Jumlah Penduduk Malaysia Kini 32.73 Juta, Lelaki Lebih Ramai

Menurut laporan Perangkaan Demografi suku tahun pertama 2020, jumlah penduduk Malaysia meningkat 0.6% berbanding suku pertama tahun 2019 kepada 32.73 juta orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk itu merangkumi 29.62 juta orang atau 90.5% warganegara Malaysia dan 3.12 juta orang atau 9.5% bukan warganegara Malaysia.

Laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dari Jabatan Perangkaan Malaysia pada 12 Mei 2020 itu disiarkan di laman sesawang rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam laporan tersebut juga, jumlah orang lelaki di Malaysia meningkat daripada 16.81 juta orang pada suku tahun pertama 2019 kepada 16.90 juta orang. Sementara itu, orang perempuan pula meningkat daripada 15.72 juta orang kepada 15.84 juta orang dalam tempoh masa yang sama.

“Nisbah jantina kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam kenyataannya.

Menurut Mohd Uzir, Selangor kekal mencatatkan penduduk paling ramai pada suku tahun pertama 2020 dengan 6.57 juta orang. Sabah pula merupakan negeri yang mempunyai penduduk kedua paling ramai iaitu 3.91 juta orang.

Selepas Selangor dan Sabah, Johor melengkapkan senarai tiga negeri paling ramai penduduk di Malaysia iaitu 3.78 juta orang.

Jumlah penduduk berumur 0-14 tahun pula menunjukkan corak penurunan kepada 7.53 juta berbanding 7.63 juta pada suku tahun pertama 2019. Manakala penduduk berumur 15–64 tahun meningkat kepada 22.95 juta orang daripada 22.74 juta orang.

Penduduk berumur 65 tahun ke atas turut meningkat daripada 2.16 juta kepada 2.26 juta orang pada suku tahun pertama 2020.

Baca lagi artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber:

Bacaan Seterusnya