Keputusan PKP Dilanjut Atau Tak Bergantung Kepada Satu Benda

Keputusan sama ada Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjut atau tidak akan bergantung kepada data COVID-19 seluruh negara pada 10 April nanti, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu berkata beliau tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku.

“Tetapi semua keputusan akan dibuat berdasarkan sains dan fakta.

“Kami harap pada 10 april nanti, data itu akan sedia untuk kita membuat keputusan sama ada PKP akan dilanjut atau tidak.”

Dr Noor Hisham menjelaskan perkara tersebut dalam satu sidang media semalam.

Beliau juga memberitahu KKM sedang memantau situasi wabak COVID-19 di negara dan memohon semua rakyat Malaysia memainkan peranan berikut.

“Kalau kita duduk rumah, basuh tangan dan amalkan pejarakan sosial, kita akan tengok [perubahannya] dalam data.”

Dr Noor Hisham turut memberitahu KKM ketika risau kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara boleh menyebabkan wabak COVID-19 mengganas lagi sepertimana yang berlaku kepada kluster jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling sebelum ini.

Kluster jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling yang berlangsung hujung Februari 2020 bertanggungjawab mencipta gelombang kedua wabak COVID-19.

Acara perhimpunan keagamaan itu yang menarik lebih 10,000 pengunjung membuatkan kes semakin meningkat pada awal Mac sehingga memaksa kerajaan melaksanakan PKP.

Sebelum PKP, hampir 10,000 rakyat pulang ke Malaysia setiap hari. Jumlah ini berkurangan kepada 4,000 sehari selepas PKP dikuatkuasakan.

Tetapi KKM mendapati jumlah ini semakin meningkat kerana kepulangan pelajar dan pekerja Malaysia dari luar negara berikutan sekatan perjalanan yang sedang dikuatkuasakan di seluruh dunia.

Dr Noor Hisham risau kepulangan mereka ini bakal membawa kes yang diimport, sekaligus menyebabkan peningkatan jangkitan.

Ketika ini, rakyat Malaysia yang pulang tanpa simptom akan ditempatkan di pusat kuarantin berhampiran dengan pintu masuk udara dan laut negara. Yang mempunyai simptom pula akan dibawa ke hospital.

Beliau memberitahu sejak tiga hari lepas, terdapat lapan kes positif baru melibatkan beberapa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sejak penguatkuasaan sekatan perjalanan di seluruh negara.

Baca juga artikel lain mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia:

Bacaan Seterusnya