Ini Punca Sebenar Kenaikan Harga Besi Secara Mendadak Di Pasaran

Isu kenaikan harga barangan asas pembinaan khususnya besi bukan perkara baharu. Sepanjang dilanda musibah Covid-19, harga barangan tersebut naik berkali ganda.

Malangnya, sehingga hari ini belum ada sebarang tanda-tanda pemulihan. Harga besi pula dilaporkan melambung sehingga mencecah lebih 100 peratus.

Masalah ini melanda kesemua industri yang menggunakan besi dan aluminium di seluruh dunia. Sekiranya dilihat di luar negara, syarikat seperti Campbell Soup Co terpaksa membayar harga berlipat kali ganda untuk pembuatan tin bagi pes tomato mereka. Begitu juga dengan industri pembuatan kereta, rangka dan bahagian kereta amat bergantung kepada besi.

Mari kita telusuri punca kenaikan harga besi dan kesannya kepada perniagaan dan pengguna.

Punca kenaikan harga besi di seluruh dunia

Kredit gambar: BBC

Secara mudahnya, seperti industri yang lain di seluruh dunia, harga besi ditentukan oleh pasaran. Ketika pandemik melanda seluruh dunia dengan sekatan pergerakan dilaksanakan, pengeluar-pengeluar yang melombong besi turut menghentikan operasi.

Ini kerana, dengan ketiadaan permintaan terhadap pengeluaran besi, mereka masih menanggung kos operasi lombong yang tinggi. Sepanjang tahun 2020, sektor pembinaan hampir lumpuh sepenuhnya kerana tapak pembinaan dilarang untuk beroperasi berikutan peningkatan kes covid-19.

Semenjak vaksin covid-19 telah diedarkan ke seluruh dunia, sektor pembinaan kembali rancak untuk menyambung kembali kerja-kerja pembinaan yang terhenti pada tahun lepas. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap besi sangat tinggi pada tahun ini.

Selain itu juga, industri besi dunia sedang dikawal oleh dua syarikat besar yang baru melalui proses penggabungan. Duopoli antara ArcelorMittal dan Cleveland-Cliffs dan AK Steel dengan penggabungan masing-masing bernilai $2.5 bilion menjadikan industri kelihatan agak tepu.

World Steel Association menjangkakan bahawa permintaan global terhadap produk besi akan meningkat sebanyak 4.1 peratus pada tahun ini. Jumlah tersebut bakal meningkat 2.2 peratus lagi sepanjang tahun 2022.

Kenaikan melebihi 200 peratus

Kredit gambar: TWA

Australia, Brazil dan China merupakan tiga negara pengeluar besi terbesar di dunia. Masing-masing mengeksport besi dengan 900 juta tan, 400 juta tan dan 340 juta tan sepanjang tahun 2020.

Sebelum pandemik melanda, harga besi diniagakan pada $500 hingga $800 bagi setiap tan. Selepas pandemik, permintaan besi melebihi pengeluarannya. Harga besi diniagakan melebihi 215 peratus, iaitu $1,825.

Dua ekonomi besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China pula menyatakan bahawa mereka akan meningkatkan projek infrastruktur di negara masing-masing. Presiden Joe Biden sendiri telah berjanji dalam manifestonya untuk membelanjakan sebanyak $2 trilion untuk projek infrastruktur di negara tersebut. Ini menambahkan lagi tekanan kepada pengeluar besi bagi memenuhi permintaan.

Kesan kenaikan mendadak harga besi

Kredit gambar: Evens

Tanpa sebarang penyelesaian jangka pendek, harga besi dijangka terus meningkat. Secara tidak langsung, sektor yang menggunakan besi sebagai bahan asas seperti pembinaan bangunan dan infrastruktur, pembuatan produk besi, peralatan mekanikal, automotif dan lain-lain.

Sebagai pengguna, harga barangan yang berkaitan besi seperti kereta dan rumah juga bakal mengalami peningkatan yang ketara. Projek-projek kerajaan yang mengalami kelewatan juga terpaksa menanggung kos berlebihan. Kenaikan barangan asas binaan itu juga menyebabkan kontraktor pembinaan terjejas teruk dan terpaksa menanggung kerugian.

Bacaan Seterusnya