amerika Syarikat sebagai musuh utama. Pertemuan di Geneva merupakan salah satu cara untuk beliau menunjukkan kepada rakyatnya bahawa sebagai Presiden, beliau mempunyai taraf yang sama dengan Joe Biden. 

Biarpun dilihat besederhana di dalam perbincangan, Russia dijangka tidak akan tunduk kepada permintaan Amerika Syarikat di dalam mengendalikan tahanan politik mereka seperti Alexei Navalny ataupun meredakan tekanan mereka terhadap Ukraine yang dilihat terlalu hampir sebagai pintu masuk ke Russia. 

3. Perbincangan tersebut mencapai beberapa kata sepakat 

Kredit gambar: https://www.reuters.com/world/reaction-biden-putin-summit-ranges-positive-disturbing-2021-06-16/

Jangkaan pemerhati politik sebelum pertemuan hari Rabu tersebut amat rendah kerana keadaan hubungan dua hala yang masih buruk. Akhirnya, apa yang mudah untuk dicapai kedua-dua belah pihak dimuktamadkan. Salah satunya adalah untuk mengembalikan kedudukan kedua-dua duta besar Rusia dan Amerika. Duta Besar Rusia ke Washington dipanggil semula setelah Joe Biden menggambarkan Putin sebagai “pembunuh”. Begitu juga dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Moscow, John Sullivan, juga dipanggil pulang pada bulan April. Kedua-duanya kini akan kembali ke kedutaan masing-masing, memungkinkan hubungan diplomatik disambung semula.

Terdapat juga rundingan antara Jabatan Negara Amerika Syarikat bersama Kementerian Luar Negeri Rusia mengenai berbagai isu termasuk perjanjian nuklear Start III, yang akan berakhir pada tahun 2024 serta itu keselamatan siber. Tidak ada sebarang keputusan yang dicatatkan di dalam kes dua orang bekas Tentera Laut iaitu Trevor Reed dan Paul Whelan, keduanya dijatuhkan hukuman penjara panjang di Moscow atas pelbagai tuduhan yang meragukan. Kremlin telah menawarkan pertukaran dua orang bekas tentera Amerika tersebut untuk ditukarkan dengan Konstantin Yaroshenko, seorang juruterbang Rusia yang didakwa oleh Amerika Syarikat dengan penyeludupan dadah.

4. Vladimir Putin diperakui sebagai seorang pakar retorik

Kredit gambar: https://www.newyorker.com/news/letter-from-bidens-washington/vladimir-putin-has-a-message-hey-joe-are-you-listening 

Sewaktu sidang media selepas perbincangan, wartawan Barat ingin mengetahui mengapa anak muda di Rusia tidak dibenarkan untuk menganjurkan sebarang demonstrasi menentang pemerintah. Wartawan juga bertanya mengenai kes-kes di mana Kremlin dituduh meracun lawan politik mereka. Putin menjawab dengan pelbagai jawapan tidak relevan tetapi penuh retorik dan sinis. Beliau memberi contoh bagaimana 400 orang penunjuk perasaan pro-Trump yang menyerbu bangunan Capitol di Washington pada 6 Januari lalu, kononnya untuk menyatakan tuntutan politik yang munasabah. Mereka kini dihukum secara tidak adil dan menghadapi hukuman penjara. Maka Rusia, tambahnya ingin mengelakkan perkara yang sama.

Beliau juga menyatakan ketidakpuasan hatinya tentang Kongres Amerika Syarikat yang menurutnya memperlakukan Rusia sebagai sebuah negara musuh. Amerika Syarikat dilihat berusaha untuk mempromosikan objektif politik negara tersebut dengan membiayai kumpulan politik pembangkang di dalam Rusia. Maka tindakan yang diambil oleh Kremlin adalah wajar pada pandangannya, kerana mereka adalah “ejen” kuasa asing.

Biarpun begitu, tuduhan beliau bukanlah benar 100 peratus. Putin dilihat menggunakan taktik ini dengan mengambil kesempatan untuk menyingkirkan pesaing politiknya.

5. Vladimir Putin boleh hadir awal sekiranya beliau mahu 

Kredit gambar: https://roanoke.com/news/national/govt-and-politics/two-great-powers-biden-putin-plunge-into-hours-of-talks/image_4928d1b8-e823-599a-9e3b-078d9fef9523.html

Vladimir Putin terkenal dengan kelewatannya. Presiden Rusia itu mempunyai sejarah yang panjang yang dilihat sengaja membiarkan pemimpin dunia lain tertunggu-tunggu akan kehadirannya. Menjelang sidang kemuncak di Geneva ini, para diplomat kanan Amerika Syarikat menyusun protokol di mana pemimpin Rusia itu akan tiba terlebih dahulu. Sebenarnya, keraguan mereka ini ada asasnya.

Pada tahun 2012 Putin pernah membiarkan Presiden Obama menunggu selama 40 minit pada sidang kemuncak G20 di Los Cabos, Mexico. Tiga tahun kemudian beliau lewat selama satu jam untuk untuk bertemu bersama Paus Fransiskus di Vatikan. Beliau juga mempunyai sejarah membiarkan Ratu Elizabeth menunggunya selama 14 minit semasa lawatan negara ke Britain pada tahun 2003.

Namun, pada pertemuan kali ini, Putin dilihat hadir tepat pada masanya. Beliau muncul di Villa La Grange lebih awal berbanding Presiden Joe Biden yang sampai beberapa minit kemudian.

Bacaan Seterusnya