Kesalahan Trafik Pengguna Jalan Raya Yang Menjadi Punca Kemalangan

Memandu kenderaan memerlukan anda untuk memberi perhatian sepenuhnya terhadap peraturan lalu lintas. Kesilapan yang kecil di jalan raya boleh mencetuskan masalah yang besar, terutamanya apabila membabitkan kemalangan.

Pelbagai langkah penguatkuasaan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Namun begitu, kadar kemalangan masih lagi meningkat, biarpun semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Sikap pemandu yang cuai merupakan faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan. Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, kadar kemalangan jalan raya yang tinggi ini berpunca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

Berikut dibincangkan statistik kemalangan mengikut data PDRM dan punca-punca yang boleh menyebabkan kemalangan.

Sekatan pergerakan tidak mengurangkan kemalangan

Kredit gambar: MStar

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 418,237 kemalangan jalan raya telah dilaporkan sepanjang tahun 2020. Jumlah ini bersamaan dengan 1,142 kes kemalangan setiap hari. Jumlah kemalangan tersebut masih tinggi walaupun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kurangnya pergerakan kenderaan.

Sepanjang pelaksanaan PKP juga, sebanyak 7,525 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dilaporkan sepanjang tempoh sembilan bulan. Daripada jumlah tersebut, 2,576 kes kematian membabitkan penunggang motosikal dan dua pertiga daripadanya adalah mereka yang berkhidmat dalam e-hailing.

Secara puratanya, sebanyak 12 kes kematian akibat kemalangan jalan raya berlaku setiap hari pada tahun lalu.

Punca utama berlakunya kemalangan maut

Kredit gambar: Pahang Media

Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, sikap pengguna jalan raya itu sendiri menyumbang kepada berlakunya kemalangan. Antara sikap cuai yang dimaksudkan adalah penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Selain itu juga, memandu dengan terlalu laju dan terbabas sendiri menjadi punca utama kepada kemalangan maut.

Faktor lain yang menjadi penyumbang utama kemalangan maut ialah masuk laluan bertentangan ketika cuba memotong kenderaan. Pengguna yang menukar lorong secara melulu juga menjadi punca kepada kemalangan.

Terdapat juga kemalangan maut yang berpunca dari kecuaian pemandu semasa keluar dan masuk simpang jalan. Selain itu, mengekori kenderaan dengan terlalu rapat tanpa menggunakan peraturan tiga saat juga menjadi punca berlakunya kemalangan.

Dua lagi faktor yang dikenalpasti adalah ketika pemandu membuat pusingan U dan juga kes-kes yang membabitkan pemanduan melawan arus trafik.

Lima budaya pemandu berhemah

Kredit gambar: Paul Tan

Lima budaya yang boleh dipraktikkan oleh pemandu berhemah adalah pandang jauh ke hadapan, buang segala gangguan, ada pelan keselamatan, kekalkan jarak selamat dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Pandang jauh ke hadapan bermaksud pemandu perlu melihat sejauh yang boleh ketika pemanduan. Mengetahui apa yang ada di hadapan akan membolehkan pemandu bersedia kepada perkara yang paling buruk. Maka, langkah pencegahan yang berkesan terhadap perkara luar jangka dapat diambil lebih awal.

Perhatian yang terganggu ketika memandu ialah yang paling bahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya. Menggunakan telefon, makan dan minum adalah contoh kepada gangguan perhatian utama dari pemanduan.

Punyai pelan keselamatan pula bermaksud pemandu perlu memastikan kenderaan dalam keadaan yang boleh dilihat dengan jelas pemandu lain. Beri isyarat kepada pemandu lain sebelum anda bertukar lorong, memotong dan membelok supaya pemandu lain boleh menjangkakan arah tuju pemanduan anda.

Mengekalkan jarak selamat adalah cara yang paling mudah dan paling berkesan dalam pemanduan berhemah. Kebarangkalian amat tinggi untuk anda kemalangan ialah merempuh kenderaan di depan anda. Biarpun ia amalan yang mudah, ini juga sebenarnya adalah peraturan yang kerap diabaikan pemandu. Jarak selamat antara kenderaan akan memberikan anda masa yang secukupnya untuk bertindak balas.

Tingkatkan pemanduan secara berhati-hati pada hujung minggu, waktu pergi dan pulang sekolah atau cuti sekolah kerana kanak-kanak terdedah kepada bahaya jalan raya. Peka dengan keadaan sekeliling bermaksud memastikan pemandu sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling melalui cermin sisi dan cermin pandang belakang.

Kehadiran kenderaan kecil seperti motosikal, basikal dan pejalan kaki kadangkala tidak dapat diduga.

Bacaan Seterusnya