Kedai Emas Diserbu Wanita Malaysia Selepas PKP. Ini Sebabnya

Hari ini akhbar Kosmo melaporkan jualan kedai emas meningkat selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir hingga mencatatkan nilai jualan hampir RM1 bilion.

Fenomena ini mungkin menghairankan sesetengah pihak. Ketika ramai orang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan selepas perlaksanaan PKP selama hampir 2 bulan, trend membeli emas pula semakin naik.

Tambah menghairankan, trend pembelian emas ini meningkat walaupun harga emas sedang naik ketika ini.

Untuk membaca sebab kenapa harga emas naik ketika wabak penyakit seperti COVID-19 berlaku, anda boleh membacanya di sini.

Peningkatan jualan emas di Malaysia selepas PKP turut menghairankan peniaga dan pekerja kedai emas. Mereka mengalu-alukan kedatangan ramai pelanggan untuk membeli emas.

Tetapi mereka juga tidak dapat mengelak untuk bertanya:

Mengapa jumlah jualan emas kedai mereka naik ke tahap paling tertinggi – malah lebih tinggi berbanding waktu sebelum PKP yang harga emas pasarannya jauh lebih murah?

Seorang pemilik kedai emas yang ditemui oleh Rencah, Pn. Yana memberitahu:

“Sebelum PKP, paling tinggi pun jualan sehari kami biasanya mencapai jumlah RM100,000 – RM120,000. Biasanya jumlah itu dicapai ketika hari minggulah.

“Tapi sekarang, hari-hari biasa pun kami dah boleh capai jualan RM100,000 sehari. Kalau hari minggu, jualan boleh naik sehingga RM180,000.

Beliau yang memiliki dua kedai menjual barang kemas di Kuala Lumpur tidak menolak faktor harga emas yang naik selepas PKP menyebabkan jumlah jualan kedainya meningkat. Tetapi peningkatan luar biasa jumlah pelanggan yang mengunjungi kedainya selepas PKP adalah pengalaman kali pertamanya.

“Mungkin faktor Hari Raya memainkan peranan. Biasanya jualan kami memang sentiasa akan meningkat apabila tiba Hari Raya.

“Tapi Hari Raya tahun 2020 adalah kali pertama rakyat Malaysia tak dibenarkan balik kampung merentas negeri. Jadi saya jangkakan jualan akan menjadi perlahan berbanding kebiasaan. Rupa-rupanya jualan kami mencapai tahap tertinggi dalam sejarah kedai.

Pembeli jangka harga emas akan naik lagi

Seorang pekerja kedai emas yang kami temui, Pn. Wati memberi dua faktor yang menjelaskan mengapa orang ramai ‘menyerbu’ kedai emas selepas PKP.

“Pertama, mereka mungkin nak lepas geram lepas dua bulan kena duduk rumah. Kebanyakan pelanggan yang saya layan mahu trade-in barang kemas yang mereka miliki untuk mendapatkan barang kemas baharu.

“Kedua, mereka takut harga emas akan naik lagi selepas ini. Jadi sebelum harga emas naik lagi, mereka beli cepat-cepat sebagai tujuan pelaburan.

Sebab kedua yang diberi oleh Pn. Wati berdasarkan interaksinya dengan pelanggan sangat menarik perhatian.

Ketika kemelesetan ekonomi berlaku, trend pelabur memang akan beralih kepada komoditi old school seperti emas berbanding saham. Ini kerana pelaburan emas yang lebih stabil dan kalis kegawatan ekonomi.

Sebab itulah harga emas naik ketika wabak COVID-19 berlaku.

Sebelum PKP, harga emas dilaporkan berharga RM220 per gram.

Selepas PKP, harga emas dilaporkan berharga RM240 per gram, naik hampir 9% dalam masa dua bulan.

Trend peningkatan jualan emas ini juga membuktikan kebijaksanaan rakyat Malaysia, terutamanya kaum hawa, dalam pengurusan kewangan ketika zaman kemelesetan ekonomi.

Kuasa membeli rakyat Malaysia mungkin menurun untuk barang-barang bukan keperluan ketika tempoh kemelesetan ekonomi. Tetapi untuk barang-barang yang memberi pulangan pelaburan, kuasa membeli semakin meningkat.

“Kalau nak banding zaman sebelum dan selepas PKP, komisen jualam kami paling tinggi berlaku selepas zaman selepas PKP lah,” kongsi Pn. Wati yang bekerja di Merchant Nine di TTDI.

Baca juga artikel kami yang berkaitan:

Bacaan Seterusnya