Kenali 10 Peribahasa Melayu Yang Jarang Orang Guna

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Peribahasa Melayu sememangnya kaya dan masih banyak yang belum digunakan secara meluas lagi oleh kita dalam perbendaharaan kata seharian.

Dalam artikel ini, kami akan memperkenalkan 10 peribahasa Melayu yang jarang orang guna untuk kita kenal dan belajar. Semua peribahasa ini dibekalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Edisi Kedua (2016).

1. Bagai jelongak kerbau rampung

Maksud: orang bodoh yang sombong, tak sedar dirinya dibodohi orang

Contoh ayat: Kata orang, kebodohan itu suatu penyakit. Untuk mencegahnya, bertanyalah kepada sang bijaksana. Jangan jadi bagai jelongak kerbau rampung.

2. Seorang cecak, semuanya berasa pedih

Maksud: Kalau seorang berbuat salah, maka kaun sekeluarganya akan turut berasa malu

Contoh ayat: Ibu bapa sudah bersusah payah membesarkan kita. Jadi, jagalah nama baik mereka dengan menjadi manusia yang berguna. Bila seorang cecak, semuanya berasa pedih.

3. Malu berani, mati takut

Maksud: pengecut

Contoh: Ada orang lagaknya bagaikan singa di media sosial. Tapi di dunia sebenar, malu berani, mati takut.

4. Orang tua takkan kehilangan tongkat dua kali.

Maksud: Sekali rugi (tertipu dan sebagainya) tentu serik dan berhati-hati.

Contoh ayat: Membuat kesilapan adalah norma kehidupan seorang manusia. Apa yang penting, kita kena belajar dari kesilapan tersebut supaya orang tua takkan kehilangan tongkat dua kali.

5. Syariat palu memalu, syariat balas membalas

Maksud: Bantuan/kebaikan yang dihulurkan/ditunjukkan haruslah dibalas.

Contoh ayat: Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Bila orang memberi kita susu, janganlah dibalas dengan tuba. Syariat palu memalu, syariat balas membalas.

6. Masin lagilah garam sendiri

Maksud: Ahli keluarga lebih pentingkan daripada orang/benda lain.

Contoh ayat: Harta yang paling berharga ialah keluarga. Janganlah sesekali memutuskan ikatan persaudaraan hanya disebabkan harta dunia kerana masin lagilah garam sendiri

7. Tangan yang celaka, kerja jatuh

Maksud: Mendapat kerugian kerana perbuatan ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab.

Contoh ayat: Janganlah sesekali mendekati dadah. Kelak tangan yang celaka, kerja jatuh.

8. Apa payahnya menaupkan bibir atas bawah

Maksud: Cakap memang mudah, tapi nak buatnya susah.

Contoh ayat: Pemimpin perlu menjaga mulut mereka sebelum berjanji apa-apa kepada rakyatnya. Semua orang tahu apa payahnya menaupkan bibir atas bawah?

9. Bagai berseru di padang pasir

Maksud: Seruan yang tak diendahkan orang.

Contoh ayat: Amaran polis supaya kepada semua rakyat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagaikan berseru di padang pasir. Ini kerana masih ada rakyat, malah pemimpin sendiri, yang masih berdegil.

10. Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan

Maksud: Pemimpin yang membantu atau menjaga rakyatnya jika berlakunya kesusahan kepada rakyat.

Contoh ayat: Rakyat tidak meminta segunung emas pun daripada kerajaan. Cukuplah condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram