Kanye West Umum Hasrat Jadi Presiden US. Ini Dua Manifestonya

blank

Jika anda rasa pelik macam mana Donald Trump boleh jadi Presiden Amerika Syarikat (US), Kanye West ingin menambah rasa pelik anda dengan mengumumkan hasratnya menjadi Presiden.

Kanye West yang sebelum ini terang-terangan menyokong Donald Trump, mengumumkan akan bertanding menentang Donald Trump dan calon Parti Demokrat, Joe Biden dalam pemilihan Presiden pada 3 November 2020 nanti.

Pada Oktober 2018, Kanye West dan isterinya pernah melawat Trump di White House untuk membincangkan dasar pembaharuan penjara.

Beliau memakai topi merah ‘Make America Great Again’, mencarut beberapa kali di depan media sebelum berkata, “Saya sayang lelaki ini” sambil memeluk Trump.

Embed from Getty Images

“Kita mesti realisasikan janji Amerika dengan mempercayai Tuhan, menyatupadukan visi kita dan membina masa depan. Saya akan bertanding dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat!” kata Kanye West.

Isteri Kanye West, Kim Kardashian membalas pengumuman tersebut dengan emoji bendera US.

Dengan hanya empat bulan menuju ke pilihanraya Presiden US, media tak dapat mengesahkan sama ada pengumuman Kanye West itu serius atau tidak.

Media tak tahu sama adala artis berusia 43 tahun itu telah mengisi kertas kerja rasmi di mana-mana negeri untuk bertanding dalam pilihanraya paling besar di US. Setakat ini, tarikh tutup bagi calon bebas untuk bertanding masih lagi belum ditutup.

Selepas kejayaan Ronald Reagan (pelakon) dan Donald Trump (personaliti TV realiti) menjadi Presiden US, mungkin cita-cita Kanye West dan Kim Kardashian untuk duduk di White House sebenarnya boleh menjadi kenyataan.

Embed from Getty Images

Antara yang turut menyokong pengumuman Kanye West adalah Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk.

Trump pula hanya menjawab ringkas, “Mungkin” ketika ditanya mengenai kemungkinan Kanye West akan menjadi pesaingnya dalam pemilihan Presiden US hujung tahun ini.

Susulan respon Trump itu, Kanye West menjelaskan beliau tidak akan bertanding menentang Trump. “Hanya selepas 2024. Buat masa sekarang, jangan risau tentang masa depan. Apa yang kita ada adalah hari ini. Kita cuma ada hari ini,” katanya.

Kanye West pernah mengumumkan ideanya untuk menjadi Presiden US sebelum ini. Pada Januari 2019 lepas, beliau pernah menulis tweet “2024” yang mungkin bermaksud tahun beliau akan benar-benar serius bertanding sebagai presiden.

Kanye West nak haramkan pengguguran janin dan vaksin

Bercakap mengenai manifestonya sebagai calon Presiden US, Kanye West memberitahu beliau akan mengharamkan vaksinasi dan pengguguran janin.

“Banyak sangat kanak-kanak diberi vaksin sampai cacat.

“Saya sangat risau bila saintis cakap mereka akan sembuhkan COVID-19 dengan vaksin. Saya sangat-sangat risau. Itu petanda orang jahat.

“Mereka nak letak cip dalam badan manusia. Mereka nak buat macam-macam benda supaya kita tak masuk syurga. Minta maaflah kalau saya cakap saintis-saintis macam ini mempunyai syaitan dalam badan mereka.

“Dan yang paling sedih, bila mereka berjaya, kita takkan dapat masuk syurga.”

Embed from Getty Images

Kanye West turut menentang pengharusan pengguguran janin di sisi undang-undang US kerana ia bertentangan dengan perintah Tuhan.

Penyanyi rap terkenal tersebut mengaku masih belum mempunyai polisi spesifik untuk dijadikan manifestonya sebagai presiden. Tetapi Kanye West berkata beliau mempunyai kebijaksanaan untuk menggalakkan inovasi di US.

Jika Kanye West betul-betul menjadi calon bebas dalam Pilihanraya Presiden US, beliau berpotensi menjadi ‘kingmaker’ dalam perebutan antara dua calon Parti Republikan dan Demokrat.

Pada tahun 1992, Ross Perot, jutawan mega dari Texas mendapat 19% undian dari rakyat US – jumlah paling besar dalam sejarah calon bebas di pilihanraya Presiden.

Pada tahun 2000, Ralph Nader dari Parti Hijau mungkin hanya mendapat kurang 3% undi rakyat US. Tetapi ia menyebabkan calon Parti Demokrat, Al Gore kalah.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Bacaan Seterusnya