Kepentingan Insurans Perlindungan Banjir Untuk Pemilik Kenderaan

Hanya 41 peratus pemandu di Malaysia memiliki perlindungan insurans yang lengkap untuk menghadapi situasi bencana alam seperti banjir. Ini bermaksud, majoriti iaitu sebanyak 59 peratus pemandu di Malaysia tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir.

Dapatan ini merupakan sebahagian daripada Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan yang dijalankan oleh Zurich Malaysia. Ini bermaksud, pemilik kenderaan bakal mengalami kerugian besar jika mereka tidak bersedia dan tidak mempunyai perlindungan yang secukupnya.

Hujan yang berterusan sepanjang musim tengkujuh atau musim Monsun Timur Laut bakal membawa hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat. Musim tengkujuh biasanya berterusan mulai bulan ini sehingga Mac tahun hadapan.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran taburan hujan yang lebih tinggi berbanding purata. Beberapa buah negeri di Pantai Timur bakal mengalami hujan antara 450mm dan 1,000mm pada bulan November dan Disember.

Perlindungan asas tidak meliputi bencana alam

Kredit gambar: Carsome

Faktor yang memungkinkan perkara ini adalah kerana perlindungan bencana alam ini perlu diambil sebagai tambahan. Ini bermaksud, pengguna boleh memilih untuk membeli insurans tanpa perlu kepada perlindungan banjir.

Pemegang polisi seharusnya peka untuk memeriksa dengan syarikat insurans masing-masing mengenai perlindungan dari bencana alam. Ini kerana, perlindungan tersebut juga adalah berbeza daripada satu syarikat dengan syarikat yang lain.

Selain banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang adalah risiko yang tidak sedia dihadapi oleh pengguna jalan raya di Malaysia. Hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya (34 peratus) mempunyai perlindungan untuk ribut, termasuk pokok tumbang. Manakala hanya 29 peratus dilindungi daripada kejadian tanah runtuh.

Kepentingan perlindungan insurans dari risiko banjir

Kredit gambar: Berita Harian

Selepas insiden banjir besar pada 2014, perlindungan insurans dan takaful bagi menghadapi banjir sebenarnya telah meningkat. Penambahan polisi banjir ini dibuat bagi melindungi kenderaan, perniagaan dan hartanah terutamanya di kawasan yang mempunyai risiko banjir seperti negeri-negeri Pantai Timur.

Sebagai contoh, Etiqa Takaful mempunyai perlindungan tambahan yang dikenali sebagai manfaat banjir asas dan manfaat banjir tambahan. Bagi manfaat banjir asas, pihak pengendali insurans akan melindungi kenderaan anda dari banjir, ribut kencang dan angin ribut. Manfaat ini dapat diperolehi dengan nilai 0.25 peratus daripada nilai perlindungan kereta.

Manakala bagi manfaat banjir tambahan pula, pihak pengendali insurans akan melindungi kenderaan anda dari pelbagai jenis bencana alam. Ini termasuklah banjir, ribut kencang, angin ribut, taufan, puting beliung, gunung berapi, gempa bumi, tanah jerlus, tanah runtuh dan lain-lain. Ia boleh dinikmati dengan kos 0.5 peratus daripada nilai perlindungan kereta.

Sekiranya berlaku kejadian seperti banjir besar, pihak insurans akan menghantar penilai bagi menilai jumlah kerosakan. Sekiranya kereta tersebut diisytihar total loss (kerugian sepenuhnya), pemilik kenderaan akan dibayar mengikut nilai yang dipersetujui ataupun nilai pasaran.

Bacaan Seterusnya