Ketua Polis Negara Nafi Ada Pegawai Polis ‘Dipegang’ Tauke Judi

blank

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Tiada Ketua Polis Daerah atau Ketua Polis Negeri ‘dipegang’ oleh tauke judi bagi mengatur perpindahan dan penempatan mana-mana pegawai dan anggota polis, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau sekeras-kerasnya menafikan perkara berkenaan. Malah beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dan mengamalkan sifar toleransi terhadap kegiatan perjudian.

“Saya sering mengingatkan semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada semua peringkat pengarah jabatan PDRM sehingga ke peringkat Ketua Polis Daeah agar tidak sesekali terlibat dengan mana-mana kegiatan atau sindiket perjudian.

“Dakwaan pengaruh sindiket ini hingga boleh mengaturkan pegawai-pegawai tertentu untuk menduduki sesuatu jawatan itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut memberikan arahan agar kes fail dibuat untuk diambil terhadap mana-mana sindiket perjudian haram. Tindakan akan dibuat dibawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Beliau berkata agenda baik PDRM telah dirosakkan oleh sindiket-sindiket ini akibat daripada kegiatan perjudian haram mereka, meskipun amaran telah diberikan berulang-kali.

“Saya sudah keluarkan arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk melengkapkan kes-kes fail ke atas mereka untuk diambil tindakan dibawah POCA. 

“Saya dah berikan amaran secukupnya. Sedangkan warga PDRM sendiri saya ambil tindakan dibawah POCA apatah lagi sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata banyak masalah telah ditimbulkan oleh sindiket perjudian ini sehinggakan mampu meruntuhkan rumah tangga seseorang.

“Ada laporan yang diterima sampai peti ais pun digadaikan oleh seorang kaki judi. Isteri telah pun menegah perbuatannya itu namun tidak dipeduli malah dipukulnya. 

“Jijiknya judi ini, saya tidak boleh terima sekiranya terdapat pegawai-pegawai saya yang berkomplot dengan tauke-tauke judi,” katanya.

Beliau menegaskan tiada sebarang tangkapan terhadap pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam kegiatan perjudian setakat ini.

Sebaliknya beberapa pegawai dan anggota PDRM yang ditahan sebenarnya terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

“Daripada segi judi, belum ada ditahan. Tetapi daripada segi kegiatan lain, ada (ditahan) kerana menyalahgunakan kuasa. Bagi yang didapati berkompromi dengan ‘tauke-tauke dadah’ sudah mula diambil tindakan.”

Sementara itu merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar mengenai isu perjudian di kawasan berkenaan, Abdul Hamid berkata Shafa’aton sepatutnya tidak menafikan kegiatan perjudian berkenaan di Sungai Buloh.

Sebaliknya beliau perlu mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan.

Beliau berkata Shafa’aton merupakan seorang pegawai polis yang berprestasi tinggi, berintegriti dalam menjalankan tugas, melakukan banyak serbuan dan tangkapan ke atas kesemua premis perjudian berkenaan di Sungai Buloh.

Menurutnya Shafa’aton telah pun mengambil tindakan awal membanteras perjudian di kawasan itu – sebelum pendedahan Asri Janggut lagi. Bagaimanapun Abdul Hamid mengakui ketua polis daerah itu telah membuat kesilapan ketika membuat kenyataan berhubung isu berkenaan dalam sidang media.

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video menerusi Facebook Hot Burger Malaysia yang dikongsikan pemilik akaun Facebook Asri Janggut. Video itu membangkitkan isu kegiatan perjudian di beberapa unit kedai dan kegiatan penjualan rokok seludup berleluasa di Sungai Buloh.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram