Kekurangan Diri Tak Halang Kamarul Afizi Cemerlang Dalam SPM 2019

Kamarul Afizi

Kamarul Afizi Mohd Yusof mungkin tidak sempurna seperti pelajar-pelajar lain di luar sana, tetapi semua itu langsung tidak menjadi penghalang buatnya untuk meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan hari ini.

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisammudin, Klang itu telah menerima anugerah Terbaik SPM Kategori Kurang Upaya Penglihatan (Buta) selepas berjaya meraih keputusan 9A.

Meskipun hidup serba kekurangan, Kamarul Afizi menyifatkan semua itu tidak menghalang dirinya untuk mengecapai sesuatu yang istimewa.

Hasil sumber daripada GPS Bestari, Kamarul turut berkongsikan rahsia yang merintis kepada keputusan cemerlang yang diraihnya itu.

”Rahsia kejayaan saya adalah, waktu pagi saya akan solat tajahud dan kiamullail. Di sekolah, saya akan memberikan tumpuan penuh ketika pembelajaran di dalam kelas.”

”Walaupun saya ini adalah pelajar kurang upaya, layanan yang diberikan oleh guru kepada saya sama sahaja dengan pelajar lain. Saya tidak menjadikan kekurangan saya ini sebagai halangan untuk berjaya.”

”Ia bukanlah beban tetapi anugerah daripada Allah SWT,” ujar Kamarul Afizi lagi.

Keputusan cemerlang yang diraih anak istimewa ini bukan sahaja membuatkan kita teruja malah turut mampu menjadi inspirasi buat semua dari aspek kehidupan seharian manusia.

Pandangan mata Kamarul sudah pastinya amat gelap tetapi ‘pandangan hatinya’ sentiasa terang untuk menerima segala ilmu dari gurunya.

Kredit foto: GPS Bestari

Bacaan Seterusnya